Tetamu SK: Jual Rumah Pusaka Ringankan Bebanan

Assalamualaikum Tuan,

Saya ingin mendapatkan pandangan tuan tentang masalah saya.  Suami saya berniaga sendiri dan mempunyai syarikat sdn bhd dan pada awal tahun ini menghadapi masalah kewangan bebanan hutang syarikat dan sehinggalah kini masih belum selesai masalah kewangan syarikatnya.

Masalahnya, beliau ada memberi cadangan agar saya menjualkan tanah pusaka pemberian arwah ibu saya bagi meringankan beban kewangan.  Tapi saya berat hati kerana pertama itu adalah kenangan dan hadiah pemberian dari arwah ibu.  Kedua, apa pula kata makcik, pakcik dan saudara saya yang lain sekiranya mereka mengetahui yang saya ingin menjual harta adik mereka (ibu saya). Ketiga, kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan jadi sekurang-kurangnya saya ada sedikit harta untuk bekalan.

Rumah yang dimiliki sekarang tidak dapat banyak membantu kalau dijual kerana masih ada pinjaman dengan bank.  Saya tidak mahu suami terasa yang saya tidak mahu menolong dan kecil hati.  Diharap Tuan dapat memberi pendapat tentang patutkah saya menjual harta pusaka di atas.

Terima kasih

F (Bukan nama sebenar)

—————————–

Waalaikummusalam Puan,

Adakah Puan boleh menerima kenyataan dan tidak akan menyalahkan suami jika bebanan hutang bisnes suami masih tidak selesai walaupun rumah itu sudah dijual?

Adakah mencagarkan ataupun menggadaikan rumah tersebut adalah pilihan lebih baik berbanding menjualkannya?

Adakah bisnes suami Puan itu berdaya maju, dan Puan yakin boleh pulih dengan hanya mengunakan duit tersebut?

Puan dapatkan buku ‘Memulakan Bisnes Sendiri’ yang ditulis oleh Puan Ainon Mohd. Baca sampai habis. Jika jawapan Puan bagi soalan di atas memuaskan hati dan suami Puan tidak termasuk di dalam ciri bisnes gagal yang ada di dalam buku itu, maka buatlah sembahyang Istikharah 2 rakaat.

Ikut pilihan yang dipertunjukkan oleh Allah kerana itu adalah pilihan yang terbaik untuk Puan yang Allah tentukan. Saya yakin jika jawapan Isthikarah itu membawa kepada rumah itu dijual, Puan tidak akan menyesal kerana pilihan Allah adalah pilihan yang 100% berkat dan bahagia.

Jika pilihan Puan untuk menjual rumah tersebut, saya mencadangkan agar ianya dijual kepada ahli keluarga Puan dan beritahu mereka, kenapa Puan menjualkannya dan beritahu mereka bahawa Puan berhajat untuk membeli balik dalam masa 3 tahun. Jika tempoh itu telah berlalu, hak untuk membeli balik dengan harga jual itu telah lupus.

Hanya Puan sebaik-baiknya individu bagi membuat keputusan di atas maklumat yang lengkap Puan miliki. Untuk tidak menyesal sampai bila-bila baca buku itu dan buat sembahyang Isthikarah. 

Shamsuddin Kadir (SK)

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Trainer & Author

Ultra Mind Resources

Tel: 03 4142 5300 Fax: 03 4142 7300

 

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *