Zam : Kursus Untuk Menjadi Jutawan Segera!

Salam En. Din,

Kekalutan akan timbul bila rezeki yg dikurniakan untuk kita dirasakan tak pernah cukup. Lebih menyedihkan apabila budaya kehidupan hari ini lebih mendorong kepada memiliki barangan ‘kehendak’ melebihi barangan ‘keperluan’.

Melihat kepada trend ini, wujud sekelompok manusia yg kononnya cuba membantu golongan di atas untuk mencapai impian mereka. Kebelakangan ini terdapat banyak kursus-kursus untuk menjadi jutawan segera samada dihebahkan melalui phamplet atau iklan di media cetak.

Minta pandangan En. Din tentang perkembangan ini.

Salam.

Nota Sham : Penyebab utama kenapa semakin ramai orang ingin menjadi ‘Jutawan Segera’ adalah disebabkan oleh kesempitan hidup. Kesempitan hidup yang bukannya disebabkan oleh kekurangan duit bagi memenuhi keperluan asas, sebaliknya bagi memenuhi kehendak di luar batasan kemampuan.

Penyebab utama individu pada zaman ini dapat membolosi had berbelanja melebihi wang gaji adalah kad kredit.  Dengan kad kredit seseorang itu boleh berbelanja sehingga berpuluh-puluh kali ganda wang gaji bulanannya. Apabila kehidupan  tersempit akibat gaji tidak dapat membayar bebanan gaya hidup yang diluar batasan normal, individu berkenaan akan mencari ataupun mencipta peluang bagi menyelesaikan masalahnya dengan segera.

Fokus utamanya adalah untuk menyelesaikan bebanan hutang kad kredit, skim ansuran mudah, ansuran rumah dan kereta, pinjaman peribadi dan banyak lagi hutang yang tidak disenaraikan di sini. Apabila tiada jalan mudah bagi memperolehi wang dalam jumlah yang banyak, maka pelbagai cara dicipta bagi menyakinkan orang ramai tentang ‘Program mendapat duit dengan segera’.

Tiada lagi konsep berniaga jual barang (keperluan) secara nyata akan dilakukan, banyak program yang hanya memerlukan anda memasukkan sejumlah duit, sama ada sebagai pendaftaran, pelaburan dan banyak lagi nama-nama yang indah yang digunakan.

Beberapa peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan yang menghadiri program Dimensi III telah mengambil pinjaman sehingga berpuluh-puluh ribu bagi melabur dalam program ‘Jutawan Segera’. Apa akan terjadi apabila pelaburan itu lenyap?

Masjid juga menjadi tempat para ‘peniaga jutawan segera’ memasarkan pamplet bagi memancing ‘pelanggan’.

 Sebahagian individu suka ‘mencuba’ terlebih dahulu walaupun Bank Negara sudah menasihatkan melalui pengedaran risalah di bank-bank dan juga iklan di media elektronik. Ada individu yang terlebih dahulu suka mengelakkan daripada belajar daripada kesilapan diri sendiri. 

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *