Skip to main content

Assalamualaikum Tuan..

Saya ingin mendapatkan pandangan Tuan mengenai masalah kewangan yang saya hadapi.  Bagaimana saya hendak membuat simpanan?

Untuk makluman Tuan, saya mempunyai 2 buah rumah (Jenis Apartment), Bayaran Rumah Pertama RM 386, Rumah Kedua RM 634, mempunyai 3 orang anak 2 bersekolah, 1 orang masih berumur 1 tahun. Saya mempunyai 1 kad kredit (Credit Limit RM 3000), 1 buah kereta (Ansuran RM 386) gaji bersih saya cuma RM 1,500.00. Suami pula berpendapatan RM 1,000.00 atau RM 500.00 (Purata).

Masalah saya, setiap bulan saya tidak dapat membuat simpanan.

Harap Tuan dapat memberi pandangan atau cadangan mengenai masalah yang saya hadapi.

Sekian dan terima kasih.

Puan MN (bukan nama sebenar)

———————————–

Salam Puan MN, semoga Allah mengurniakan kepada Puan MN sekeluarga dengan ketenangan dan kebahagiaan yang kekal abadi. Amin.

Maklumat yang Puan berikan ada yang belum mencukupi, antaranya berkenaan dengan rumah. Puan ada memiliki dua buah rumah, andaian yang dibuat hanya sebuah rumah yang didiami. Adakah Puan menyewakan sebuah rumah lagi yang tidak didiami?

Puan boleh menyewakan sebuah rumah yang tidak diduduki itu dan jika kewangan Puan terlalu kritikal, Puan boleh memilih untuk menjualkannya.

Saya membuat andaian kedua bahawa Puan telah mengunakan kad kredit dan menjadikannya kad hutang, dimana ada hutang yang belum dibayar dalam kad kredit tersebut. Puan ketahuilah bahawa apabila kita berhutang sebanyak RM1,500 dan membuat bayaran minimun untuk kad kredit ianya akan memakan masa 10 tahun dan 10 bulan bagi menjelaskan hutang tersebut, itupun jika kadar interestnya serendah 15%. Itu dengan syarat kad itu tidak digunakan lagi. Jika ianya masih digunakan, secara asasnya ianya akan mengambil masa selama 32 tahun untuk menjelaskan hutang yang dibuat pada 32 tahun yang lalu.

Keadaan situasi kewangan Puan tidak terlalu kritikal sangat bagi menyelesaikan dengan cepat dan mudah. Apa yang Puan boleh lakukan adalah dengan menurunkan kos yang tidak perlu. Hentikan pembelian bagi belanja yang Puan tidak perlu. Susu anak yang mahal, pamper anak yang berjenama, saluran berbayar (sebab situasi kewangan Puan kritikal), elak dari menjadi lapar mata, lapar diskaun.

Baca buku ‘Hidup Tenang Walaupun Berhutang’ dengan izin Allah masalah Puan diselesaikan dalam masa tidak lebih dari 6 bulan dengan syarat Puan membaca buku ‘Makan Gaji Tetapi Kaya’ selepas buku pertama itu dihabiskan dalam masa 2 minggu. Aplikasi apa yang dipelajari. Pastikan Suami juga faham apa yang dibicarakan.

Cari kawan baru yang bijak urus wang di pejabat Puan jadikan mereka kawan karib Puan. Itu secara inspirasi senyap yang membantu Puan secara senyap.

Ansuran kereta yang Puan bayar pun sudah dikira bagus. Tukar pasaraya jika perlu, rekomen saya masuk pasaraya Mydin ataupun yang kurang daripadanya sahaja. Ini kerana Mydin lebih tertumpu kepada barangan keperluan sahaja, walaupun ada sedikit barangan yang mewah di sana. Pergi pasaraya sebulan sekali sahaja.

Hujung minggu elakkan dari membelanjakan masa di shopping mall, cari alternatif yang tidak melibatkan duit yang banyak. Mula langkah membaca, terapkan juga pada suami. Sebaiknya mulakan setiap malam selepas Maghrib dan berakhir apabila waktu Isyak masuk.

Ada bom jangka sedang menanti Puan untuk meletup. Pastikan kad kredit itu dihapuskan dan bebanan rumah kedua itu diselesaikan sama ada disewakan ataupun dijualkan, sebelum bom itu meletup.

Semoga Allah memberikan kepada Puan dengan ilmu dan rezeki bagi menyelesaikan situasi yang kurang seronok itu. Amin.

Leave a Reply