Skip to main content

Bismillah. Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Pencipta dan Pemilik sekelian Alam.

Tajuk Hari ini 26 Julai 2013 Duit Hari Raya ‘Che Pow’

Ini adalah satu lagi bebanan kos kepada sebahagian daripada individu yang sebenarnya tidak berkemampuan. Ianya TERPAKSA diberikan gara-gara ianya sudah menjadi budaya Masyarakat Melayu Islam terutamanya selepas Merdeka.

Budaya memberi duit raya di kalangan orang Islam yang didonimasi dari kaum Melayu berlaku selepas meniru budaya orang Cina yang memberikan Angpow pada ketika Tahun Baru Cina. Ini ditulis dan dimaklumkan di dalam buku ‘Chinese Dillema’ yang dibaca oleh Shamsuddin Kadir beberapa tahun yang lalu. Di mana kita meniru budaya orang Cina. Di dalam Islam In Syaa Allah tidak salah untuk meniru mana-mana budaya orang bukan Islam selagi mana ianya tidak menyalahi mana-mana ajaran Islam.

Di dalam Islam, kemuncak hari raya, berlaku selepas hamba Allah berjaya memaksimumkan usaha pada bulan Ramadhan bagi menunaikan yang wajib, sunat dan juga bersedekah dalam berskala besar berbanding pada bulan lain.

Mengikut Islam, memberi sedekah kepada orang yang memerlukan itu besar pahalanya, apatah lagi apabila dilakukan pada bulan Ramadhan, kerana pahala perkara yang sunat menjadi pahala Fardhu dan sebagainya In Syaa Allah.

Lebih afdal sekiranya hendak diberikan duit raya, diberikan pada bulan Ramadhan kerana itu yang Allah beri pahala yang paling tinggi setahun sekali. Angpow diberikan kepada hari Raya Cina. Che Pow @ duit raya sampul hijau lebih afdhal diberikan pada bulan Ramadhan terutama kepada yang memerlukan.

BANYAK (Bukan semua) upacara memberikan duit raya sekarang, lebih kepada isu malu, nanti apa orang kata, kalau tidak beri. Ianya juga menjadi isu kerana banyak yang menerima duit raya itu adalah orang yang senang dan bukannya orang yang kurang berkemampuan. Duit raya juga banyak digunakan bagi membeli mercun ini sudah pasti berlawanan dengan ajaran yang bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Sudah tiba masanya untuk sebahagian daripada kita yang ingin mengambil iktibar bagi menukarkan pemberian duit raya kepada perkara seperti di bawah, supaya kita menjadi orang Islam yang lebih memahami pengertian pahala yang tinggi dan pahala yang rendah (dividen bulan Ramadhan dan dividen bulan Syawal).

1. Berikan duit raya (sedekah) kepada ahli keluarga kita yang miskin.

2. Berikan duit raya (dalam jumlah RM 50 ke atas) kepada keluarga kita yang kurang berkemampuan. (Sebaiknya berikan sekarang, sewaktu belum sampai Raya, supaya mereka juga dapat menyediakan yang lebih baik dan memenuhi keperluan asas pada hari raya nanti). Bank ini ke akaun mereka. Ini menandakan kita perihatin kepada keluarga kita yang miskin.

2. Berikan kepada anak-anak yatim duit raya, iaitu pada bulan Ramadhan, sekiranya tidak berjumpa niat dahulu untuk berikan dan berikan pada 1-5 Syawal sekiranya kita berjumpa dengan mereka.

3. Tidak perlu berikan kepada anak-anak saudara kita yang mana ibu bapa mereka bukan orang yang menerima zakat ataupun tergolong dalam golongan fakir dan Miskin.

4. Raya pada kali ini, utamakan kepada orang-orang tua yang kita jumpa bagi meringgankan bebanan mereka.

5. Kepada individu yang datang ke rumah saya pada hari raya, berkemungkinan besar anak-anak mereka tidak mendapat duit raya dari kami (Shamsuddin Kadir) kecuali apabila ada sebab munasabah untuk saya berikan. Antara sebab munasabah, antaranya adalah keadaan fizikal anak-anak itu kurus kering, baju buruk ataupun keadaan kereta ibu bapanya daif. Biasanya sekiranya keadaan kereta ibu bapanya daif, saya akan berikan duit kepada ibu bapanya itu.

6. Saya juga memberikan duit raya kepada anak-anak sahabat saya yang belum senang sangat bagi menghargai jasa-jasa sahabat-sahabat saya yang banyak menolong saya terutama sewaktu saya dalam keadaan susah.

7. Berikan kepada ibu tunggal, orang lumpuh, dan kepada orang yang lebih memerlukan.

Seperti yang diberitahu, di rumah saya tidak membuat kuih raya dan tidak menyediakan kuih raya untuk tetamu. Kami lebih merayakan aidlfitri mengikut apa yang wajib dan sunnah sahaja.

Duit raya, juga hanya disediakan untuk ibu bapa dan individu yang sudah jatuh di tahap perlu dibantu, sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak.

Saya sudah tidak mahu memberikan duit raya bermula pada tahun ini kepada orang yang tidak LAYAK kerana kanak-kanak di zaman ini sudah dimanja dengan duit raya untuk pergi ke rumah orang bukannya bersilaturrahim seperti di zaman kita dahulu.

Kami ini menghidupkan budaya bersilaturrahim iaitu kanak-kanak datang ke rumah untuk bersilaturahim dan bukannya mencari duit ataupun minta duit raya. Hilang sudah nilai suasana raya yang dibawa oleh Nabi apabila manusia berpusu-pusu memilih cara yang bukan sunnah. Termasuk berpakaian dengan dipenuhi simbol-simbol kemewahan diri dan berebut-rebut bagi mendapat duit raya.

Saya doakan, supaya anak-anak saya tidak mengambil duit raya pada tahun ini, dan sekiranya mereka dapat, saya doakan anak-anak saya memberikan duit raya itu kepada orang-orang tua / miskin /lumpuh yang kami lawati sewaktu hari raya bagi menjadikan mereka anak-anak yang hidup bukan kerana duit raya, tetapi hidup kerana mencari keberkatan dari Allah.

Dunia ini diciptakan untuk manusia, manakala manusia itu diciptakan untuk Akhirat.

Astaghfirullah.

Mengikut kajian kami (Shamsuddin Kadir) banyak individu yang sudah menangung hutang pinjaman peribadi, kad kredit dan hutang skim ansuran mudah, termasuk yang membeli kereta dengan ansuran 9 tahun, sebenarnya kurang layak untuk memberi duit raya, kerana diri sendiri pun masih menanggung hutang yang membuatkan dirinya semakin miskin.

Lain sekolah raya, lain pula ajarannya dan adatnya, hormati dan pilih sekolah raya yang kita suka, kerana keburukan dan kebaikanya kita tanggung.

Facebook Malaysia | Shamsuddin Kadir

Leave a Reply