Apa Khabar Tuan Sham,
Pertama sekali, saya hendak perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya AS (Bukan nama sebenar). Saya ingin minta maaf sekiranya tulisan saya ada kesalahan dari segi tatabahasa & sebagainya kerana sya tidak begitu pandai berbahasa Melayu. Harap tuan tidak kisah. Saya sebenarnya ada membaca buku tuan yang bertajuk ” Makan gaji tetapi Kaya”. Buku ini amat menarik perhatian saya.
Saya ingin bercerita sedikit tentang perjalanan hidup saya untuk dikongsi bersama,
Untuk pengetahuan tuan juga, saya tidak menggunakan Kad Kredit, Kereta, Komputer atau membuat pinjaman lain seperti pinjaman perumahan dan sebagainya kerana saya terlalu takut untuk berhutang. Saya juga tidak pasti sama ada, saya disifatkan sebagai seorang yang kedekut ataupun tidak. Wang yang saya peroleh pada setiap bulan hanya digunakan untuk membayar balik pinjaman PTPTN, sewa rumah, bil air & elektrik dan makan minum. Selebihnya saya akan laburkan di dalam saham. Saya juga ingin mempunyai rumah dan kereta sendiri seperti orang lain tetapi saya bercadang untuk membayarnya secara tunai kerana saya terlalu takut untuk berhutang. Saya rasa pasti hidup tidak akan bahagia sekiranya saya berhutang. Saya tidak pasti ini adalah idea yang bernas ataupun tidak.
Untuk pengetahuan tuan lagi, saya bercadang untuk berhijrah ke Australia 2 tahun lagi. Untuk mencari pekerjaaan baru. Ia sememangnya sesuatu yang nampak tidak masuk akal. Tetapi itulah impian saya sejak hari pertama masuk ke universiti.
Seandainya tuan bertanya kepada saya apa yang ingin saya capai di sana? Saya sebenarnya ingin menjadi seorang yang hebat dan menjadi Jutawan. Sebab itulah saya peruntukkan sebahagian besar gaji saya untuk dilaburkan.
Untuk pengetahuan Tuan Sham lagi, saya sebenarnya merupakan seorang yang tidak pandai dalam pelajaran, namun keputusan SPM saya telah melayakkan saya melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6. Saya terpaksa belajar bersungguh-sungguh dan berkorban semasa di Tingkatan 6 semata-mata mahu memastikan saya berjaya memperoleh tempat di universiti. Akhirnya, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Di universiti juga, saya perlu berkorban lagi untuk memastikan saya berjaya dengan cemerlang. Saya berjaya mendapat segulung ijazah pada tahun 2006. Sebab ini jugalah menyebabkan saya berjimat.
Sekarang saya berasa bangga dengan diri sendiri tetapi sentiasa merasakan bahawa saya sebenarnya boleh berjaya lagi,,,. Saya sebenarnya merupakan seorang yang takut membuat keputusan dan berhadapan dengan cabaran baru (fobia). Saya juga merupakan seorang yang takut kehilangan pekerjaan, sebab ini juga menyebabkan saya berjimat dan tidak berhutang.
Saya ingin meminta pendapat Tuan tentang beberapa masalah saya:
3) Adakah penyimpanan harta dalam bentuk Tanah dam Emas boleh membawa pulangan yang tinggi?
4) Saya sering berhadapan tekanan dari pelbagai pihak dalam pekerjaan dan membawa kesan negatif kepada kesihatan dan masalah tidur kepada saya. Minta tuan memberi beberapa tips dalam mengatasi masalah ini
Akhir sekali, terima kasih kerana sudi mendengar masalah saya dan berharap agar tuan sihat selalu serta murah rezeki
AS
Pulau Pinang
—————————-
Salam sejahtera Saudara AS,
Bahasa yang saudara gunakan sungguh baik. Pertama-tamanya saya ingin mengucapakan tahniah kepada saudara kerana dapat menyimpan 75% daripada gaji pada setiap bulan. Itu adalah satu langkah permulaan yang amat baik. Tindakan saudara tidak ingin berhutang juga satu lagi sifat yang amat terpuji ada pada saudara. Tahniah sekali lagi.
Saya tidak sempat untuk menjawab ke semua pertanyaan ataupun dilema yang dihadapi oleh saudara, kerana kesuntukan masa dan ada di antara perkara yang ditanya itu saya tidak ada pengetahuan mendalam. Walau bagaimanapun tetamu-tetamu blog www.shamsuddinkadir.com akan membantu saudara memberikan pelbagai pandangan yang kita boleh renungkan bersama.
Berkenaan dengan pertanyaan pertama saudara :
Saudara telah membuatkan tindakan yang terbaik dengan berbelanja tidak melebihi 25 peratus ketika ini. Saya yakin dengan izin tuhan, saudara tidak akan mengidapi penyakit berbahaya iaitu ‘dibebani dengan hutang’. Berkenaan dengan tindakan tuan melaburkan 75% dalam saham amanah itu, saya tidak dapat huraikan secara terperinci cuma fahami pepatah ini “Jangan letakkan semua telur di dalam satu bakul”. Saya cadangkan saudara terus membaca buku saya yang lain iaitu buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang dan buku Kaya Dengan Rumah.
Pandangan berkenaan dengan pertanyaan kedua saudara :
Ramai juga individu yang membeli rumah dan kereta secara tunai. Sebuah rumah yang berharga RM200,000 yang dibeli secara bayaran ansuran selama 20 tahun, umpama saudara membeli dua buah rumah. Satu buah rumah saudara hadiahkan kepada bank dan rumah kedua itu milik saudara. Maksudnya jumlah keuntungan yang saudara perlu bagi kepada bank kerana membiayai pembelian rumah itu menyamai jumlah pinjaman tersebut. Sebenarnya saudara tidak perlu risau tentang kos keuntungan oleh bank. Jika untuk kereta saya tidak merasakan pelik, tetapi jika untuk rumah terutama di kota, kenaikan harga rumah yang mendadak mungkin membantutkan usaha kita memiliki rumah. Walau bagaimanapun jika duit gaji ataupun duit perlaburan saudara bercambah lebih cepat berbanding dengan kenaikan harga rumah, silakan membelinya secara tunai.
Pandangan berkenaan dengan persoalan saudara yang ketiga:
Saya telah menghuraikannya dalam buku Kaya Dengan Rumah, secara ringkasnya pulangan amat lumayan dalam hartanah. Manakala untuk emas sekadar memiliki di dalam jumlah yang dalam kita tidak pening ataupun risau memilikinya.
Pandangan berkenaan dengan persoalan saudara yang keempat:
Saya belum ada pengetahuan yang mendalam di dalam isu ini, walau bagaimanapun saya menyarankan kepada saudara bagi mendapatkan buku-buku berkenaan dengan pengurusan stress dan bagaimana menguruskan diri sewaktu di pejabat. Banyak buku yang membicarakan isu ini secara terperinci di pasaran.
Saudara juga perlu banyak lagi membaca agar saudara mengetahui kenapa kita perlu banyak membuat keputusan dan bukannya takut membuat keputusan. Takut membuat keputusan akan menjadikan kita orang yang tidak pernah ‘gagal’ Orang yang gagal adalah orang yang tidak sanggup bertindak dan melakukan sesuatu yang mereka tidak pernah melakukannya.
Secara keseluruhan saya tidak jelas dalam satu perkara, apakah yang saudara ingin lakukan di Australia bagi mencapai impian menjadi orang yang hebat dan jutawan? Pada pandangan saya dengan umur saudara yang masih muda dan dengan dan kepandaian saudara menanguh kepuasaan, saudara juga boleh menjadi orang terhebat dan juga jutawan di Malaysia dengan izin Tuhan.
3 comments on “Surat Pembaca : Membeli Rumah dan Kereta Secara Tunai”