Assalamualaikum dan Salam sejahtera,
Semoga Tuan, Puan dan semua sepupu saya berada dalam keadaan sihat walafiat. Amin.
Di sini saya ingin memohon maaf di atas setiap kesilapan dan segala apa yang pernah saya lakukan sama ada secara sedar ataupun terlupa. Jika saya masih menangung hutang yang saya lupa ataupun terlupa untuk bayar, emelkan kepada saya di info@shamsuddinkadir.com
Jika ada saya berjanji untuk bertemu tetapi tidak menunaikan janji, maklumkan kepada saya, insyaa-Allah saya berusaha bagi menepati janji tersebut.
Sesungguhnya tarikh mati saya telah ditetapkan, jika ianya sampai semoga, saya dapat meninggalkan dunia ini tanpa menangung dosa di atas kehodohan tingkahlaku saya sewaktu berada di dunia ini.
Saya juga memohon maaf, kerana halaman ini juga mungkin terhenti dengan sendiri apabila nyawa saya sudah tidak lagi berada di alam ini. Semoga setiap apa yang dikongsikan dalam halaman ini sejak 2006 ini menjadi panduan bagi kita semua.
Tidak ada apa yang saya akan bawa dari dunia ini, walaupun sekeping duit RM1, saya hanya pinta kemaafan dari Tuan dan Puan selama kita bersaudara (sepupu) di atas muka bumi ini.
Jangan bimbang, jika di dalam hidup Tuan dan Puan pernah ada rasa benci ataupun Tuan dan Puan pernah mengkhianati terhadap saya, tidak usah dihiraukan, kerana saya sentiasa menghalalkan dan memaafkan Tuan dan Puan sampai bila-bila.
Mesti ada yang bertanya saya, kenapa? Sebenarnya, saya sedang mengidapi satu jenis penyakit yang biasanya mengakibatkan saya mati. Doktor tidak dapat memberikan saya tarikh yang lebih tepat, oleh itu, lebih baik dari masa ke semasa saya memohon maaf dari Tuan dan Puan, takut tidak sempat memohon maaf. Saya selalu lalai, kesibukan membuatkan saya terlupa akan penyakit yang saya hidapi.
Impian saya hanyalah satu, iaitu supaya kita semua sentiasa memesan di antara satu sama lain, tentang keperluan hidup berlandaskan apa yang Tuhan suruh termasuk dalam menguruskan hal-hal berkaitan dengan kewangan kita.
Maafkan saya, maafkan saya, maafkan saya
Shamsuddin Abdul Kadir
Assalamualaikum Tuan SK,
Usah bimbang tentang kematian kerana ianya adalah sesuatu yang pasti bagi setiap makhluk yang bernyawa. Malaikat maut mengunjungi kita 30 kali sehari. Atau secara purata setiap 48 minit. Begitu dekatnya kita dengan kematian.
Bimbanglah tentang bekalan yang ingin kita bawa selepas kematian. Ramai dari kita terlalu lalai mengumpul bekalan yang akan ditinggalkan bila kematian berlaku. Dan lupa untuk mengumpul bekalan yang sebenar yang perlu dibawa selepas kematian.
Ramai di antara kita yang suka menyertai Skim Cepat Kaya kerana terpedaya. Sertailah Skim Lambat Kaya yang dividennya hanya diraih selepas kematian. Bersedekah dan amal jariah adalah antara Skim Lambat Kaya yang popular di pasaran.
Sama-samalah kita mengumpul bekalan untuk masa depan yang sebenar.
Salam Ukhwah.