Dengan nama Allah yang Maya Pemurah dan Meyayangi,
11. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi.” Mereka menjawab, “Sesungguhnya kami hanya orang yang membuat kebaikan.”
12. Ketahuilah! Sesungguhnya mereka itulah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak menyedarinya.
13. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Berimanlah kamu sebagaimana orang lain telah beriman.” Mereka menjawab, “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (akan hal itu).
14. Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman, mereka berkata “Kami telah beriman”, dan tatkala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka (pemimpin-pemimpin mereka yang munafik dan kafir), mereka berkata pula, “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu. Kami sebenarnya hanya memperolok-olok (akan orang yang beriman dengan berpura-pura beriman).”
15. Allah membalas olok-olok mereka itu (dengan memperolok-olokkan mereka pula) dan membiarkan mereka terpedaya dalam kesesatan mereka (yang melampui batas) serta terumbang-ambing (kebingungan tanpa tujuan atau pegangan).
16. Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk. Maka, tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah pula mereka mendapat hidayah (petunjuk).
17. Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api (dalam kegelapan). Apabila api itu menerangi apa yang di sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah memadamkan cahaya (yang menerangi) mereka itu, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
18. Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta (tidak mendapat manfa’at daripada kebenaran melalu ketiga-tiga pancaindera tersebut), maka mereka tidak dapat kembali (daripada kesesatan kepada kebenaran).
19. Atau (bandingannya) sepertiĀ (orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit (awan), yang padanya (awan tersebut) terdapat gelap-gelita dan guruh serta kilat; meraka menyumbat jari mereka ke dalam telinga masing-masing disebabkan bunyi petir itu (supaya tidak mendengarnya), kerana takut mati. (Tidak mungkin mereka boleh terlepas), sedangkan (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang yang kafir itu.
20. Kilat itu pula hampir-hampir menyambar penglihatan mereka. Setiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Apabila gelap menyelubungi mereka, mereka pun berhenti (menunggu dalam kebingungan). Sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan-Nya pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Insyaa-Allah (dengan izin Allah) Bab Lembu Betina ini akan disambung lagi.
Shamsuddin Kadir
Trainer & Author
Emel: info@shamsuddinkadir.com