Syukur, segmen bicara buku Buat Duit Dengan Rumah yang ke udara secara live di Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 berjalan lancar. Moderator bagi segmen itu adalah gandingan Tuan Mazidul dan Cik Abby yang tidak asing lagi.
Selepas program itu, Tuan Roslan (PTS) dan saya menemui Cik Nita, staff TV3 yang bertanggungjawab memastikan rakaman motivasi pagi (kewangan) untuk dua episod berjalan lancar. Alhamdulilah, kedua-dua episod itu sudah ditayang pada bulan Oktober ini. Tajuknya adalah ‘Antara Keperluan dan Kehendak’ dan ‘Menangguh Kepuasaan’. Terima kasih Cik Nita. Alhamdulilah, petang tadi saya menerima SMS dari Cik Nita yang beliau sudah memaklumkan tentang saya kepada penerbit rancangan Wanita Hari Ini (WHI).
Selepas itu kami mengadakan pertemuan dengan Puan Nuraffenda selaku penerbit MHI yang telah menjemput saya bagi membicarakan buku tersebut. Ini adalah hasil usaha yang dirancang oleh Tuan Roslan Md Isa selaku Eksekutif Pemasaran PTS. Alhamdulilah di dalam perbincangan yang sekejap itu membuah hasil yang tidak disangka-sangka. Puan Nuraffenda menjemput saya untuk membicarakan tajuk ‘Hidup Tenang Walaupun Berhutang’ pada 10 November 2008 bersamaan hari Isnin di dalam segmen MHI.
Cik Nita juga memaklumkan rakaman episod Motivasi Pagi yang seterusnya akan bermula pada awal tahun 2009 nanti. Terima kasih kepada Tuan Mohd. Fasil selaku penerbit yang terus menerus memberikan kepercayaan.
Semoga setiap peluang dan ruang yang diberikan oleh TV3 ini dapat saya gunakan bagi berkongsikan pengalaman dan pengetahuan kepada para penonton TV3. Semoga ianya menjadi ilmu yang bermanfaat kepada kita semua. Amin.
Terima kasih juga kepada semua penonton MHI yang menghubungi saya ketika di dalam segmen bicara buku itu. Mohon maaf saya tidak dapat memberi jawapan yang panjang lebar, kerana kesuntukan masa.
2 comments on “ISNIN 10 Nov: Hidup Tenang Walaupun Berhutang di MHI”