Skip to main content

Punca utama kenapa pekerja menghadapi bebanan kewangan adalah disebabkan tidak mengetahui bagaimana untuk mengukur belanja berdasarkan gaji yang diterima. Pelik tetapi benar.

Ukur baju dibadan sendiri. Saiz kain yang diperlukan untuk membuat baju adalah bergantung kepada saiz badan kita. Jika kita bersaiz kecil (S) maka jumlah kain yang diperlukan lebih sedikit berbanding individu yang bersaiz (L).

Apabila gaji bersih iaitu tanpa tolakan mana-mana pinjaman adalah RM2,000 maka formula untuk menentukan saiz kemampuan kita adalah RM2,000 X 70% = RM1,400. Ini bererti kos perbelanjaan bulanan kita termasuk dengan bayaran ansuran kereta, rumah dan segala-galanya tidak boleh melebihi daripada RM1,400 pada setiap bulan.

Berapa peratus anda mengunakan duit gaji bersih untuk menangung kos sara hidup bulanan ?

  • Adakah anda berbelanja melebihi 100% iaitu dengan mengunakan kad kredit tetapi tidak menjelaskan semua hutang di dalam kad kredit itu. Kumpulan pekerja yang ‘ICU’ amat-amat kritikal.

  • Adakah anda berbelanja 100% daripada duit gaji yang diterima? Di mana pada setiap hujung bulan tiada lagi baki duit yang tinggal dalam akaun, kecuali beberapa ringgit.

  • Adakah anda berbelanja melebihi 70% , tetapi tidak melebihi 90% daripada wang gaji itu?

  • Adakah anda berbelanja 70% daripada duit gaji bulanan? Ataupun

  • Adakah anda berbelanja kurang daripada 67% daripada duit gaji bulanan?

Di sini anda dapat menilai sejauh mana anda sudah berbelanja. Anda juga dapat melihat sama ada anda sedang hidup dengan gaya hidup yang mewah.

  • Ya hidup di luar batasan normal.

  • Ya hidup di alam ‘khayalan’.

  • Ya hidup dengan menikmati hidup secara berhutang.

  • Ya hidup dalam keadaan lupa tentang kemampuan anda sebenar.

Seperti yang telah dan akan dinyatakan dari masa ke semasa, had maksimun untuk kita berbelanja pada sesuatu bulan adalah tidak lebih dari 70% pendapatan yang kita terima.

Apa nak buat apabila kita sudah berbelanja melebihi paras normal? Kurangkan, potong kos yang tidak perlu. Hentikan perkhidmatan yang kita sebenarnya tidak mampu untuk sementara waktu. Sebagai contoh, saluran tv berbayar, kemudahan internet dirumah dan sebagainya.

Jika anda sebelum ini membeli kemeja yang berjenama terkenal dengan harga RM180 sehelai, kini anda membeli baju yang berharga RM 100 ke bawah dan sebagainya.

Jika sebelum ini anda suka membeli beg tangan yang berharga melebihi RM200, kurangkan kepada handbag yang lebih murah. Contohnya RM100 ke bawah.

Barangan dan perkhidmatan yang dijual di luar sana bukan semuanya layak untuk kita nikmati. Sebagai manusia kita mempunyai had pada sesuatu masa. Sebelum kita berjaya meningkatkan kemampuan kita, jangan membeli barangan yang ketika ini, kita tidak berkemampuan. Walaupun kita tidak mampu sekarang, kita tetap berazam meningkatkan pendapatan supaya kita dapat memilikinya nanti. Tetapi sebelum itu, jangan beli.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Leave a Reply