Setiap kali kita mendapat wang gaji antara perkara yang paling asas yang perlu di bayar adalah ansuran kereta, rumah, bil-bil dan belanja dapur.
Belanja-belanja tersebut amat penting bagi memastikan jasad kita di lihat segar, sihat, bertenaga dan kemas. Apabila kita meninggalkan dunia ini dalam keadaan jasad berpisah dengan roh? Jasad itu akan menjadi busuk di makan oleh ulat sebelum ianya bertukar menjadi tanah kembali. Selama mana kita membelanjakan duit untuk jasad, itu sahaja yang kita mampu bawa sehingga ke liang lahad nanti, selepas itu jasad itu akan terbinasa dengan sendirinya.
Belanja bulanan yang wajib ada, jika kita tidak termasuk dalam kategori orang yang dalam keadaan kebuluran adalah belanja membeli buku. Ya buku yang memajukan ‘minda’ supaya bukan sahaja jasad sahaja yang hidup tetapi minda kita juga hidup. Seorang ulama dahulu kala pernah berkata, di luar sana aku lihat banyak keranda yang hidup. Beliau menganggap orang yang tidak menghidupkan ‘roh’ adalah bangkai manusia yang masih bergerak.
Bagaimana dengan roh ataupun minda kita yang juga memerlukan perbelanjaan agar minda itu juga diberi ‘makan’ supaya kehidupan di dunia ini kita sentiasa ceria, tenang dan ‘kaya’ dan kenikmatan ini terus kita nikmati di Taman Barzakh dan di alam Akhirat.
Kata-kata ulama itu terasa amat benar, terutama apabila kita berada bersama orang yang tidak ‘membaca’ hanya membaca suratkhabar, majalah dan juga menonton tv. Kita merasakan kita berada di dunia yang amat berbeza dengan mereka, pemikiran mereka lebih kepada keperluan jasad, isu berkaitan minda tidak menjadi satu keperluan bagi dunia mereka.
Setiap bulan kita memperuntukan sejumlah duit bagi membeli buku yang memberi manfaat kepada roh dan minda. Apabila setiap dari kita membantu individu lain yang belum menyediakan makanan roh ataupun minda, kita dapat membebaskan ‘keranda hidup’ dalam masyarakat kita.
Insyaa-Allah bukan sahaja kadar jenayah semakin berkurangan, kita juga mempunyai masyarakat yang mampu mendorong diri mereka sendiri.
Shamsuddin Kadir
Trainer, Writer & Timbalan Bendahari Tamrin