15 Jun 2008
Kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Pengarah, atau Pegawai
(Yang ada kuasa bagi mencadangkan dan mengimplementasi kaedah bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan minyak petrol dan diesel)
Yg. Bhg. Dato, Tuan / Puan,
PENYELESAIAN BAGI MENGHADAPI IMPAK KENAIKAN MINYAK
Pertama-tamanya saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan yang memberikan insentif kepada rakyat, termasuk duit tunai sebanyak RM625 bagi setiap rakyat yang memiliki kereta di bawah 2000cc ke bawah. Insentif ini sudah pasti meringankan sedikit bebanan walaupun ianya tidak dapat menangung sepenuhnya kesan daripada kenaikan harga petrol tersebut.
Saya di sini ingin mencadangkan kepada kerajaan bagi mengambil langkah di bawah supaya masalah utama kenaikan minyak itu sudah tidak lagi menghantui sebahagian daripada rakyat yang kini sedang tersempit.
Saya mencadangkan agar kerajaan mengarahkan semua bank dan institusi kewangan yang membiayai pembelian kereta oleh rakyat untuk menawarkan kontrak tambahan ataupun ‘supplement contract’.
Kontrak tambahan ini di gunakan bagi memastikan bank akan membiayai pemasangan NGV di kereta setiap rakyat yang tidak ada duit bagi membuat pemasangan tersebut.
Pemilik kereta hanya perlu menandatangani kontrak tambahan ini dengan bank dan bayaran balik secara ansuran bulanan kepada bank akan di satukan dengan ansuran bulanan kereta. Sebagai contohnya, Jika sebelum ini En. Ahmad membayar ansuran bagi kereta Proton Wajanya sebanyak RM650 sebulan, kini beliau perlu membayar RM 720. Peningkatan sebanyak RM 70 sudah pasti tidak membebankan pemilik kereta, kerana ianya membantu setiap rakyat yang bermasalah berjimat ratusan ringgit setiap bulan akibat mengunakan Gas yang murah berbanding harga lama ataupun harga baru petrol.
Jika langkah ini di ambil oleh kerajaan sudah pasti rakyat bukan sahaja terlepas daripada dibebani dengan kenaikan harga petrol tersebut, malah boleh menyimpan lebih banyak duit bagi bekalan mereka ketika waktu bersara nanti.
Cadangan ini tidak memerlukan kerajaan membelanjakan lebih banyak duit untuk rakyat tetapi dapat memberikan kesan yang lebih baik berbanding insentif yang disediakan pada ketika ini. Apa yang diperlukan adalah sepucuk surat daripada Bank Negara bagi mengarahkan semua bank yang menyediakan pembiayaan pembelian kereta, bagi memasukkan kontrak tambahan bagi pemilik kereta yang ingin membuat pemasangan NGV.
Saya bersedia untuk membuat penyampaian ‘presentation’ kepada pihak kerajaan secara menyeluruh tentang cadangan ini jika diperlukan.
Semoga pihak kerajaan dapat menimbangkannya dengan sebaik mungkin , kerana ianya amat memberikan kesan yang maksima kepada rakyat.
Sekian, terima kasih
Yang Ikhlas,
Shamsuddin Abdul Kadir
Pengurus
Ultra Mind Resources
No. 13C, Tingkat 3, Blok 1,
Worldwide Business Park
40150 Shah Alam, Selangor
……………………………….
Kepada para pelawat dan pembaca blog ini,
Saya amat-amat mengalu-alukan sebarang usaha bagi menyampaikan mesej ini kepada pihak berkuasa dalam mencari kaedah terbaik membantu rakyat yang ingin memasang NGV tetapi tiada duit yang mencukupi. Ingatlah usaha burung Pipit yang mencuba memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim. Allah tidak memberikan pembalasan berdasarkan hasil yang kita kecapi tetapi di atas setiap usaha yang kita lakukan walaupun ianya gagal mencapai matlamat yang kita inginkan. Itu satu dari kemulian dan kesucian Agama Islam. Kita tidak memerlukan kejayaan untuk mencapai kenikmatan, apa yang kita perlukan usaha yang berterusan ke arah kejayaan. Kejayaan hakiki adalah timbunan usaha yang iklas kerana Allah yang kita lakukan semasa di dunia ini.
Membina Dimensi Sebenar!
11 comments on “Surat Terbuka Untuk Kerajaan – Kenaikan Harga Minyak”