Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Tuan dan Puan yang saya amat muliakan,
Halaman www.ShamsuddinKadir.com ini mungkin akan terkubur dengan terkuburnya saya apabila tarikh yang telah diTETAPKAN itu tiba. Saya tidak dapat memaklumkan bila ianya akan berlaku, sama ada ianya esok ataupun setahun dari sekarang. Saya tidak kebal dan tidak kekal, saya akan dilupakan dan tiada yang akan mengenali saya lagi oleh manusia-manusia baru yang lahir ke dunia ini. Bukan sahaja manusia yang baru dilahirkan tetapi juga sebahagian manusia yang masih hidup pada hari ini.
Sudah pasti dunia ini bukan tempat yang saya cari, saya akan kembali dan berharap dapat kembali ke tempat asal kita semua berasal iaitu Syurga, tempat kelahiran asal usul manusia.
Harapan dan cita-cita saya untuk melihat semua manusia dapat urus wang dan kehidupan dengan sebaik yang boleh tanpa dibebani dengan :
- Membazir kerana ianya perangai Syaitan
- Menipu itu bukan amalan manusia normal
- Hutang yang tidak perlu dan tidak baik
- Tertipu akibat sifat menunjuk-nunjuk dan ego
- Bebas dari berperang dengan Allah dengan menjauhi ‘segala apa urusan berlandaskan sistem RIBA’
- Menyesal kerana tidak tahu apakah keturunan kita yang sebenar dan ke mana kita akan pergi
Semoga Allah memberikan hidyah dan rahmah bagi saya mendekati, mengikuti, mentaati Allah sepanjang masa yang masih berbaki tempat satu-satunya peluang ada bagi saya kembali semula kepangkuanNya dengan keredhaanNya.
Semoga Allah memberi saya kekuatan bagi menyiapkan buku ‘Dilema Muslim’ sebagai peninggalan mungkin yang terakhir dalam oleh Roh yang Allah ciptakan yang diberikan nama oleh ayah saya sebagai Shamsuddin. Ketika ini hanya halaman website www.DilemaMuslim.com sudah bermula dengan satu entri pertama, ianya menjadi kesinambungan kepada buku yang dijangka terbit nanti iaitu Dilema Muslim.
Saya amat berharap, Tuan dan Puan dapat menjayakan segala usaha yang telah dilakukan dan saya berdoa semoga Tuan dan Puan dapat mengaplikasi dan menguasai ilmu-ilmu Allah secara lebih kehadapan dan sentiasa diberkati oleh Allah sepanjang tempoh persinggahan di bumi yang akan hancur ini.
Saya berdoa agar lebih ramai individu dari Tuan dan Puan yang saya amat saya mulia ini dapat menjadi agen kepada Allah dalam mengkaji, memikir, menyampai dan mengaplikasi ilmu-ilmu lama dan baru yang bersesuaian bagi memastikan kita tidak akan menjadi hamba kepada duit dan juga membantu semua orang lain.
Terima kasih kepada Tuan dan Puan dan juga sifu-sifu saya di atas dorongon, sokongan, semangat, bantuan dan doa yang diberikan pada setiap masa sepanjang saya mengharungi hidup dalam memperjuangkan falsafah kewangan www.shamsuddinkadir.com dan falsafah hidup www.DilemaMuslim.com
Saya memohon dan merayu kepada Tuan dan Puan agar dapat memaafkan saya diatas setiap kesilapan dan kesalahan yang saya lakukan sepanjang kita berkenalan.
Ya Allah kurniakan kepada semua tetamuku dengan limpahan kebaikan yang datang mendadak dan lindungilah mereka dari segala kejahatan yang ada di dalam dunia ini. Ya Allah perkenankan doaku ini. Amin
Shamsuddin Bin Abdul Kadir
14 Muharram 1430 Hijriah bersamaan 11 Januari 2009
Assalamualaikum
Kenapa lain benar ayat Tuan untuk entri ini. Saya kurang faham.
Memang semua manusia akan berakhir dengan kematian.
Tapi Tuan Sham menulis seperti betul akan pergi dalam waktu terdekat.
Sekali bunyi seperti orang merajuk pulak.
Maafkan saya.
Salam Tuan Sham,
Adakah tuan sham dalam keadaan yang tidak sihat sekarang? Ajal maut semua ditangan Allah. Kita sbagai hamba yg kerdil hanya boleh memohon di beri kesihatan dan sentiasa di tetapkan iman untuk selalu beribadah kepadanya. Amin…
Waalaikummusalam Cik Puan Wati,
Sehingga ke saat ini saya tidak ada merasakan sesuatu yang berlainan. Entri itu adalah sebahagian dari persiapan saya bagi membuat hebahan awal, jika sesuatu terjadi dengan halaman ini, ianya mungkin berpunca dari ketiadaan saya lagi di dunia ini.
Merajuk, Insyaa-Allah saya tidak, saya sentiasa akan terus berkongsikan idea, pengalaman, dan juga menjadikan halaman ini sebagai perjuangan meningkatkan ilmu kewangan kita ke suatu tahap yang terbaik.
Entri itu juga sebagai persiapan kepada mentee-mentee saya bagi menguasai ilmu-ilmu kewangan jauh lebih tinggi dari saya dan teruskan usaha berkongsikan ilmu kepada masyarakat sampai bila-bila.
Salam saudara Hamba Allah,
Alhamdulilah sekarang saya dalam keadaan sihat walafiat. Entri ini adalah sebagai persiapan saya jika diminta mengundur diri dari meneruskan usaha ini oleh Tuan punya makhluk dan sekelian alam.
Saya hanya khuatir, jika tiada penganti ataupun mentee-mentee yang ingin memajukan diri dengan kemahiran kewangan agar dapat dikongsikan bersama dan meneruskan apa yang telah diteruskan oleh orang yang terdahulu dari kita.
Sekali-sekala kita mengingati kubur, sudah lama saya tidak melawat ‘rumah’ (kubur) disebabkan sibuk. Itu yang mengingatkan saya bahawa sibuk saya itu tidak sesekalinya melambatkan tarikh saya dipindahkan ke alam yang seterusnya.