Skip to main content

En shamsuddin,

Saya Faris (bukan nama sebenar) dari kuala kangsar, Perak. Saya penggemar koleksi buku-buku bisnes & pengurusan hasil nukilan tuan. Koleksi pertama saya ialah ‘Makan Gaji Tetapi Kaya’.  Saya tertarik dengan formula simpanan 30% dari gaji bulanan.

Untuk makluman tuan, saya berumur 26 tahun dan sudah bekerja selama 1 1/2 tahun di syarikat swasta. Gaji pokok RM2300 sebulan. Setelah mengaplikasikan formula 30% tersebut lebihan gaji pada setiap bulan adalah RM 1,600. Setelah ditolak semua bayaran loan belajar, kad kredit dan kereta baki untuk lain-lain lebih kurang RM 400.

Saya ada melihat beberapa iklan lelongan awam untuk rumah melalui website bank-bank yg menawarkan perkhidmatan tersebut, dan saya berminat untuk membeli rumah flat yang dilelong di seksyen 24, shah alam. harga reserve RM 37,000 dan market price RM 50,000. Saya tahu kawasan section 24 merupakan kawasan strategik untuk rumah sewa kerana saya pernah menyewa di situ semasa belajar.

Jadi soalan saya,

1. Adakah sekarang masa yang sesuai untuk membeli rumah kerana sekarang waktu kegawatan ekonomi. Rakan saya ada mengatakan waktu sekarang tidak sesuai kerana interest bank adalah tinggi adakah ia benar?

2. Adakah gaji saya mencukupi untuk membuat loan perumahan? Harap tuan dapat menerangkan cara untuk kelayakan membuat loan rumah dan cadangan bank yang sesuai.

Harapan saya semoga tuan dapat membantu saya dalam masalah ini. Saya masih mentah dalam dunia hartanah dan pengurusan wang.

Kerjasama dan bantuan daripada tuan amatlah saya hargai… Terima Kasih.

—————————-
Terima kasih di atas pertanyaan saudara Faris itu. Di waktu usia yang masih muda telah membaca buku saya itu, saya percaya saudara akan memperolehi kebaikan yang datang mendadak, satu demi satu. Yang penting, berada di landasan betul (halal), mengamalkan doa tertentu, terus menimba ilmu, bertindak dan akhir sekali bertawakal.

Jawapan saya bagi persoalan pertama saudara adalah : Adakah benar bank telah menaikkan kadar keuntungan (Pinjaman Islamik)? Saya tidak menerima maklumat tersebut. Adakah kawan saudara itu seorang pegawai bank ataupun penganalisis kewangan?

Apabila kita bertanya kepada seorang yang gagal sekali berniaga dan tidak mahu berniaga lagi akan menjawab, “Jangan berniaga, bahaya, risikonya terlalu banyak, tidak menguntungkan”, tetapi jika soalan yang sama di ajukan kepada seorang yang pernah gagal dalam berniaga dan kini adalah peniaga yang berjaya akan berkata

“Jika anda ingin hidup bebas, senang dan dapat membantu orang lain, mulakan bisnes sendiri”.

Jawapan terbaik yang saya ada adalah ‘buat sembahyang Istikharah’ itulah nasihat terbaik yang saudara akan dapat.

Jawapan saya bagi pertanyaan kedua saudara adalah: Jumlah maksimun ansuran untuk layak mendapat pinjaman perumahan adalah 1/3 ataupun 40% daripada pendapatan bulanan yang tetap. Ini bermakna jika gaji kita RM 2000 sebulan, kita layak mengambil pinjaman perumahan di mana ansuran bulanannya antara RM 600 – RM800. Ada bank yang menetapkan 1/3 dan ada yang menetapkan 40%.

Bank mana yang sesuai? Bank yang menawarkan pembiayaan perumahan mengikut syarak di mana ianya tidak mengandungi riba.

Ya riba yang Allah telah maklumkan di dalam Al-Quran sejak 1400 tahun lalu, bahawa Tuhan dan Rasul melancarkan perang terhadap hamba yang diciptanya  tetapi telah menderhaka kepadanya dengan melibatkan diri dengan pinjaman berlandaskan riba.

Saya mencadangkan saudara bagi membaca buku ‘Buat Duit Dengan Rumah’. Saya harap saudara juga telah membaca buku ‘Kaya Dengan Rumah’ terlebih dahulu.

Leave a Reply