Skip to main content

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Semoga masa tuan diberkati Allah.
Saya merupakan seorang pelajar pasca sarjana, dan insya Allah akan menamatkan pengajian hujung tahun ini.
Beberapa waktu yang lalu, saya telah mengikat pertunangan dengan seorang gadis pilihan sendiri. Kerana risau melihat keadaan kami berdua yang jauh dari keluarga, seorang saudara telah mengusulkan agar kami menikah secepat mungkin, dan beliau akan memberi bantuan kewangan untuk majlis kenduri pernikahan nanti. Usul ini telah saya terima, dan insya Allah, sedikit masa lagi kami akan melangsungkan pernikahan.
Walau bagaimanapun, setelah surat jemputan kenduri dihantar dan segala persediaan yang perlu telah dilakukan, saudara saya tersebut ditimpa musibah kewangan yang menyebabkan beliau tidak dapat memberi bantuan kewangan yang dijanjikan kepada saya.
Saya ingin mendapat nasihat dari pihak tuan (dan pembaca blog tuan seandainya emel ini disiarkan di blog tuan) berkenaan apa yang perlu saya lakukan. Antara jalan yang dibentangkan di hadapan saya ialah menyuntik diri dengan barah kewangan dengan mengambil pembiayaan peribadi untuk majlis itu nanti.
Semoga segala saranan dan nasihat tuan akan dikira sebagai ibadah, insya Allah.

Hamba Allah.

—————————-

Waalaikummusalam wbt,

Semoga setiap kesulitan itu diganti dengan kenikmatan dan kebahagian yang kekal abadi di akhirat nanti. Amin.

Cadangan saya sederhanakan majlis, iaitu tidak perlu membuat aktiviti majlis di luar dari apa yang disarankan oleh agama.

Ini sudah pasti dapat mengurangkan kos yang tidak perlu. Pinjaman peribadi (barah kewangan) boleh dipohon kerana dalam keadaan terdesak tetapi sekadar untuk menangung kos perkahwinan. Hantaran boleh dikurangkan, tidak perlu bagi kasut, beg, atau perkara lain yang membazir. Cukup sekadar keperluan yang Tuan mampu berikan.

Selepas menikah, saudara bakal menghadapi tsunami sebenar pinjaman peribadi apabila ingin membayar setiap bulan. Gunakan duit yang diterima ketika majlis untuk membayar balik pinjaman itu, jika mampu buat ‘full settlement’.

Semoga Allah permudahkan urusan Tuan dan Allah menjadikan Tuan antara pasangan yang sentiasa mendapat keredhaanNya. Amin.

Jangan risau dengan kesulitan ini, ianya menjadi nikmat jika Tuan menjadikan majlis pernikahan tiada yang membazir dan menunjuk-nunjuk.

Saya suka di atas doa Tuan ‘Semoga masa tuan diberkati Allah’. Ianya menunjukkan Tuan seorang yang memiliki Ketampanan Sosial dan saya percaya Tuan akan menjadi antara orang yang paling berjaya dalam hidup dan dalam masyarakat.

Shamsuddin Kadir

4 Comments

  • 2bz4money says:

    Maklumkan/Bincangkan kepada saudara terdekat bagi meringankan beban kewangan; masak sendiri secara gotong royong mungkin lebih jimat dari catering; kalau kenduri/kendara kampung ramai jiran yang sanggup sponsor hantaran dan bekalan dapur. Raikan majlis secara bersederhana dan mengfokuskan kepada saudara/mara yang terdekat, serta hadkan bilangan jemputan secara mulut atau e-mel. Bila keadaan kewangan kembali pulih, mungkin boleh atur kembali majlis resepsi sederhana untuk jemputan yang tak dijemput sebelum ini. Semoga urusan ‘Hamba Allah’ dipermudahkan.

  • Tuan,

    Apabila keterangan yg telah dinyatakan diatas dan dalam tempoh yang terlalu singkat ini resolusinya adalah seperti ini,

    Selain memotong mana2 yang tidak perlu atau mengurangkan kos perbelanjaan dengan bijak anda juga boleh..

    -Berbincang dengan pihak perempuan untuk mengatasi masalah ini pasti ada jalannya.
    -Jangan panik! Anda pasti seorang yang bijak untuk menguruskan dengan cara yg terbaik.
    -Buat perbincangan dari ahli keluarga yang lain, rakan-rakan dan orang2 yg boleh dipercayai.

    Saya sebelum berkahwin pada tahun 2003 adalah seorang yang tidak mempunyai simpanan apa-apa kerana banyak perbelanjaan adalah untuk kebahagiaan orang tua saya, tetapi niat yang baik untuk segerakan perkahwinan telah dibantu Allah dimana dengan tidak saya sedari datang bantuan yang tidak disangka-sangka dari Allah melalui hamba Allah yang membantu memberikan saya duit hantaran perkahwinan saya.

    Tipnya adalah solat wajib jangan tinggal,
    berikan bantuan kepada orang lain dengan ikhlas(sebarang bantuan walau bukan duit),
    setiap hari tanpa jemu buat solat sunat Hajat, Tahajut, Istikhorah, selepas setiap solat fardhu, berdoa dan bermohon dengan bersungguh-sungguh dan membaca ayat seribu dinar dan… selalu, selalu, selalu berdoa… InsyaAllah..

    Ini telah memberikan pengajaran kpd kita semua kerana musibah tidak siapa boleh duga. Seharusnya kita telah dengan pelbagai alternetif dan plan A, B dan seterusnya jika terjadi sesuatu perkara kerana kita tidak boleh hanya mengharapkan kepada satu jalan sahaja.

  • Abdul Latiff says:

    Itulah yang dikata kan jodoh.Jika masa nya sudah sampai segala nya insyaAllah dipermudahkan walaupun hakikatnya sukar.Redha dengan kemampuan yang ada panjatkan doa kepada yang maha Esa.InsyaAllah niat yang baik perlu diteruskan walaupun sukar sekalimana pun.Jauhkan daripada terikut-ikut cara orang lain yang membuat majlis kendurinya.Itulah yang menjadikan kita tertekan.Yang penting sekali adalah yang wajib.Selebihnya adalah kerana ingin menjaga maruah.Biasalah memang sukar bab ini tetapi Yakinlah jika kita mempunyai pegangan ataupun prinsip sendiri insyaAllah Allah akan bantu.

  • Zulkifli says:

    Salam,

    Harap majlis tuan di berkati oleh Allah s.w.t.. saya cuma ingin berkongsi disini sekiranya tuan ingin menambahkan mata pencarian tuan sekiranya tuan berminat.. yang saya maksudkan adalah dengan menjadi perunding kewangan Etiqa takaful maybank.. kalau tuan berminat lebih lanjut hubungi saya 0122256592.. tq

Leave a Reply