Skip to main content

 Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Seperti yang kita ketahui,  manusia pertama yang diciptakan oleh Tuhan adalah Nabi Adam dan manakala Hawa adalah wanita pertama yang diciptakan oleh Tuhan. Bilangan manusia di bumi semakin bertambah apabila Hawa melahirkan anak-anak yang mulia. Bilangan manusia bertambah dengan kelahiran cucu, cicit… sehingga kita dapat lihat sekarang. Penduduk bumi melebihi 6 billion orang, itu yang masih hidup.  Semuanya berasal daripada Nabi Adam dan Hawa.

Ini bermakna semua manusia itu berasal daripada sebuah keluarga yang mulia. Manusia pada hari ini dipisahkan oleh satu halangan yang terbesar iaitu kepercayaan terhadap Tuhan iaitu Kuasa yang telah menciptakan manusia. Alhamdulilah, kita sebagai manusia yang beragama Islam yakin dan percaya bahawa Al-Quran adalah buku manual yang telah ditulis oleh Pencipta manusia.

Melalui buku manual itu kita mengenal Allah dan rasulnya. Rasul Allah yang terakhir dihantar kepada umat manusia adalah Muhammad bin Abdullah. Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Al-Quran sudah pasti kita mempercayai setiap apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) yang bertindak sebagai Trainer.

Mencintai Saudaramu

Pesanan Nabi Muhammad (s.a.w) ” Tidak beriman seorang Islam itu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.  – Hadis Bukhari & Muslim

Saya merasa keperluan untuk membicarakan isu ini pada pagi Jumaat yang mulia ini, apabila melihat kepada beberapa kejadian di hadapan mata sendiri.

Sewaktu ingin makan tengahari di sebuah kawasan deretan kedai makan moden, saya melihat ada sebuah kedai makan baru dibuka. Sebelum ini, unit gerai itu kosong tidak berpenghuni. Pemiliknya menjual Nasi Ayam. Ketika itu di dalam fikiran, saya sudah menetapkan untuk menikmati Tomyam di kedai hujung.

Saya terpaksa membatalkan hasrat saya itu, selepas mendapati pemiliknya adalah seorang Islam dan perwatakannya menunjukan seorang muslim yang baik. Pada hari itu saya memenuhi perut saya dengan nasi ayam, sebelum pulang saya memberitahu pemilik kedai itu “Ayam dan nasi ok, cuma supnya tawar.”  Esok, saya masih pergi ke kedai ‘Nasi Ayam’ yang sama. Alhamdulilah, supnya bukan sahaja bertambah baik tetapi sedap daripada biasa.

Saya terpaksa melupakan impian saya untuk sementara waktu iaitu menikmati Tomyam kerana dua sebab.

  • Yang pertama peniaga baru itu adalah saudara seagama saya.

  • Yang kedua, saya wajib menunaikan fardhu kifayah.

Fardhu Kifayah adalah tuntutan kepada setiap orang Islam untuk menunaikannya. Ianya bukan sekadar cerita “Jika tiada sesiapa yang menjadi Doktor di kampung ini, maka semua orang Islam menangung dosa”. Kisah itu adalah maklumat yang paling asas dalam membicarakan Fardhu Kifayah.

Apabila wujudnya seorang muslim memulakan perniagaan, adalah wajib bagi orang yang beriman kepada Allah menyokongnya. Apabila pendapatannya sudah stabil dan mampu berdiri sendiri, baru kita boleh membuat keputusan sama ada untuk terus makan di kedainya ataupun dikedai orang muslim yang lain.

Seorang ustaz ada menyebut, Fardhu Kifayah adalah lebih berat berbanding Fardhu Ain. Ini kerana dosa jika meninggalkan Fardhu Ain ditanggung oleh diri individu berkenaan. Tetapi dosa meninggalkan Fardhu Kifayah ditanggung oleh semua orang. Ini bererti disamping kita menunaikan fardhu Ain, jangan sesekali kita memisahkan diri kita dengan Fardhu Kifayah.

Allah menjadikan Fardhu Kifayah adalah untuk memartabatkan Umat Islam, yakin dengan sebenarnya bahawa ekonomi umat Islam tidak akan jatuh apabila kita memartabatkan Fardhu Kifayah dalam kehidupan harian kita.

Bisnes orang Islam banyak yang gagal bukan kerana mereka tidak pandai berniaga, tetapi kerana sebahagian orang Islam yang kurang beriman. Di mana tiada di dalam hati untuk mencintai orang Islam lain dan tidak ingin mengalas tangungjawab yang Allah arahkan.

Banyak kedai-kedai orang Islam yang memerlukan kita untuk menyokong mereka. Jangan fikirkan apa yang mereka dapat menyumbang kepada kita. Fikirkan apa yang kita dapat sumbangkan kepada mereka.

Yang mulia itu adalah daripada Allah dan sebaliknya adalah daripada kelemahan diri saya sendiri.  Saya mohon maaf.

info@shamsuddinkadir.com

2 Comments

  • Din says:

    Saudara Shamsuddin, saya ada sedikit masalah. Ya saya bersetuju dengan saudara bahawa kita perlu membantu sesama umat Islam di muka bumi ini sebagai tuntutan fardu kifayah. Yang menjadi masalahnya isteri saya seorang yang paling kuat cemburu.

    Saya mempunyai seorang kawan perempuan yang mana banyak membantu saya dalam business saya . Saya pernah berjanji dengan kawan ini untuk membantu beliau dan memberi tips-tips dan idea-idea agar beliau juga dapat menceburi dalam business seperti saya untuk menambahkan pendapatan beliau.

    Disebabkan isteri saya terlalu cemburu saya tidak menunaikan janji saya itu dan saya juga tidak dapat minta bantuannya lagi. Boleh Saudara Shamsuddin beri idea kepada saya macamana untuk menyelesaikan masalah saya ini.

    Berdosa ke saya kerana tidak menunaikan janji untuk melihat dia berjaya? Untuk pengetahuan saudara kawan saya ini seorang yang baik hati dan tidak pernah menganggu sedikit pun rumahtangga saya. Setelah saya berdiam diri, dia juga tidak pernah menghubungi saya.

  • Jawapan balas asal saya kepada Tuan Din, juga hilang akibat daripada pemindahan hosting server.

    Tuan Din,

    Ada beberapa perkara yang perlu selidik terlebih dahulu, iaitu kenapa isteri Tuan cemburu.

    Kedua terangkan dengan baik kepada isteri Tuan tentang tujuan sebenar tuan. Jika isteri tuan masih tidak boleh menerimanya, lebih baik Tuan menghubungi kawan perempuan Tuan itu dan memohon maaf kepadanya kerana tidak mampu menunaikan janji itu.

    Tuan boleh mencadangkan ataupun menghadiahkan senaskah buku ‘Memulakan bisnes sendiri’ oleh Puan Ainon Mohd. Insyaa-Allah dia boleh belajar bagaimana untuk memulakan bisnes.

    Menjaga keharmonian keluarga itu juga penting kerana Allah tidak suka ‘Perceraian’. Oleh itu elakkan daripada menghampiri perkara yang boleh menyebabkan ianya terjadi.

    Itu hanya pandangan peribadi saya.

Leave a Reply