Skip to main content

Salam Tuan.

Saya suka dengan topik ini. Saya ingin berkongsi pengalaman rakan sepejabat saya dan ini kisah benar yang saya lihat dengan mata saya sendiri. Saya mohon maaf tuan, mungkin catatan saya ini panjang sedikit.

Dua tahun lepas, rakan sepejabat saya ada menghadiahkan saya buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang siap dengan autograf dari tuan, dengan harapan agar saya dapat mempraktikkan idea-idea di dalam buku tersebut. Semasa beliau memberikan buku tersebut kepada saya, saya telah menyakiti hati beliau dengan kata-kata … hai nak bodek boss ke, mahu markah tinggi dalam laporan prestasi nanti ke?. Sedangkan prestasi beliau dari dulu lagi tak pernah kurang dari 90%, beliau memang kakitangan yang hebat, tak sepatutnya saya mengeluarkan kata-kata tersebut kepada beliau.

Semenjak dari itu beliau tidak pernah memberi apa-apa hadiah kepada saya, mungkin beliau terasa hati dengan saya. Buku-buku tuan yang lain hanya beliau pinjamkan kepada saya. Beliau sememangnya ikhlas hendak menolong saya, tapi disebabkan keegoan saya, saya tidak menghargainya.

Tapi sekarang saya tabik hormat kepada beliau, walaupun gaji saya lebih berganda dari beliau tetapi kewangan beliau saya tabik….. sungguh lumayan. Tetapi beliau tetap seperti dulu juga biasa sahaja tidak nampak kemewahan yang beliau sedang kecapi, hanya orang yang melihat borang beliau sahaja yang tahu kemewahan beliau itu.

Pada hari Rabu yang lalu, semasa beliau mengadakan jamuan kepada kami semua di pejabat sempena ulang tahun beliau, saya bertanya bagaimana beliau boleh menyimpan wang sebanyak begini dan boleh membuat jamuan/kenduri seperti ini. Beliau mengaku, mula memanglah susah terpaksa mengikat nafsu berbelanja ala kadar sehingga ada rakan dan keluarga memberi gelaran kedekut, terpaksa kerja part time kerana nak melunaskan kesemua hutang-hutang yang ada. Tapi sekarang katanya, Alhamdulillah, tak perlu lagi kerja part time, kewangan dah stabil dan semakin bertambah. Saya tak belajar ilmu kewangan di menara gading tapi saya cuma belajar dari Buku-Buku Tuan Shamsuddin dan di laman blog SK sahaja katanya lagi.

Kebetulan hari ini saya dan keluarga tidak ke mana. Saya dan isteri sekali lagi membaca buku tuan dengan harapan agar saya dan isteri dapat mempraktikkan idea-idea yang tuan war-warkan. Dulu saya ketawakan rakan saya itu yang menggunakan kaedah sampul, mungkin hari ini saya pula yang akan menggunakannya untuk mendisiplinkan diri dari berbelanja yang tidak menentu. Saya bersyukur kerana saya belum terlewat untuk belajar ilmu kewangan. Beruntung sungguh saya kerana dapat melihat sendiri rakan sepejabat mengamalkan ilmu yang tuan ajarkan dan semakin hari beliau semakin berjaya. Bodohlah saya kiranya saya tidak amalkan ilmu yang baik seperti ini. Terima kasih tuan.

Saya ucapkan setinggi-setinggi Tahniah kepada tuan. Idea yang tuan berikan telah menjadikan rakan saya kaya didalam diam. Saya tumpang gembira untuk beliau.

Shahrin
Di petik dari diskusi kuliah di dalam artikel Tertekan Duit Tidak Mencukupi,

———————————

Waalaikummusalam Tuan Shahrin,

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan Tuan sekeluarga seperti yang dirancangkan. Amin

Saya tumpang gembira di atas ada usaha manusia yang sudi menghadiahkan buku-buku bermanfaat sesama kita. Ianya menunjukkan orang yang menghadiahkan ada memiliki ciri-ciri orang yang berjaya. Semoga tindakan staf Tuan itu akan diikuti dalam membantu insan lain yang mungkin mendapat manfaatnya.

Hujung minggu ini antara waktu yang saya paling gembira, apabila semakin ramai sudah menjadikan membaca buku itu antara satu prioriti utama dalam kehidupan. Tahniah sekali lagi untuk Tuan dan isteri.

Sama-sama kita menjadikan diri kita dan orang disekeliling kita celik kewangan.

Shamsuddin Kadir

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Leave a Reply