Skip to main content

Kita yang memilih sama ada ingin menjadikan hidup dengan senang ataupun susah. Skim Ansuran Mudah adalah kanser dalam kehidupan kita yang merampas segala ketenangan. Hidup kita menderita apabila terlibat dengan hutang yang tidak baik ini. Ramai yang akan bertanya, ada ke hutang yang baik? Secara asasnya tiada hutang yang lebih baik daripada tidak berhutang. Kerana matlamat utama manusia adalah akhirat, sudah pasti mati dalam keadaan tidak menangung hutang adalah misi utama setiap manusia yang yakin bahawa hidup di dunia hanyalah satu persinggahan singkat.

Hutang skim ansuran mudah sebenarnya membuatkan kita hidup di luar batasan normal manusia yang celik kewangan. ISkim Ansuran Mudah termasuk di dalam kategori hutang yang membuatkan kita semakin miskin.

Jika kita sudah terlibat dengan skim ansuran mudah, cepat-cepatlah menghabiskan bayaran baki hutang itu, jika ada bonus gunakan ke semuanya bagi menjelaskan hutang tersebut.

Hutang kad kredit adalah sebahagian daripada kanser kehidupan yang perlu kita jauhi.

Bagi mengelakkan kita dari ‘diperangkap’ oleh promoter, jurujual atau salesmen, elakkan daripada mendekati mereka yang menawarkan skim ansuran mudah dan juga kad kredit. Ini bagi memastikan kanser kehidupan itu tidak menjadi tetamu sial dalam rumah kita.

ShamsuddinKadir.com ingin memaklumkan sekali lagi bahawa hutang yang dibuat melalui skim ansuran mudah dan kad kredit adalah tidak direkomenkan oleh halaman ini. Walaupun ada kad kredit yang menawarkan skim pembelian ansuran dengan zero interest atau tanpa faedah.

Jika mesin membasuh pakaian kita rosak, pastikan kita ada duit tunai bagi membeli yang baru, jika belum berkemampuan, usahakan bagi membasuhnya secara manual. Tekanan ketika membasuh secara manual membantu kita bagi mendisiplin diri dan menjadikan kita orang yang berduit pada setiap masa. Kita hanya membeli mesin basuh apabila simpanan kita mencukupi.

Apabila kita merasa kepanasan yang tidak tertahan, langkah membeli penghawa dingin tiada masalah, tetapi pastikan ianya dibeli secara tunai.

Leave a Reply