Skip to main content

Assalamualaikum, En. Shamsuddin,

Saya mempunyai masalah besar untuk menyimpan duit. Pertama dalam keluarga saya memainkan peranan penting untuk menyara keluarga saya. Hal ini disebabkan suami tidak mendapat gaji yang banyak dan hanya bekerja part time. Gaji saya berjumlah kira-kira : RM 3500, perbelanjaan bulanan saya adalah seperti berikut:

Apartmen ( potongan gaji ) : RM 700
Bayar bulanan kereta :      RM 500
Anak ke nursery      : RM 200
Belanja bulanan persekolahan anak: RM 120
Belanja bulanan saya di tempat kerja   : RM 200
Belanja dapur : RM 1,000
Duit minyak kereta bulanan : RM 200
Bayar duit belajar ( potong gaji ) : RM 200
Pinjaman MARA : RM 500

Pada hemah saya mungkin saya perlu kurangkan perbelanjaan makanan bulanan dan perbelanjaan dapur saya. Apa pandangan tuan ?

Saya ada simpanan pada suatu ketika, saya amat merisaukan kerana saya telah mula menggunakan wang simpanan yang saya ada.

Saya sedang melanjutkan pengajian dlm Ijazah lanjutan, saya juga tidak mempunyai biasiswa. So apakah alternatif saya ???

Suami saya bekerja dengan pendapatan RM 1,000 sebulan. Kadang-kadang dia membantu membeli barang dapur. Masalahnya dia sendiri pun tidak ada simpanan.

Terima kasih…

X (bukan nama sebenar)

—————————-

Waalaikummusalam Puan X,

Semoga Allah mempermudahkan situasi yang sedang dilalui oleh Puan sekeluarga.

Tahniah kerana terus menerus sambung belajar, ianya suatu yang berguna. Apabila melihat perbelanjaan Puan itu, ianya tinggi jika dibandingkan dengan gaji Puan. Saya mencadangkan agar Puan dan Suami dapat membaca buku Hidup Tenang walaupun Berhutang (RM20) dan buku Makan Gaji Tetapi Kaya (RM18) sahaja. Puan baca buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang terlebih dahulu, dan berikan buku Makan Gaji Tetapi Kaya kepada suami untuk membacanya. Selepas masing-masing habis membaca sebuah buku itu, bahaskan.

Jika ada penemuan baru yang diperolehi, mulakan langkah untuk menambah satu lagi perbelanjaan tetap sebanyak RM 40 sebulan untuk buku-buku yang bermanfaat.

Senaraikan perbelanjaan Puan dan Suami di atas sekeping kertas yang berbeza. Senaraikan tanpa memikirkan jumlah gaji yang diterima. Mengikut andaian saya Puan dan Suami sudah berbelanja lebih dari kemampuan ketika ini. Menyenaraikan bebanan kos sara hidup itu membantu Puan dan Suami bagi melihat perbelanjaan yang tidak perlu.

Contohnya, susu anak yang berjenama terkenal & mahal, jenama pamper anak, jenama produk makanan lain, makanan segera perlu dinilai semula.

Jika kurang berkemampuan, cuba dapatkan pinjaman dari universiti tempat Puan bekerja bagi membiayai pengajian lanjutan Puan itu.

Selagi mana kos itu tidak dikurangkan, selagi itu adalah suatu yang hampir mustahil untuk kita menyimpan.

Membaca buku-buku kewangan diri adalah cara bagi mengurangkan perbelanjaan secara ghaib. Ianya menghalang dugaan dan cubaan pengaruh luar dari merompak duit gaji kita.

Shamsuddin Kadir

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Leave a Reply