Skip to main content

Assalamualaikum Saudara Shamsuddin Kadir.

Saudara Shamsuddin,

Maaf kerana mengganggu saudara di hari cuti begini. Saya dapat no. email saudara ini dari sahabat isteri saya. Katanya saudara Shamsuddin boleh memberi nasihat dan pandangan mengenai masalah hutang piutang.

Saya adalah pengguna kad kredit yang setia. Setelah kad kredit saya telah maksimum digunakan, saya menggunakan kad kredit isteri saya pula tanpa pengetahuan beliau sehinggalah bank menghantar surat saman kepada isteri saya. Disebabkan terlalu marahkan saya dia hanya membisu hampir dua minggu lamanya dan selepas itu dia memberitahu saya bank akan menarik balik surat saman tersebut dengan syarat membayar hutang RM1,200 pada setiap bulan selama 5 tahun.

Rupanya dia telah pergi ke bank tersebut untuk membuat rayuan. Jadi sekarang setiap bulan saya kena bayar RM 3,000 sebulan kepada Bank untuk kad kredit saya dan isteri. Gaji saya hanya RM 4,600 sahaja, hutang rumah dan kereta juga saya perlu bayar. Duit simpanan saya telah habis membayar hutang piutang saya.

Atas nasihat saudara Shamsuddin juga,  saya telah menghubungi pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, dimana pihak AKPK tersebut dalam proses untuk membantu saya. Saya dan isteri masing-masing ada mempunyai rumah. Saya bercadang untuk menjual rumah saya iaitu rumah yang sekarang kami duduki dan duit tersebut saya bercadang untuk membayar hutang kad kredit isteri saya dan sementara itu kami akan menyewa dulu rumah yang saya mampu. Rumah isteri saya pula di Johor Bahru, sayang pula nak jual sebab sewanya agak mahal. Saya minta pandangan Saudara Shamsuddin Kadir, betul tak tindakan saya ini. Harap Saudara dapat membantu saya.

Terima kasih Tuan Shamsuddin Kadir. Buku Tuan `Hidup Tenang Walaupun Berhutang’ memang dapat menyedarkan dan menginsafkan diri saya. Saya akan membelinya nanti untuk simpanan saya.

Sekali lagi, saya mohon agar saudara Shamsuddin dapat membantu saya memberi pandangan terhadap masalah saya ini.

 

Ismail Ali (Bukan nama sebenar)

Bandar Baru Sungai Buloh.

Nota Shamsuddin Kadir :  Waalaikummusalam Saudara Ismail, Semoga Allah mengurniakan ilmu yang bermanfaat kepada saudara bagi dijauhi daripada bebanan yang diakibatkan oleh hutang itu.

Alhamdulilah, syukur Tuan telah mengambil langkah yang bijak dengan menghubungi AKPK.

Tindakan Tuan untuk menjual sebuah rumah adalah satu tindakan yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ‘hutang’ saudara Ismail, tetapi pada pandangan peribadi saya, elok saudara menunggu sehingga pihak AKPK menstruktur semula hutang itu.

Jika penstrukturan itu masih membebani saudara, menjual satu daripada rumah tersebut ‘mungkin’ pilihan yang terbaik yang saudara harus lakukan.

Sementara menunggu nasihat daripada AKPK itu, dicadangkan agar saudara Ismail, memulakan langkah memotong kos belanja hidup kepada tidak lebih dari 70% gaji yang diterima.

Penggunaan kad kredit telah menyebabkan saudara hidup diluar batasan kemampuan sebenar saudara. Ini bererti, saudara perlu menukar gaya hidup diri, pasangan dan keluarga kepada gaya hidup yang menyamai 70% wang gaji bersih yang diterima.

Sekian, terima kasih

www.shamsuddinkadir.com

Penguna kad kredit yang sudah masuk perangkap kewangan sebenarnya telah mengubah gaya hidupnya kepada gaya hidup yang tidak mampu dibiayainya tanpa pertolongan ‘kad hutang’.

Leave a Reply