“Dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah kamu daripada keburukan dan kemungkaran.”
Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah kita daripada keburukan dan kemungkaran.
Tanpa ‘Khusyuk’ iaitu fokus, sembahyang kita tidak dapat mencegah diri kita dari melakukan kemungkaran. Itu yang kita dapat lihat di mana ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari, tetapi masih menipu, mencuri, makan makanan yang tiada tanda halal yang sahih, meminta dan memberi rasuah, terlibat dengan instrumen kewangan yang haram.
Perkara yang paling asas dalam memastikan sembahyang kita itu ‘Khusyuk’ adalah mengetahui maksud bacaan dalam sembahyang. Apabila kita memahami maksudnya kita dapat menghayatinya.
Tanpa mengetahui maksud bagi setiap bacaan, minda, perasaan dan hati kita itu selalu bercelaru dan merayau-rayau umpama sebuah kapal tanpa nahkoda. Walaupun jasad kita berdiri teguh di atas tikar sembahyang, tetapi hati kita melayang entah ke mana.
Sembahyang orang yang lalai ialah sembahyang yang sempurna secara zahir iaitu pada pandangan orang lain terhadap kita. Tetapi hati tidak ikut serta di dalam sembahyang itu. Dari mula bersembahyang sehingga tamat, pelbagai perkara yang diingati, difikirkan. Ada yang memikirkan tentang ansuran kereta yang sudah tertunggak, ada yang memikirkan tentang rumah baru yang ingin dibeli dan sebagainya. Ini bermakna dari awal sembahyang sehingga akhir, hati tidak mengingati Allah. Ini adalah sembahyang yang dikategorikan sebagai sembahyang yang lalai.
“Neraka Wail bagi orang yang bersembahyang. Yang mereka itu lalai dalam sembahyangnya” Ayat Al-Maa’un: 4-5.
Pratik yang terbaik bagi mencapai ‘Khusyuk’ dalam sembahyang adalah dengan kita belajar memahami maksud setiap ayat yang dibaca.
Ketika mulut menyebut Allahhu Akbar, iaitu memuji kebesaran Allah, hati juga turut serta mengiakannya. Ketika mulut sedang menyebut “Innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil ‘alamin” hati dan seluruh jiwa juga turut mengiakan bahawa sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah.
-
Bagaimana jiwa kita dapat mengiakan, jika tujuan utama kita hidup adalah untuk menjadi kaya dan senang walaupun mengikut jalan yang haram seperti rasuah ?
-
Bagaimana kita dapat mengatakan hidup kita hanya untuk beribadah kepada Allah, sedangkan kita tidak mencari makanan yang sah halal seperti yang ada tanda Halal Jakim yang sah?
-
Bagaimana kita mengatakan hidup kita semata-mata untuk Allah tetapi kita tidak memastikan semua urusan hidup, kita memberi sokongan kepada peniaga-peniaga yang beragama Islam? Contohnya dengan membeli di kedai runcit yang dimiliki oleh orang Islam seperti yang dikehendaki di bawah Fardhu Kifayah.
-
Bagaimana kita mengatakan mati kita hanya semata-mata untuk Allah, sedangkan kita tidak jarang mengingati mati dan tidak pernah bersedia untuk menghadapi ‘hari berkabung’ iaitu hari kita mati?
Insyaa-Allah kita akan sambung dengan maksud terjemahan Al-Fatihah, supaya kita dapat lebih memahaminya dan dapat mencapai sembahyang yang diterima oleh Allah, insyaa-Allah. Kita juga mengharapkan sembahyang kita itu menjadi pencegah kepada segala yang dilarang oleh Allah.
Sementara Allah belum memanggil kita ke alam barzakh, gunakan kesempatan yang masih ada untuk meningkatkan kualiti sembahyang kita.
Shamsuddin Kadir
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008
Alhamdulillah..Jadilah kita insan yang beriman kepada Allah dan rasulnya..semoga ibadah kita diterima,sesungguhnya solat itu tiang agama.
Assalamualaikum Tuan Sham!
Memang betul Tuan Sham, bukan mudah untuk mendapat khusyuk dalam solat kita, tetapi kita wajiblah belajar dan berusaha untuk mendapatkannya. Ketika menyebut `ALLAHHU AKBAR sebutlah dengan keinsafan diri, INSYAALAH kita akan khusyuk dalam solat kita. Saya menasihati diri saya dan para pembaca semua JANGAN melengah-lengah waktu solat. Ini juga adalah perkara utama dalam Solat. Semoga kita semua menjadi Insan Mulia Dalam Sembahyang.
YA ALLAH YA TUHANKU, Saya berdoa kepada MU YA ALLAH terimalah Solatku, Solat keluarga ku, Solat jiranku, Solat sahabat-sahabatku, dan semua muslimin dan muslimat DAN JAUHILAH kami semua dari Solat yang lalai. Amin.