Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Penemuan yang saya lihat dan dengar dengan mata dan telinga sendiri amat menakutkan. Di mana satu-satunya perkataan yang semua orang memahaminya bukannya kewujudan Tuhan yang Maha Agung.
Itu yang merungsingkan, kerana sebodoh-bodoh manusia janganlah sampai tidak mengenal akan Tuhan yang menjadikannya. Manusia itu menjadi zalim kepada dirinya apabila tidak berterima kasih kepada Tuhan yang telah menjadikannya manusia. Apa yang boleh kita buat jika Tuhan ingin menjadikan kita sebagai binatang seperti kerbau. Cuba bandingkan kita dengan kerbau, sudah pasti 100% kita ada kelebihan yang tidak dapat ditandingi oleh kerbau.
Kisah ini berlaku sewaktu saya bertugas di sebuah syarikat ‘Charter Aeroplane’ yang menawarkan kapal terbang cargo untuk disewa, di Senai Airport, Johor. Ketika di pejabat, CEO saya seorang berbangsa Inggeris memberi arahan kepada staf saya tentang operasi harian yang perlu diuruskannya. Yang melucukan staf saya tidak memahaminya. Dia bukannya tidak faham bahasa Inggeris, tetapi dialek yang digunakan oleh Boss kami itu pekat, seperti sebahagian rakyat Kelantan bercakap dengan mengunakan dialeknya yang pekat. ‘Mat Salleh’ ini cuba mengulang beberapa kali, tetapi staf saya masih mengeleng-gelengkan kepalanya, tanda tidak faham. Saya berada di situ pada ketika itu dan syukur dapat memahami apa yang tersirat. Saya menerangkan kepada staf saya apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh Boss saya itu.
‘Mat Salleh’ yang sedikit berang apabila melihat staf saya menganguk-anguk ketika saya menerangkan di dalam bahasa melayu. Ini membuatkan ‘Mat Salleh’ itu tidak selesa dan terus melemparkan kata-kata seperti berikut (yang telah diterjemahkan).
“Jika saya bercakap tentang kerja tiada siapa yang memahami apa yang saya ingin katakan. Alasan yang diberikan, saya tidak faham bahasa Inggeris. Tetapi yang peliknya kenapa ke mana sahaja saya pergi di dalam Malaysia ini, semua orang memahami apa yang saya katakan jika ianya berkenaan dengan Money” Ia seolah-olah rakyat Malaysia hanya peka kepada duit semata-mata dan hanya ingin mempelajari semua bahasa hanya yang berkenaan dengan duit sahaja.”
Adakah duit adalah segala-galanya? Kata bidalan, duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit…
Kita akan mempelajari sesuatu perkara itu apabila kita merasakan ianya penting pada diri kita. Jika kita mengatakan duit itu penting, kita akan mempelajari segala nama yang manusia guna untuk menyatakan duit. Contohnya, duit, wang, rial, money, dollar, Pound, Euro, Rupiah, Ringgit Malaysia, kaya, senang, saham, pelaburan, simpanan, tabung kecemasan, sedekah, zakat, cukai, belanja. Itu hanya sebahagian daripada nama yang ada kaitan dengan duit.
Apabila kita merasakan sesuatu itu penting kita akan menariknya ke dalam hidup kita umpama magnet. Apabila kita merasakan ilmu itu penting bagi membina kehidupan yang terbaik, sudah pasti buku, belajar, mendengar, kursus, bimbingan, kelas adalah di antara nama-nama penting dalam hidup kita. Kita sentiasa membeli buku-buku baru, menghadiri majlis-majlis ilmu dan sebagainya.
Oleh itu kenal pasti apa yang penting kepada kita, kerana kita hanya menguasai perkara-perkara yang kita merasakan penting. Jika kita merasakan duit itu penting, uruskan duit itu dengan bijak. Tetapi bagaimana ya?
Yang pelik ramai yang memahami duit itu penting dalam hidupnya tetapi masih ramai yang tidak memperdulikannya. Iaitu tidak mahu menguruskannya dengan bijak.
“Duit adalah hamba yang bagus, tetapi Tuan (Bos) yang teruk”
Anda yang menentukan sama ada ingin menjadi Tuan kepada duit ataupun sebaliknya menjadi hamba kepad duit.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah yang pertama. Mulakan langkah pertama untuk menjadi celik kewangan hari ini.