Skip to main content

Apabila melepasi zaman pembelajaran asas sama ada diperingkat sekolah menengah ataupun universiti, setiap individu akan memasuki sama ada dunia pekerjaan ataupun perniagaan.

Kebanyakan individu di Malaysia memilih dunia ‘Makan Gaji’ sebagai pilihan utama bagi mendapatkan duit untuk menyara hidup di dunia. Individu yang makan gaji sinonim dengan panggilan pekerja.

Apabila menjadi seorang pekerja pemikiran yang wujud dalam diri adalah Pemikiran Pekerja atau Employee Thinking. Di mana pekerja berfikir bahawa mereka perlu melakukan kerja apabila disuruh ataupun diarah oleh bos. Pekerja yang melakukan tugasan yang diberikan oleh majikan. Dengan melakukan segala kerja yang disuruh oleh majikan atau bos adalah memenuhi tanggungjawab kita sebagai seorang pekerja.

Gaji atau pendapatan yang diterima adalah halal dan bersih kerana kita telah menyiapkan dan melakukan apa yang disuruh oleh majikan. Duit yang diterima hasil daripada melakukan apa yang dikehendaki oleh majikan yang mengupah kita adalah halal. Persoalan kita pada hari ini bukannya tentang halal ataupun haram pendapatan yang datang dari sumber gaji, tetapi tahap keupayaan kita melakukan kerja.

Sebagai contohnya. Abu Afham bekerja di bahagian pentadbiran. Suatu hari bosnya iaitu CEO, mengarahkan dia untuk menulis dan menghantar sepucuk surat kepada TM (Telekom). Surat itu adalah bertujuan memindah semua talian telefon di pejabat sedia ada ke pejabat baru yang akan memulakan operasi pada Isnin minggu hadapan. Selepas menerima arahan tersebut, beliau menulis sepucuk surat dan menghantarkannya kepada syarikat TM (Telekom)  seperti yang diarahkan oleh CEOnya. Di sini kita dapat melihat bahawa Abu Afham menyempurnakan tanggungjawabnya seperti dikehendaki oleh majikannya. – Di sini ada satu persoalan baru mengenai definisi tanggungjawab yang akan dikongsikan di artikel yang berlainan.

Apabila Abu Afham telah berbuat demikian, dia sebenarnya mengunakan pemikiran pekerja untuk menyempurnakan tugasan yang diberikan. Sudah pasti bosnya itu tenang apabila diberitahu bahawa sepucuk surat telah dihantar kepada TM (Telekom) pada hari dia mengarahkannya.

 

Lihat situasi sama tetapi dengan konsep pemikiran yang berbeza: Abu Afham dipanggil berjumpa dengan CEOnya. 

“Afham, sila hantar surat kepada TM untuk memindahkan semua talian telefon ke pejabat baru kita mulai hari Isnin depan” kata CEO.

“Tuan saya telah menyerahkan surat bagi pemindahan semua talian telefon kepada En. Azree pada hari Jumaat yang lalu untuk diambil tindakan. Pihak TM akan memindahkan semua talian itu secara berperingkat dan akan  siap sepenuhnya pada hari Isnin depan.” kata Afham kepada bosnya itu.

Apakah perasaan bosnya apabila mempunyai pekerja seperti ini?

  • Adakah dia gembira atau hanya tenang mendengar apa yang disampaikan oleh Afham itu?

  • Adakah bosnya itu dapat menaruhkan sepenuhnya kepercayaan kepada Abu Afham apabila bertindak sedemikian?

Apa yang menyebabkan Afham bertindak lebih pantas daripada arahan majikannya itu? Ini kerana dia berfikir seperti majikan. Dia sentiasa memikirkan seperti mana majikannya berfikir. Secara praktikalnya dia bekerja dengan memiliki pemikiran majikan. Hampir semua tugasan dibuatnya terlebih dahulu sebelum bosnya mengarahkan dia untuk melakukan.

Jika tibanya masa untuk memberi imbuhan, pekerja mana yang anda didahulukan oleh bos ?

  • Pekerja dengan pemikiran pekerja, iaitu buat apabila disuruh ataupun 

  • Pekerja yang berfikir seperti majikan ataupun rakan kongsi pada majikan

Jika ada kekosongan ataupun keperluan melantik pengurus ataupun jawatan tinggi siapa yang tersenarai dalam minda CEO itu?

Jika anda melihat situasi Afham di atas, kedua-dua situasi itu memerlukannya menulis surat dan menghantarnya kepada TM.

Cuma yang membezakan hanyalah, Afham dengan sikap pertama, menunggu arahan manakala Afham dengan sikap kedua membuat kerja terlebih dahulu sebelum arahan diterima.

Tugasan atau kerja yang sama tetapi mendapat imbuhan ataupun gaji yang berbeza. Jadi tiada sebab kenapa kita tidak mahu berfikir seperti majikan. Kelebihannya banyak, peluangnya terbuka seluas-luasnya.

Apa yang terjadi jika bos anda tidak menghargai diri anda yang berfikir seperti majikan? Apa lagi, cari organisasi yang memiliki bos yang menghargai kebolehan anda itu. Jika masih tiada yang dapat menghargainya, sudah tiba masanya anda memulakan bisnes anda menjadi bos kepada diri anda sendiri. Selamat Berjaya

Ini adalah artikel yang ditulis semula selepas ‘ghaib’ dari halaman ini pada hari isnin yang lalu. Ianya berpunca daripada proses pemindahan server yang berlaku ketika artikel itu diletakkan di halaman web ini. Mohon maaf di atas semua komen yang diberikan yang turut hilang.

info@shamsuddinkadir.com

2 Comments

  • Mariam says:

    Ermmm satu ulasan yang bijak bagi pendapat saya dan secara tidak langsung bersetuju dengan kenyataan saudara. Namun ada segelintir majikan yang tidak mahu pekerja bawahannya lebih cerdik atau bertindak lebih dari beliau.

    Contoh di atas amat mudah dan diterima akal..tetapi banyak situasi kita pada hari ini jika kita adalah pekerja tahap 3 yang terdiri dari kerani, pembantu pejabat, ada ketika menunjuk kebolehan kita pada penyelia atas kita seringkali disalah ertikan.

    Ini hanyalah pendapat saya..kalau ingin dihujahkan mungkin banyak yang perlu dinyatakan.

    wassalam

  • Puan Mariam,

    Saya bersetuju dengan pandangan Puan bahawa seringkali usaha kita itu di salah ertikan oleh penyelia. Ini adalah dilema yang menghantui pekerja tahap 3.

    Kes seperti ini yang banyak berlaku di dalam mana-mana organisasi.

    Ianya disebabkan penyelia tiada semangat untuk mendorong dirinya dan pekerja bawahannya untuk lebih cemerlang setiap masa.

    Puan sebagai pekerja, kita teruskan impian kita berfikir seperti majikan. Dan pada masa yang sama usahakan bagi mendorong penyelia itu untuk menyokong usaha kita itu.

    “Apabila seseorang insan itu terus berusaha tanpa henti, yakinlah bahawa pertolongan dari Allah akan sampai”

Leave a Reply