Tazkirah Jumaat – Kewangan Islam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dunia ini satu, Tuhan yang menciptakan manusia satu, bilangan manusia yang diciptakan oleh Tuhan itu banyak berbilion-bilion. Semuanya diciptakan dengan satu tujuan supaya manusia menyembah kepadaNya.

Jika di lihat di dalam dunia ini, tidak semua yang berpeluang menjadi manusia. Ada yang menjadi binatang seperti harimau, lembu dan kambing. Ada yang menjadi pokok seperti pokok jambu, pokok kelapa dan pokok lada.

Dijadikan sebagai manusia adalah satu penghormatan yang paling tinggi yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia.

Andaikan sebelum Tuhan membuat manusia, Tuhan menguli gandum seperti untuk membuat roti yang ada pelbagai bentuk dan saiz. Tuhan membuat bentuk kita seperti kambing dan menjadikan diri kita kambing. Adakah kita boleh berbuat apa ? Adakah kita boleh menindakkan kuasa Tuhan itu? Dengan menjadi manusia adalah satu ‘Takkrim’ iaitu satu penghormatan yang diberikan oleh Tuhan kepada makhluk yang terpilih menjadi manusia.

Apabila kita dijadikan sebagai manusia, satu lagi yang kita perlu tempuhi bagi mencari agama apa yang membawa kita kepada Tuhan yang telah menciptakan kita. Kita diberikan penghormatan untuk kali kedua iaitu nikmat Iman. Lihat kepada bapa saudara Nabi Muhamad bin Abdullah yang bertungkus lumus dan sentiasa mendoa agar bapa saudaranya yang dikasihinya memeluk agama yang benar. Tetapi tidak berjaya. Akhirnya bapa saudaranya itu mati dalam keadaan sesat. Mati dalam keadaan tidak mengenali dan berpaling tadah kepada Tuhan yang sebenarnya wujud dan yang menciptakannya.

Kepada anda yang beriman kepada Tuhan Allah yang satu dan mengaku Muhammad bin Abdullah sebagai pesuruh Allah mendapat dua nikmat daripada Allah.

1. Mensyukuri Allah kerana dijadikan manusia iaitu ciptaan Allah yang paling sempurna.
2. Di berikan nikmat keyakinan dan perasaan yang tidak berbelah bagi kepada Tuhan yang sebenarnya.

Bagi memudahkan manusia itu memahami bagaimana manusia itu sepatutnya berfungsi. Tuhan menghantarkan manual ataupun garis panduan yang ditulis sendiri olehNya, ianya dipanggil dengan nama Al-Quran ataupun Tulisan Allah. Bagi memastikan manusia itu lebih memahami apa yang terkandung di dalam buku manual itu, Tuhan menghantarkan seorang Trainer iaitu Muhammad bin Abdullah. Segala maklumat yang terdapat di dalam buku manual ini diterangkan dengan perumpamaan dan kisah bagi memastikan para pembaca ataupun pendengar dapat memahaminya dengan jelas.

Salah satu bahagian yang dibicarakan oleh Tuhan di dalam buku manual adalah yang berkenaan dengan kewangan. Perkara yang tidak dapat dipisahkan dengan hal kewangan adalah duit.

Muhammad sebagai Trainer yang diutuskan telah mengadakan ceramah dan latihan di atas muka bumi ini  selama 23 tahun apabila  dilantik menjadi Trainer. Di dalam usaha selama 13 tahun pertama beliau hanya dapat membawa 40 orang mengenali Tuhan yang menciptakan manusia. Pada 10 Tahun yang kedua beliau berjaya mendidik dan meningkatkan kepercayaan beribu-ribu umat Islam.

Fakta seorang Islam

• Apabila memilih Tuhan Allah, anda telah hadkan diri anda berbanding orang yang tidak ada Tuhan. Had itu berlaku apabila anda beriman kepada Allah.

• Apabila anda memilih untuk bersembahyang 5 waktu anda telah menghadkan masa anda untuk aktiviti lain.

• Apabila anda memilih untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, anda memilih untuk tidak menikmati pelbagai jenis kuih sepanjang waktu berpuasa. Anda menghadkan masa yang anda boleh makan dan tidak boleh makan. Siapa yang menghadkan anda? Bukannya mulut anda ataupun tangan anda, tetapi Iman.

• Apabila anda memilih untuk makan, anda menghadkan diri anda untuk makan makanan yang halal sahaja. Iaitu makanan dan minuman yang ada tanda halal Jakim yang tulen ‘original’. Adakah anda kena masuk penjara di Malaysia jika anda tidak memilih makanan yang ada tanda halal Jakim? Tidak. Kenapa ataupun apa yang menyebabkan anda hanya memilih makanan yang ada logo/tanda halal Jakim untuk makan? Ianya tidak lain dan tidak bukan, yang membuat kan anda berbuat demikian bukannya disebabkan hukuman penjara tetapi kerana Iman.

• Apabila anda memilih untuk berpakaian sopan yang menepati apa yang digariskan oleh Trainer Muhammad bin Abdullah. Anda menghadkan aktiviti yang anda boleh sertai dan anda juga menghadkan diri anda daripada bebas memilih apa sahaja pakaian yang ada di pasar raya untuk dibeli. Adakah anda ditangkap apabila anda berpakaian seksi ataupun tidak sopan? Tidak. Oleh itu apa yang membuatkan anda menghadkan jenis pakaian yang anda boleh pakai? Ianya disebabkan kerana Iman.

• Apabila anda ingin mendirikan rumahtangga, iaitu hidup serumah dengan pasangan yang lain jantina dengan anda, anda memilih untuk berkahwin dengan mengikut hukum. Anda bukannya berkahwin sepertimana sepasang harimau mendirikan rumah tangga dengan hanya suka sama suka. Anda melakukannya bukan kerana takut kepada ibubapa tetapi kerana Iman.

Secara kesimpulannya, setiap apa yang anda lakukan, anda menetapkan had. Had ini bukannya untuk menghalang anda daripada berjaya ataupun bertambah kaya. Ianya wujud bagi memastikan anda bertindak mengikut apa yang boleh dilakukan oleh manusia yang mengenali KUASA yang telah menciptakannya.

Had ini wujud dalam diri kita dan ianya wujud hanya disebabkan oleh Iman. Iman ini yang menjadikan kita manusia yang bersyukur kepada Tuhan yang menjadikan kita sebagai manusia dan bukannya binatang. Bersyukur dan taat kepada perintah Tuhan seperti mana yang terdapat di dalam buku manual yang dipanggil Al-Quran.

 

Persoalannya : Kenapa ramai orang yang mengaku dirinya beriman tetapi tidak memilih sistem kewangan Islam sepanjang dirinya bergelar muslim? Iaitu memilih institusi kewangan yang menawarkan produk yang menambah kepada kebaikan pada diri, roh dan iman.

Wujudnya sistem kewangan mengikut Islam disebabkan adanya orang yang berIman. Hanya orang yang berIman memilih produk kewangan Islam. Antara produk kewangan Islam adalah seperti berikut :

• Akaun simpanan Al-Wadiah
• Akaun semasa Al – Mudharabah
• Pinjaman Peribadi – Bai Inah
• Pembiayaan Perumahan – Al-Bai’ Bithaman
• Zakat
• Unit amanah yang mengikut syariah
• Saham-saham yang mengikut syariah

Had timbul daripada Iman bagi mengelakkan manusia daripada melakukan aktiviti yang merosakkan ataupun memusnahkan manusia itu sendiri. Manusia yang bertindak di luar batasan yang dihadkan oleh buku manualnya akan menjadi rosak, punah ataupun jahat. Manusia yang hidup mengikut Iman adalah manusia yang selamat. Manusia yang hidup bergantung 100% kepada akal, perasaan, fikiran, minda ataupun apapun selain daripada Iman tidak selamat sampai bila-bila. Satu jalan untuk selamat adalah dengan kembali kepada Iman iaitu dengan bersyukur dan bersabar pada setiap masa.

Yakin kepada Tuhan bahawa tepat pada masa yang telah ditentukan anda akan kembali menghadap Tuhan bagi dibicarakan. Ketika ini tiada lagi rayuan yang boleh dibuat. Hanya Iman yang dipelihara sewaktu hidup di dunia yang menjadi hujah di mahkamah Tuhan. Percayalah bahawa setiap apa yang anda buat di dunia ini dibalas. Segala kerosakan kepada diri sendiri ataupun mahkluk lain akan dibalas oleh Tuhan.

Segala apa yang ada pada kita pada hari ini semuanya adalah anugerah Tuhan. Iaitu pinjaman Tuhan kepada kita, jangan jadikan kita bertindak melebihi Pencipta kita. Ibarat kita meminjam kereta Bos, jangan di bawa ke sana ke sini dengan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Kita bawa kereta mewahnya dengan niat hendak menunjuk-nunjuk, berlagak.

Begitu juga dengan anggota tubuh badan, otak, duit, kereta, rumah, pasangan, anak, emas dan segala apa yang ada pada kita semuanya dipinjamkan oleh Tuhan kepada kita. Sejauh mana kita menyedari dan mempercayai bahawa semua yang kita miliki ini adalah pinjaman!

Sekian sahaja untuk kali ini, Insyaa-Allah kita jumpa pada Tazkirah Jumaat akan datang.

Shamsuddin Abdul Kadir 

info@shamsuddinkadir.com

P/s : Kepada insan yang beriman kepada Allah, sila pastikan anda berselawat ke atas Nabi setiap kali nama Muhammad disebutkan di dalam artikel ini. Perlu diingatkan hampir semua artikel di dalam blog ini ditulis mengunakan teknik Fasa Mekah. Ianya boleh dilihat di dalam Al-Quran di mana ayat-ayat yang diturunkan ketika Nabi Muhammad (s.a.w) berada di Mekah mengunakan nama Tuhan mengantikan Allah.

Manakala teknik menulis mengikut Fasa Madinah, ayat-ayat di dalam Al-Quran diturunkan ketika Nabi di Madinah dengan mengunakan perkataan Allah mengantikan perkataan Tuhan.

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *