Skip to main content

Setiap bulan persoalan ini timbul di dalam setiap minda individu yang belum berjaya menguruskan duit gajinya dengan bijak. Dari bulan ke bulan, anda akan terus dibebani dengan tekanan, kerisauan memikirkan ke mana duit anda menghilang.

Sudah pasti setiap individu rungsing apabila tidak mengetahui ke mana duitnya menghilang, kerana sudah pasti ada kos yang tidak dapat dibayarnya.

Anda sudah cuba mengurangkan perbelanjaan, tetapi duit gaji anda semuanya habis, tidak tahu ke mana ianya pergi. Ini berlaku apabila anda tidak mencatitkan segala perbelanjaan yang dibuat dari hari pertama anda mendapat duit gaji sehingga wang itu habis dibelanjakan. 

Walaupun anda menunggu sepuluh tahun, anda tidak dapat mencari puncanya tanpa menyelidikinya secara sistematik dan berterusan. Bebanan yang anda tanggung menjadi semakin berat apabila anda tidak mencari punca masalah itu secepat mungkin. Kos inflasi membuatkan hidup individu yang ‘rabun kewangan’ semakin parah.

Mulakan hari ini untuk mencatitkan setiap perbelanjaan yang dibuat sama ada di atas kertas, ataupun di dalam komputer. Masukkan data-data kos harian ke dalam fail excel dan sebagainya. Lihat kos yang berlaku untuk sebulan. Teruskan bulan seterusnya. Selepas beberapa bulan anda akan dapati, secara tidak sengajanya kos bulanan anda sudah berkurangan disebabkan arahan yang dihantar oleh otak.

Otak normal akan memberikan maklum balas pantas apabila ianya memproses setiap angka kos yang anda senaraikan pada setiap hari itu. Otak akan memberikan isyarat secara semulajadi tentang kos apa yang anda perlu kurangkan. Walau bagaimanapun otak yang tidak dilengkapi dengan ilmu kewangan tidak dapat membantu individu untuk menguruskan bebanan kos sara hidup dengan efektif.

Dengan mengetahui cara anda berbelanja setiap RM duit gaji itu, anda dapat mengenali diri anda yang sebenar. Sama ada anda seorang yang berjimat ataupun yang suka berbelanja melebihi daripada kemampuan sebenar. ‘Biar Papa asalkan Bergaya’

Teruskan mencatit setiap duit yang dibelanjakan dengan mencatitkan ke dalam buku ‘555’ ataupun ke dalam komputer anda. Dengan keizinan Tuhan, kita dapat melihat dengan sejelas-jelasnya ke mana duit kita itu menghilang.

Ianya juga sesuai dipratikkan oleh pelajar sekolah dan universiti bagi menguruskan duit poket harian, bulanan ataupun duit pinjaman PTPTN / biasiswa.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Leave a Reply