Skip to main content

Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah. Tuhan yang telah menjadikan kita sebagai makhluk ciptaannya yang terbaik, iaitu sebagai Manusia.

Satu Keluarga Satu Bisnes adalah tajuk bagi Tazkhirah Jumaat pada hari ini. Bagi memastikan ekonomi umat Islam sentiasa teguh dan kuat, setiap manusia tidak kira lelaki ataupun perempuan perlu memainkan peranan.

Bagi individu yang sudah bergelar suami dan isteri, perancangan bagi memiliki anak yang bukan sahaja baik dari segi zahir dan batin, bahkan juga sebagai pendokong kepada kemakmuran ekonomi umat Islam.

Bagi mencapai impian itu, setiap keluarga perlu melahirkan sekurang-kurangnya seorang anak yang melibatkan diri dalam bisnes. Ini dapat dijayakan apabila setiap ibubapa memainkan peranan dengan mendidik anak-anak untuk melibatkan diri dalam bidang bisnes sejak di bangku sekolah.

Langkah pertama bagi mendekati anak-anak dengan bisnes adalah dengan memberikan mereka pendedahan tentang duit. Apabila kanak-kanak memahami fungsi duit dan bagaimana untuk mendapatkan duit. Mereka menjadi semakin berminat untuk mencari duit. Ketika ini beri dorongan kepada mereka untuk memulakan bisnes.

Dengan mendedahkan semua anak-anak dengan dunia bisnes, Insyaa-Allah, kita dapat melihat anak mana yang amat berminat dengan bisnes. Teruskan bagi galakan positif kepada anak yang berminat dengan bisnes. Manakala bagi anak yang di dapati belum bersedia ataupun tiada minat untuk meneruskan, bagi dorongan untuk mereka membaca buku-buku dalam bidang pengurusan. Ini dapat menjadikan anak kita berjaya sama ada sebagai ahli bisnesman ataupun pengurus-pengurus syarikat dan di agensi awam yang berjaya.

Semakin ramai umat Islam yang menguasai ekonomi dan jawatan pengurusan, semakin banyak faedah yang dapat dirasai oleh masyarat Islam itu sendiri. Sumbangan, sadeqah, zakat, sokongan daripada anak-anak yang berjaya ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup masyarat Islam yang ditimpa kesusahan. Anak-anak ini juga sebagai tiang-tiang yang terus menyokong ekonomi umat Islam supaya tidak jatuh fakir ataupun merempat seperti berlaku di kebanyakan negara yang majoritinya adalah orang Islam yang miskin.

Dalam keghairahan kita menyambut tuntutan fardhu kifayah ini,  jangan kita abaikan perkara yang paling mustahak iaitu, dekati anak kita itu dengan Penciptanya iaitu Allah. Dengan iman yang kuat, sudah pasti anak-anak kita itu bebas daripada barah yang merosakan dan menghancurkan ekonomi orang Islam iaitu Rasuah, Penipuan dan Riba.

Kepada individu yang belum berumahtangga, anda semua juga boleh mengunakan peluang ini bagi meningkatkan taraf penguasaan ilmu kewangan dan bisnes yang dapat digunakan dalam kehidupan harian.

Memastikan segala keperluan umat Islam di sediakan oleh orang Islam adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam. Oleh itu marilah kita sama-sama membantu saudara seagama yang melibatkan diri dalam perniagaan yang halal untuk terus maju. Membantu yang di maksudkan adalah dengan menyumbang modal, idea, tenaga ataupun membeli di kedai mereka.

Di samping itu, Allah tidak membenarkan kita membuat perniagaan yang salah di sisi Islam. Ketika ini masih ramai manusia yang percaya kepada Allah  yang tidak menghiraukan larangan Allah ini.

Mulakan langkah pertama kita pada hari ini dengan menyuntik anak-anak kita dengan dunia bisnes yang halal.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

2 Comments

  • Nampaknya, kena ubah ‘mind setting’ kebanyakan masyarakat Melayu sekarang yang mentakrifkan BISNES MELAYU = GAGAL @ GULUNG TIKAR.

    Melayu didalam Perlembagaan Malaysia boleh ditakrifkan sebagai rakyat yang beragama Islam.

    Mentaliti ini bukan sahaja menjatuhkan ekonomi orang Melayu malah memusnahkan!

    Beberapa rakan saya yang minat untuk menceburi bidang bisnes mengakui agak sukar untuknya memulakan bisnes kerana takut keluarga marah la, saudara mara pandang sinis la dan sebagainya.

    Alhamdulillah, setakat ini saya ada membantu 2 orang rakan saya dalam menguruskan perniagaan masing-masing. Bila ditanya, ” Mak ayah dah tahu belum bisnes yang kamu jalankan ini?”. Jawabnya, ” Aku belum bersedia”. (walaupun dah lebih setahun syarikat enterprisenya beroperasi!)

  • Orang Islam mempunyai tiga masalah utama dalam menguasai ekonomi dalam masyarakat Islam itu sendiri.

    1. Masalah tiada keyakinan diri, tidak berani dan serba salah apabila ingin melibatkan diri dengan bisnes. Ini banyak berlaku apabila individu tidak didedahkan dengan ilmu yang berkaitan. Buku Makan Gaji Tetapi Kaya, turut membuka minda pembaca dari sudut kenapa Dunia Makan Gaji ada banyak risiko juga.

    2. Tiada dorongan daripada ibubapa, adik-beradik dan kawan bagi membakar semangat dan memberi perangsang.

    3. Tiada sokongan daripada masyarakat Islam iaitu hanya segelintir individu beragama Islam yang mementingkan dengan siapa dia berurusniaga. Umat Islam yang memahami Fardhu Kifayah sudah tentu akan memberi keutamaan kepada kedai yang di miliki oleh orang Islam.

Leave a Reply