Skip to main content

Sejak terlibat dalam proses mengambil pekerja baru mulai tahun 1999, saya masih merasa sedih di atas ‘dimensi’ graduan dan pekerja yang memohon kerja. Masih banyak tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemohon pekerjaan.

Hampir 10 tahun sudah berlalu, pemohon pekerjaan yang saya menemudugaย masih dengan ‘dimensi’ lapuk.ย Antara kelemahan yang ditonjolkan oleh pemohon pekerjaan adalah seperti berikut:

  • Tidak membawa sijil dan dokumen sokongan yang asal

  • Tidak membawa sekurang-kurangnya satu salinan photostatย sijil dan dokumen

  • Tidak mengetahui protokol menghadiri temuduga seperti tidak memberi salam

  • Sijil tidak disusun mengikut susunan tahun sijil itu diperolehi

  • Tidak memakai pakaian yang bersesuaian, contohnya hanya memakai t-shirt berkolar

  • Tidak tahu bagaimana untuk memperkenalkan diri. Di mana pemohon tidak tahu apa yang ingin dipercakapkan bagi 5 minit pertama yang diberikan apabila Penemuduga mengarahkan pemohon untuk menerangkan secara ringkas latar belakang diri

  • Tidak tahu faktor ‘X’ iaitu sesuatu kelebihan yang ada pada dirinya yang dapat membantu penemuduga memilihnya.

  • Resume yang bercelaru dan yang dipenuhi dengan maklumat yang tidak penting.

Untuk makluman bakal pemohon, walaupun sijil itu perlu disediakan dalam persembahan yang kemas dan menarik, ianya tidak menjaminkan anda mendapat pekerjaan itu. Ada sebahagian pemohon yang saya ambil bekerja adalah pekerja yang tidak mempunyai ‘sijil’.ย Sijil hanya syarat asas apabila menghadiri temuduga.

Pemohon perlu mempersiapkan diri dengan membawa dua salinan gambar passport yang terkini dengan memaparkan wajah yang kemas dan ceria. Berikan gambar tersebut apabila penemuduga mengkehendakinya.

Banyak lagi yang ingin saya perkatakan. Ianya akan disambung. Dijemput para pelawat dan pembaca setia untuk memberikan pandangan anda. Kami amat menghargai setiap pandangan yang diberikan.

www.shamsuddinkadir.comย 

Membina Dimensi Sebenar Anda!

7 Comments

  • kart says:

    Assalamualaikum Tuan Sham,

    Tersenyum saya membaca tajuk entri ini.

    Tuan Sham, kebanyakan orang yang ditemuduga termasuk saya mempunyai penyakit DG (darah gemuruh). Teringat saya semasa ditemuduga pada tahun 2005, Penyakit DG menyerang, berpeluh juga jadinya menjawap soalan-soalan. Berbuih mulut berdoa dan membaca ayat-ayat yang saya tahu, tapi tak dapat juga nak elak Virus DG tu.

    Alhamdulillah berjaya juga saya, nasib baik prestasi kerja mengatasinya, jika tidak hampa juga saya. Tuan Sham, bagaimana nak elak penyakit DG tersebut?

    kart

  • Mariam says:

    Salam Tn Sham..

    Bagi saya personaliti seseorang itu amat mempengaruhi sessi temuduga, kelebihan yang ada juga sama penting dengan personaliti. Alhamdulillah sepanjang saya bekerja saya telah 3 kali bertukar syarikat, dan semuanya adalah syarikat yang terkemuka.

    Apa yang saya dapat perhatikan bila ada sahaja temuduga yang dijalankan saya dapati kebanyakkan panel penemuduga biasanya akan melihat pada pandangan pertama,ia itu personaliti seperti contoh kalau yang datang itu ceria, kemas nampak berwibawa, ayat pertama yang keluar ialah “ermm tengok gaya boleh tahan dia ni”..

    Kalau kelebihan itu ada dari segi..knowledge, tahu berinteraksi ketika ditemuduga kredit pasti diberikan kepada mereka.Tapi kalau ada kelebihan dari segi knowledge tapi personaliti tak menonjol..bak kata HR manager sayalah..”dia ni ok,tapi tak presentable“alamat balik sajalah.

    Ada juga yg setakat SPM/STPM tapi pandai cakap, personaliti menarik, dapat pula jawatan yang sepatutnya diisi oleh graduan diploma atau ijazah.

    Apa juga saya setuju dengan Tn Sham segalanya perlu teratur, bermula dari sijil,gambar, salinan sijil semua itu akan menunjukkan anda bersungguh sungguh inginkan pekerjaan tersebut.

  • Tuan Shamsuddin,

    Izinkan saya memetik salah satu bab buku terbaru (2009) saya berkenaan temuduga dan kerja.

    Organisasi-organisasi telah mengenalpasti kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh calon apabila menghantar resume mereka.

    1. Calon memberi maklumat yang tidak relevan dengan kehendak organisasi. Maklumat yang diberi lebih kepada cerita panjang lebar tentang hidup mereka.

    2.Resume tidak mesra masa. Organisasi terpaksa menapis resume-resume yang diterima dengan mengasingkan resume yang tebal terlebih dahulu. Mereka menumpukan kepada resume yang ringkas dan padat.

    3.Resume yang dibuat tidak memenuhi kehendak organisasi. Satu set resume dengan format yang sama untuk organisasi-organisasi yang berbeza.

    4.Resume yang sudah boleh dijangka oleh organisasi. Tidak ada sesuatu yang menjadi magnet menarik mereka membaca. Ia sekadar cerita yang sama.

    5.Resume yang tidak kemas dengan menggunakan cecair pemadam dakwat yang jelas kelihatan di sana-sini.

    6.Resume mengandungi kesalahan ejaan. Kesalahan ejaan melibatkan nama penemuduga dan pegawai yang bertanggungjawab adalah serius.

    ——————————————–

    ZAMRI MOHAMAD
    http://www.motivasimindamu.blogspot.com

  • Salam Tuan Shamsuddin.

    Saya setuju dengan pandangan tuan, kebanyakan pemohon tidak mempelajari protokol temuduga. Sesuai Tuan menulis buku protokol temuduga atau tatacara temuduga …. pasti laris seperti buku-buku Tuan yang sebelum ini. Ramai graduan yang masih mengganggur perlu buku tersebut.

    Sebelum ke sesi temuduga calon-calon perlulah buat kajian selidik sedikit mengenai organisasi tersebut. Jangan main hentam sahaja apa yang ditanya. Adakalanya saya terlibat juga dengan sesi menemuduga di organisasi saya. Banyak jawapan-jawapan lucu yang diberikan oleh calon-calon.

    Abu Talib Ahmad

  • Assalamu’alaikum Tn. Shamsuddin,

    Ketika saya bekerja di sebuah syarikat swasta suatu masa dahulu dalam bidang pemasaran, rakan sekerja pada waktu itu ramai pekerja sementara. Mereka baru tamat SPM, menanti untuk masuk ke Universiti.

    Mereka tanya Pengurus Syarikat tentang kriteria seseorang itu diambil bekerja. Pengurus itu menjawab, “Jika secara akademik, semuanya sama baik, maka kami (pihak pengurusan syarikat) akan mengambil mereka yang mempunyai ‘soft skills’.”

    Jadi, jika hari ini saya ditanya oleh pelajar-pelajar IPT, saya akan beritahu mereka, “Usahakan supaya akademik jadi #1 DAN jangan lupa juga untuk membabitkan diri dengan aktiviti-aktiviti koko yang dapat membina ‘soft skills’ seperti kemahiran komunikasi, mendengar dan lain lain.”

    Sekian,
    Ihsan Bahri @ Deen

  • isunik says:

    Salam En Shamsudin,

    Agak menarik saranan tuan mengenai persiapan untuk ditemuduga. Namun apa yang saya selalu perhatikan kelemahan utama, selain penampilan diri yang baik, adalah keupayaan untuk berkomunikasi yang kurang baik.

    Komunikasi yang kurang baik ini bukan sahaja kelemahan bahasa, lebih kepada keupayaan penyampaian maksud yang dipetuturkan. Ini mungkin timbul kerana kurang yakin dengan diri sendiri dan kurang maklumat tentang apa yang diperkatakan.

    Kelemahan bahasa juga boleh mengurangkan keyakinan diri. Ini terutamanya berlaku bila bahasa yang digunakan bukanlah bahasa komunikasi harian. Namun apa yang saya biasa lihat pemohon yang boleh berkomunikasi dengan bahasa inggeris dengan baik menonjolkan keyakinan diri yang lebih tinggi.

  • Alhamdulilah banyak pandangan yang bernas yang dapat dipelajari dan dipratikkan oleh para pemohon pekerjaan.

    Nanti saya sediakan satu entri khas bagi memberikan pandangan terhadap setiap komen di atas.

Leave a Reply