Skip to main content

Adakah kedatangan hari pekerja yang membuat pekerja paling gembira? Kebanyakan pekerja hanya merasakan kenikmatan hari itu sebagai hari yang mereka tidak perlu bekerja. Setiap kali kehadiran tanggal 1 Mei setiap tahun, majoriti syarikat dan pejabat kerajaan tutup.

Adakah 1 Mei yang menjadikan hari bagi Pekerja untuk berpesta? Ohh tidak…Hanya segelintir pekerja yang dapat merasainya.

Majoriti pekerja menjadikan hari-hari terakhir dalam kalendar setiap bulan adalah hari untuk berpesta. Ini dapat di rasai bagi setiap wargakerja awam dan swasta yang masing-masing menerima ‘Duit Gaji’ pada penghujung setiap bulan. Pesta ini dapat disaksikan apabila ruangan letak kereta di pasaraya tiba-tiba penuh, sesak dan ada yang menunggu setengah jam bagi mendapatkan tempat meletak keretanya.

Bagaimana dengan kedai-kedai yang menjual makanan segera. Ada yang terus makan di situ, ada yang membawa pulang beberapa plastik yang mengandungi pelbagai makanan segera.

Muka-muka para pekerja menjadi berseri-seri, ini menyatakan mereka sedang berpesta. Di mana sahaja, pekerja dilihat dalam keadaan berseri-seri. Terdapat segelintir pekerja yang tidak merasai nikmat ini, apabila wang gaji itu hanya cukup untuk membayar hutang dan belanja bulanan. Tiada bagi untuk mereka berpesta.

Ada yang dapat meraikan pesta tetapi hanya untuk beberapa hari pertama selepas menerima gaji. Selepas seminggu pertama, tangan sudah mulai menggaru kepala yang tidak gatal. Ini berlaku apabila kita tidak memastikan belanja bulanan kita tidak melebihi daripada 70% daripada pendapatan  yang kita terima pada setiap bulan.

Tidak salah untuk meraihkan hari pesta, tetapi pastikan ianya di bawah 70% dari duit gaji yang dibelanjakan sepanjang bulan. Ini bagi memastikan kita terus tersenyum sehingga bertemu dengan bulan yang seterusnya.

Hentikan meraikan pesta, jika anda sudah membelanjakan melebihi 70% daripada gaji anda pada setiap bulan. Tabiat yang meraikan pesta dengan berbelanja melebihi 70% menunjukkan anda telah berbelanja melebihi apa yang anda sebenarnya mampu. Menghentikan segala cara yang anda gunakan bagi meraikan ‘duit gaji’ untuk sementara waktu menghindarkan anda daripada bebanan stres yang melampau.

Ramai yang sudah menderita dengan terus berbelanja melebihi 70%, jangan jadikan anda mangsa yang seterusnya. Jumlahkan semua perbelanjaan dan bayaran ansuran hutang anda. Jika jumlah itu melebihi 70%, itu bermakna anda menikmati hidup yang lebih bergaya daripada yang anda sebenarnya mampu.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

2 Comments

  • shamina says:

    Assalamualaikum Tuan Shamsuddin Kadir!

    Saya suka betul dengan tajuk kali ini, Pesta Untuk Pekerja Datang Lagi. Memang betul pendapat Tuan Shamsuddin Kadir, hari Gaji atau minggu dapat gaji adalah pesta untuk para pekerja yang makan gaji seperti saya juga.

    Minggu ini terasa macam dunia kita yang punya….. ialah duit masih banyak, baru dapat gajilah katakan…. bukankah begitu Tuan Shamsuddin Kadir.

    Disini saya mahu berkongsi bersama pengalaman saya. Saya adalah seorang kakitangan bawahan di pejabat kerajaan. Saya mempunyai sifat boros yang agak membimbangkan suatu ketika dahulu tetapi mujurlah dinasihati oleh sahabat saya dan dia juga adalah sabahat karib saya. Jika kita mempunyai sifat boros dan suka enjoy bergaya dari apa yang kita mampu, setiap hujung bulan kita pasti akan berasa tidak sihat, ialah terasa gaji lambat lagi…. duit dah berkurangan … kadang-kadang tidak mencukupi dan terpaksa pinjam dengan keluarga di kampung. Nak pinjam dengan kawan-kawan malu. Ye le mempunyai sikap biar papa asalkan bergaya.

    Tetapi saya teramatlah bersyukur ke Hadrat ALLAH s.w.t kerana sahabat saya telah menyedarkan saya dan telah membuka minda saya, betapa pentingnya wang bagi kita untuk masa depan kita. Sahabat saya telah meminjamkan 2 buku yang ditulis oleh Tuan Shamsuddin Kadir untuk saya membacanya sebagai panduan saya.

    Seperti pendapat Tuan Shamsuddin Kadir kita tidak boleh berbelanja melebihi dari 70% dari wang gaji kita. Alhamdulillah hampir setahun saya amalkan panduan tersebut, hidup saya terasa lebih tenang dan duit simpanan saya telah berlipat ganda. Sekarang tarikh gaji keluar pun saya sudah tak kisah sangat. Ya la duit simpanan masih ada.

    Terima kasih Tuan Shamsuddin Kadir dan sahabat saya. Semoga ALLAH s.w.t memberi cahaya kesejahteraan dalam hidup Tuan dan sahabat saya… Amin.

  • Waalaikummusalam Puan Shamina,

    Semoga Allah mengurniakan kepada Puan dengan limpahan kenikmatan, ketenangan dan kekal bahagia dalam melalui liku-liku kehidupan di dunia dan di akhirat. Ya Allah perkenankan doaku ini. Amin.

    Saya bersyukur apabila Puan dapat mempratikkan dengan sabar konsep 70% itu. Sebagai balasannya Puan sudah tidak kisah tentang bila gaji masuk. Itu adalah salah satu kenikmatan yang Allah berikan apabila kita sanggup bersabar.

    Sampaikan salam sahabat Puan itu daripada saya. dan ucapkan terima kasih kerana sudi meminjamkan buku demi melihat rakannya menjadi lebih bahagia.

    Tahniah juga kepada Puan kerana dikurniakan seorang sahabat yang sebaiknya.

    Saya amat gembira dan mengalukan sebarang komen dan pandangan tentang isu semasa berkenaan dengan kewangan dan pembangunan diri. Saya mengalu-alukan Puan dan rakan-rakan untuk memberi pandangan, nasihat, idea bagi membantu kita semua menguruskan diri dengan lebih baik.

Leave a Reply