Skip to main content

Kisah yang saya ingin bawa pada kali ini di maklumkan oleh seorang anak bernama Firdaus (bukan nama sebenar) yang melihat dengan mata sendiri kesan kad kredit yang menimpa ayahnya. Kemuncaknya berlaku sekitar tahun 2002. Ketika itu Firdaus masih menuntut di universiti. Ketika abang Firdaus hendak berkahwin, ketika itu juga  hutang kad kredit ayahnya menampakkan taringnya. Walaupun ianya secara kebetulan, tetapi ianya amat membebankan ayahnya itu. Banyak yang perlu difikirkan. Ibunya juga sudah berhenti kerja sebelum itu atas kemahuan ayahnya yang ketika itu mempunyai kewangan yang stabil.

Ketika bank-bank menagih hutang dari ketiga-tiga kad kreditnya, “ketika itu hendak ada duit RM10 dalam poket pun amat susah”. Ayahnya dahulu menjadi agen insurans. Jualan ketika itu juga jatuh, manakala semua komisen yang dimasukkan ke dalam bank akaunnya terus di ambil oleh bank kad kredit itu.  Ayahnya tiada pilihan melainkan membuat kerja sambilan bagi mengalas perut mereka sekeluarga. 

Ketika bank terus mengejar ayahnya menagih hutang, ketika itu juga ayahnya menerima satu lagi berita berat untuk ditanggungnya, ayahnya kena penyakit kencing manis.

Mereka tidak jadi untuk balik beraya di kampung walaupun jaraknya tidak lebih daripada 150km daripada tempat mereka tinggal, kerana tidak ada duit. Pada masa yang sama juga, hubungan ayahnya dengan nenek tiba-tiba rengang disebabkan mereka tidak balik raya. Tekanan yang setiap lelaki normal takut apabila berlakunya keretakan di dalam hubungan dengan ibunya, kerana dia tahu hidupnya tidak akan ‘selamat’.

Firdaus terkejut dan sedih apabila ayahnya memangil semua adik beradik Firdaus dan menyatakan bahawa ayahnya sudah tidak terdaya bagi menangung bebanan hutang kad kredit, ayahnya benar-benar tertekan, ketika itu juga Firdaus melihat ayahnya menangis di hadapan mereka sekeluarga.

Sejak dari hari itu, ayahnya sentiasa termenung dan diam, dia duduk bersendirian di luar rumah. Tiada lagi gelak tawanya, kad kredit telah mengubah perwatakan ayahnya itu. Pernah satu ketika itu, ayahnya terfikir untuk menjualkan rumah yang mereka tinggal itu bagi menjelaskan bebanan hutang yang tidak pernah habis. Akhirnya ayahnya terpaksa menukarkan nama pemilik rumah itu kepada abang Firdaus bagi mengelakkan rumah itu juga dirampas oleh bank.

Ayahnya terpaksa bertungkus lumus, bekerja sambilan, buat bisnes dengan kawan-kawan, akhirnya selepas 5-6 tahun, akhirnya hutang kad kredit itu berjaya dijelaskan semuanya.

Antara kata-kata  ayahnya  kepada Firdaus berkenaan dengan dilema kad kredit:

  •  “Jangan percaya sangat kepada bank”

  • Hati-hati dengan bank”

  • “Ketika mereka (bank) ingin memberi pinjaman, bukan main mesra dengan kita, tetapi bila kita tidak mampu bayar, ketika itu kita akan kenal taring sebenar mereka”

Dari kacamata Firdaus sendiri :

  • Pernah dia membuka peti sejuk di rumahnya ‘kosong’ tiada ada apa-apa.

  • Apabila situasi itu berlaku Firdaus tidak berani meminta duit daripada ayahnya walaupun dia amat memerlukannya.

  • Sewaktu cuti semester, Firdaus terpaksa bekerja sambilan bagi mendapatkan duit menampung apabila semester baru bermula. Ketika itu dia belum dapat duit pinjaman pendidikan yang dipohonnya.

Kini ayahnya tidak lagi  mengunakan kad kredit, ayahnya mengunakan kad debit sahaja. Ayahnya menasihati anak-anaknya supaya tidak mengunakan kad kredit.

——————————————-

Kad kredit mengheret mereka sekeluarga menderita. Banyak lagi yang dikongsi oleh saudara Firdaus (bukan nama sebenar). Insyaa-Allah ianya akan dikongsikan di dalam entri akan datang.

5 Comments

  • Roslan says:

    Salam! terima kasih kerana mengkongsikan pengalaman Firdaus yang boleh memberi ingatan dan pengajaran supaya kita berhati-hati menggunakan kad kredit. Pada saya memiliki kad kredit di masa ini perlu juga (1 memadai) kerana sebagai langkah berjaga-jaga di waktu dalam kecemasan. Di manakah orang yang boleh kita cari untuk membantu kita di dalam sesuatu kecemasan dewasa ini? Pokoknya kawalan perlu ada dan pandai menguasai nafsu. Bukan nafsu menunggangi kita…apa komen tuan sham?

  • kart says:

    Assalamualaikum Tuan Sham.

    Merdekakan diri dari berhutang adalah jalan yang paling terbaik untuk kita hidup dengan penuh kesederhanaan. Bila sifat tersebut timbul dalam diri kita, dengan sendirinya kita akan merasai nikmat kebahagiaan hidup di dunia yang sementara ini.

    Saya berdoa dan berharap agar saudara Firdaus dan keluarga dapat tempuhi dugaan ini dengan penuh ketabahan dan dapat mengatasinya dengan penuh kesabaran.

  • Salam saudara Roslan,

    Mungkin dalam hal ini kita sedikit berbeza pendapat, di mana saya mengalakkan pengunaan kad debit (termasuk kat debit mastercard dan visa) digunakan secara sepenuh di Malaysia. Hapuskan terus kadar caj yang dibebankan kepada pengguna.

    Isikan duit di dalam kad debit bagi memastikan ianya dapat digunakan ketika kecemasan.

    Walau bagaimanapun pandangan Saudara Roslan itu amatlah bernas kepada mereka yang belum mampu mengunakan debit kad.

  • Waalaikummusalam CikPuan Kart,

    Semoga dengan dugaan itu menambahkan lagi amalan baik dan juga pengharapan mereka kepada Allah SWT.

  • Mariam says:

    Salam Tn Sham & Firdaus

    Dugaan Allah itu tiada siapa yang menduga,kesilapan diri seringkali menjadikan kita insan yang begitu kerdil dimata sendiri lantaran tidak mampu membina kehidupan harmoni dalam keluarga,

    Firdaus,
    Bersabarlah kerana setiap dugaan ada penyelesaiannya,tabahkan hati dalam kerana inilah masanya kita perlu memahami hati org tua kita,Apa yang ayah Firdaus hadapi telah pun saya alami,beban hutang tak tertanggung mematangkan saya tentang ilmu kewangan,Jangankan peti ais kosong,saya pernah memberi anak saya makan nasi yg hampir basi gara gara hutang.Kini alhamdulillah segalanya mula berubah,dan doa anak anak saya juga menjadikan saya insan yang tabah.

    Begitu juga saya harapkan dari firdaus,doakan lah kesejahteraan org tua anda.

Leave a Reply