Assalamualaikum Tuan,
Saya pembaca blog tuan dan juga buku tuan.
Saya ingin mendapat pandangan dari tuan tentang pembelian dan penjualan rumah.
Baru-baru ini saya membeli sebuah rumah lelong ( single storey detached) berharga RM 180 ribu. Kos membaik pulih rumah ini adalah sebanyak RM 60 ribu dan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM 240 ribu.Harga pasaran rumah ini di angarkan RM 300 ribu. Sudah tentu pembelian saya ini berbaloi.
Dilema saya sekarang ialah saya bercadang untuk menjual rumah yang saya duduki sekarang Teres 2 Tingkat (di Semenyih) dengan harga RM 170 ribu. Dan menjual rumah kedua saya (di Kajang) dengan harga RM 75 ribu bagi menampung pembelian rumah lelong yang saya beli di atas. Dengan lain perkataan saya ingin kontrakan pembelian dan penjualan rumah tanpa melibatkan wang simpanan saya.
Untuk maklum tuan kadar sewa rumah di Semenyih adalah sangat murah sekitar RM 300 sebulan. Inilah faktor yang membuat saya ingin menjual rumah tersebut bagi menampung pembelian rumah lelong tersebut.Sementara kadar sewa rumah kedua saya di Kajang ialah RM 350 ( ada penyewa).
Pertanyaan saya melalui pengalaman bijak tuan, adakah langkah saya menjual kedua-dua rumah saya itu betul.
Dan pertanyaan kedua saya, sekiranya saya tidak menjual kedua-dua rumah tersebut sebaliknya saya menggunakan duit simpanan saya sebanyak RM 180 ribu bagi membeli rumah lelong tersebut secara tunai tanpa membuat pinjaman bank. Adakah langkah ini merugikan atau sebaliknya.
Saya benar2 dalam dilema. Harap mendapat pandangan dari pengalaman tuan.
Saya dahului dengan ucapan terima kasih.
NORA (Bukan nama sebenar)
———————————
Salam Puan Nora,
Menjualkan rumah pertama di Semenyih dan di Kajang adalah langkah bijak, kerana kadar pulangan dari sewa tidak berbaloi dengan jumlah perlaburan.
Sebaiknya dapatkan pinjaman bagi membiayai rumah lelong itu dan gunakan duit lebihan dari hasil jualan kedua-dua rumah itu bagi membiayai pembelian beberapa rumah yang seterusnya. Gantikan bilangan rumah yang terjual itu dengan membeli rumah-rumah lain.
Rujuk kepada buku ‘Buat Duit Dengan Rumah’ bagi membantu mengira jumlah pinjaman dan bilangan rumah yang lebih sesuai.
Bilangan rumah yang dimiliki juga dapat membantu kita mengurangkan risiko.
5 comments on “Tetamu SK: Beli & Jual Rumah”