Skip to main content

Jurulatih terkenal iaitu Muhammad bin Abdullah tidak pernah menyalahkan faktor sekelilingnya, walaupun sepanjang 10 tahun di Mekah, beliau hanya berjaya mendidik 40 orang menyembah Tuhan yang sebenar.  Beliau hanya memastikan dirinya sentiasa menunjukkan contoh yang terbaik untuk diikuti oleh orang lain. Begitu juga dengan para sahabatnya yang juga mempamerkan sikap peribadi yang sama. Tidak pernah mereka mengkritik orang lain, apa yang mereka lakukan adalah meningkatkan diri masing-masing ke arah yang disukai oleh Tuhan.

Insan-insan biasa hanya percaya kepada CCTV yang mereka nampak dengan mengunakan mata kasar. Akhir-akhir ini semakin banyak CCTV jenis ini dipasang di merata tempat. Ini adalah bagi mengawasi dan memantau pergerakan manusia  supaya,  apabila ada individu yang melakukan jenayah dapat ditangkap.

CCTV itu hanya dipantau oleh manusia dan bergantung kepada fungsi kamera itu bagi memberikan gambaran tentang kawasan yang dipantaunya. Ini bermakna CCTV itu hanya membantu ketika ianya berfungsi yakni tidak rosak dan gambar yang dihasilkan mesti jelas.

Kini timbul keperluan untuk memasang CCTV di hampir semua tempat seperti taman-taman, pasaraya, laluan pejalan kaki, hentian bas, stesyen komuter, LRT, pasar ikan, sekolah, … dan banyak lagi sampai tidak tertulis oleh saya.

Banyak perkara yang perlu diambil kita sebelum kita membuat keputusan. Antaranya adalah :

  • Kos yang ditanggung adalah tinggi, kerana setiap kamera yang jelas gambarnya dan berkualiti adalah mencecah ribuan ringgit.

  • Kos pemantauan juga tinggi, kerana ianya memerlukan manusia untuk ditugaskan bagi memantau setiap kamera yang dipasang. Seorang pekerja tidak mampu bagi memantau semua lokasi yang ditunjukkan oleh kamera yang dipasang. Banyak individu yang perlu diambil bertugas bagi menjaga puluhan ribu kamera yang sedang dan akan dipasang.

  • Kos penyelenggaran  bagi setiap kamera tinggi, kerana ianya terletak di luar bangunan, terdedah kepada cuaca, kerosakan (vandalism) dan risiko ianya dicuri.

  • Kamera itu boleh beroperasi 24 jam, tetapi manusia yang bertugas memantaunya tidak dapat memastikan diri mereka dapat memandang TV pemantauan selama 8 jam (shift) sehari tanpa terlepas pandang.

  • Kamera juga tidak dapat lari daripada mengalami kerosakan. Tidak mustahil ianya rosak ketika kita amat memerlukannya.

Melihat kepada senario penyelesaian masalah dengan kaedah itu saya teringat kepada kisah seorang raja yang mengeliling dunia dengan berjalan dengan berkaki ayam. 

Apabila beliau mula berjalan keluar dariapda istananya, beliau merasa sakit kerana kakinya sudah mula memijak batu-batu kecil yang terdapat di sepanjang jalan yang dilaluinya. Tiada lagi hamparan karpet yang meliputi lantai seperti di dalam istananya.

Ketika beliau melintasi kawasan semak, beliau menahan sakit kerana terpijak ranting kayu yang tajam. Ada masanya beliau terpijak duri dan ketika melalui kawasan pembuangan sampah beliau terpijak kaca yang menyebabkan kakinya berdarah. Beliau menahan kesakitan. Dia terus berjalan, apabila melalui kawasan yang berlumpur, habis kakinya dilitupi dengan lumpur. Dia masih meneruskan perjalanan apabila melalui kawasan yang berbukit, kakinya semakin tidak dapat menangung kesakitan akibat permukaan bukit yang berbatu dan tajam. Adakalanya dia terpaksa melalui jalan yang hanya dilitupi dengan batu-batu kerikil. Kakinya sudah tidak dapat menahan kesakitan.

Akhirnya beliau kembali ke istananya, lalu beliau memanggil  pegawainya untuk mengatasi maslaah yang sedang dihadapinya itu.  Beliau memerintahkan supaya di pasang karpet di seluruh jajahan takluknya iaitu ‘dunianya’. Ini bagi mengatasi masalah yang di hadapi olehnya itu.

Datang seorang rakyat biasa dan berkata “Tuanku, kenapa masalah yang sekecil itu hendak diselesaikan dengan menimbulkan masalah yang lagi besar?”

Raja                : “Apa maksudmu itu?”

Rakyat biasa : “Bagi memasang karpet diseluruh negeri memerlukan kos yang banyak dan memerlukan ramai pekerja. Jajahan takluk Tuanku amatlah luas. Setahun pun kita tidak dapat menyiapkan karpet diseluruh jajahan takluk Tuanku.”

Raja               : “Habis bagaimana dapat beta lakukan bagi menyelesaikan masalah beta?”

Rakyat biasa : “Hanya dengan Tuanku memakai kasut, maka selesailah masalah Tuanku. Tiada lagi masalah permukaan tanah yang kasar ataupun duri yang dapat menyakitkan kaki Tuanku lagi. Kos mendapatkan sepasang kasut teramat murah berbanding kos bagi memasang karpet diseluruh jajahan takluk Tuanku”.

Kesimpulannya : Permasalahan jenayah yang semakin berleluasa ingin diselesaikan dengan memasang CCTV di semua tempat. Adakah ianya jalan penyelesaian terbaik?

Ada manusia yang alpa dengan kewujudan CCTV yang wujud sebelum manusia itu lahir ke dunia.

Dan di antara manusia ada yang berkata ‘Kami beriman kepada Tuhan dan hari akhirat, padalah mereka itu sebenarnya tidak beriman” Surah Al – Baqarah Ayat 8.

Apabila setiap manusia itu dibawa dan dididik untuk beriman kepada Tuhan, secara semulajadinya lahir sebuah kamera besar. Kamera ini bukan sahaja 3D tetapi dapat mengambil gambaran yang jelas 100% lebih jelas daripada gambaran yang dilihat oleh mata manusia itu sendiri. Ianya berfungsi 24 jam sehari dan bebas daripada kerosakan dan ianya tahan untuk selama-lamanya. Tidak memerlukan penyelenggaraan, tidak memerlukan pekerja untuk memantaunya. Kadar kecekapannya adalah 100% dengan jaminan muktamad ‘zero downtime’.

Kamera ini sentiasa terpasang dan mengikuti anda ke mana sahaja anda pergi termasuk ke dalam bilik air. Malunya. Tiada sesaatpun aktiviti anda yang tidak dirakamkan ataupun dilihat. Tuhan yang mencipta diri kita sendiri yang melihatnya dan ada malaikat yang ditugaskan untuk memantaunya 24 jam sehari iaitu malaikat di kiri dan kanan kita.

Dengan menjadikan kamera ini wujud di dalam diri sendiri, kita menyedari dan merasai diri kita sentiasa diawasi, setiap gerak geri kita diperhatikan. Cara kita duduk di atas kerusi ketika ini berbeza dengan posisi seluruh anggota badan, ketika kita duduk di hadapan kamera yang merakam diri kita dan menayangkan siaran langsung kepada seluruh  rakyat Malaysia.

Apabila ditonton oleh semua orang, kita memastikan gerak geri kita sentiasa berada di dalam posisi yang baik. 

Begitu juga apabila kita yakin bahawa Tuhan sedang memerhatikan kita pada setiap saat. Kita yakin kamera ini tidak pernah gagal berfungsi walaupun sesaat. Kamera ini tidak dapat dibeli dengan mengunakan wang ringgit. Ia hanya dapat dibeli dengan iman. Percaya dan yakin terhadap Tuhan yang telah menjadikan kita manusia.

Apabila manusia itu mencari indentitinya yang sebenar, dia mengorak langkah mencari penciptanya. Perjalanan mencari dan mengenali penciptanya mengubah DIMENSI DIRInya menjadi orang yang hebat dan berpengaruh.

Model ikutan yang dikenali di seluruh dunia adalah Muhammad bin Abdullah (s.a.w)

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

4 Comments

  • Assalamualaikum En. Shamsuddin,

    Entri-entri yang tuan tulis di blog ini banyak memberi kesedaran. Tulislah lagi, semoga usaha tuan untuk saling ingat-mengingatkan ini memberi kebaikan kepada ramai insan di mana-mana jua blog ini dapat di baca.

    Membaca pantun tuan di blog Puan Sifu (entri ucapan Hari Jadi Sifu), hati saya bagaikan digeletek. Tidak sangka pula tuan yang tampak sangat ‘cool’ ini pandai berpantun lucu ya…

    Wood is kayu
    Duck is itek
    When I ingat you
    I panjat pokok betik

    Aduhai, sampai keluar air mata saya tergelak!!!

  • Waalaikummusalam Puan Norlela,

    Semoga Allah mengurniakan kepada Puan dipagi yang mulia ini dengan berita-berita baik yang datang mendadak dan ditambahkan dengan limpahan kebahagian hidup. Ya Allah perkenankan doaku ini. Amin

    Puan saya ini jenis yang tidak pandai untuk berpantun, tetapi disebabkan ramai yang menghadiakan pantun, saya terpaksa mencari dalam peti besi buruk di ‘minda’ saya. Alhamdulilah, teringat pantun terakhir yang disebutkan oleh Pengetua sekolah saya ketika hari terakhirnya sebagai pengetua.

    Terima Kasih, saya juga tergelak apabila pengetua saya menyebutnya pada kali pertama 15 tahun yang lalu.

    Puan, pantun itu mungkin sesuai juga jika diucapkan ketika menutup apa-apa bengkel ataupun kursus. Supaya peserta tergelak seperti Puan hari ini.

  • Abu Afham says:

    Saya pun tak sangka Tuan Shamsuddin pandai berpantun. Geli hati membacanya.

    Agaknya ini lah antara pantun wajib yang akan diungkapkan oleh Tuan Shamsuddin selepas tamat bengkel/kursus.

  • admin says:

    Tuan Afham,

    Apabila orang tidak menyangka kita dapat berpantun, ketika itu adalah masa yang sesuai untuk membuat ‘element of surprise’. Saya belajarnya daripada seorang komander tentera.

    Nampaknya pantun itu sesuai diketengahkan. saya akan guna cadangan Tuan dan menjadikannya sebahagian daripada pantun wajib bagi program yang saya kendalikan di masa akan datang.

    Saya hampir melupakan pantun itu. Tuan juga boleh gunakan pada program Tuan nanti, jika ianya sesuai.

Leave a Reply