Skip to main content

Hari lebaran bakal muncul tiba selepas sebulan kita berpuasa, tetapi persiapan di lakukan 1 – 2 bulan awal. Pada ketika ini tempahan bagi menjahit baju kurung, Melayu atau lebih spesifik baju raya sudah ditutup. Kebanyakan kedai jahit sudah tidak lagi menerima tempahan.

Jika dahulu persiapan duit raya yang paling diutamakan tetapi sejak 15 tahun ini, terdapat perubahan yang besar dalam keutamaan perbelanjaan.

Ada pasangan yang sedang memilih sofa, langsir dan pelbagai lagi peralatan rumah yang ingin ditukar baru. Keperluan ini wujud dalam sebahagian individu terutama wanita yang mengangapkan satu kemestian ‘wajib’ setiap kali ingin menyambut kedatangan hari lebaran.  

Ada yang sedang memikirkan kereta apa yang ingin ditempah dalam masa terdekat, supaya ianya dapat digunakan ketika menyambut hari lebaran. Keperluan membeli kereta baru bagi memenuhi tuntutan keperluan ‘Kereta Raya’.

Bagaimana jika pada tahun ini kita hanya membelanjakan pakaian raya yang boleh dipakai juga selepas hari raya, iaitu dipakai untuk ke pejabat, ke rumah jiran dan menghadiri jemputan kenduri. Ada pakaian yang dibeli hanya sesuai di pakai ketika hari raya dan majlis tertentu sahaja.

Adakah hari lebaran menjadi suram apabila perabut, langsir, kereta, meja makan tidak ditukar baru?

Adakah hilang seri hari raya apabila kuih dan biskut raya yang disediakan adalah dari jenis biasa dan murah dan bukannya yang penuh dengan bahan yang tidak baik untuk kesihatan?

Kebanyakan tindakan yang dilakukan oleh kebanyakan individu yang menukarkan perabot, langsir, kereta setiap kali kedatangan hari lebaran bukannya kerana ingin mengindahkan suasana hari lebaran tetapi lebih bagi memuaskan ‘ego’. Puas apabila dapat menunjukkan kepada para tetamu di atas keupayaan menukarkan dengan semua yang baru. Adakah itu ‘roh’ hari raya yang kita ingin hidupkan?

Saya cukup teruja apabila melihat seorang individu yang saya amat kenali yang cukup sederhana di dalam berbelanja untuk dirinya sekeluarga. Sebaliknya dia memperuntukan sebahagian besar duit raya bagi diberikan kepada ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim yang beliau temui sewaktu pulang berhari raya di kampungnya.

Ada yang berbelanja sehingga berpuluh-puluh ribu untuk langsir rumah, adakah ianya berbaloi? Bagaimana dengan keadaan orang miskin yang tidak tentu sama ada mereka dapat makan esok hari? Mengurus kewangan bukan sahaja memastikan perbelanjaan itu mesti di dalam kemampuan kita, tetapi kita juga perlu memastikan kita tidak berbelanja dengan membazir.

Wang bonus ataupun duit gaji bukannya diperuntukkan bagi menunjukkan kepada tetamu dan orang ramai bahawa kita ada duit dan mampu beli apa yang baru. Menukarkan peralatan yang masih dalam keadaan elok dan selamat adalah satu langkah yang membazir.

Gunakan duit yang saudara/i dapat jimatkan daripada membeli barangan ‘keegoaan’ itu untuk dilaburkan. Hasil daripada perlaburan nanti dapat digunakan bagi membiayai impian hakiki anda. Berhati-hati dengan jurujual yang sibuk mempromosikan produk-produk yang sebenarnya saudara/i tidak perlukan bagi memastikan hari raya dapat disambut dengan ketenangan dan penuh kebahagian.

Elakkan daripada bertanding ataupun membuat perbandingan dengan jiran ataupun sesama adik-beradik, ipar duai dalam menyediakan persiapan menyambut hari lebaran. Jika sifat itu ada pada kita, ianya tanda bertapa egonya kita. Duit sebanyak manapun tidak akan cukup bagi membiayai keegoaan kita. Tengok berapa banyak sudah duit yang kita bazirkan bagi membiayai hari lebaran selama ini? Adakah kita ingin meneruskannya pada tahun ini?

Elakkan juga daripada mendidik anak kita dengan membeli mereka pakaian yang ‘mewah’ kerana apa yang mereka pelajari hanya satu iaitu ‘kepentingan menunjukkan keegoaan kepada orang lain’. Beli pakaian baru yang selesa di pakai dan harga yang murah’.

emel : info@shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Leave a Reply