Adakah kedatangan hari pekerja yang membuat pekerja paling gembira? Kebanyakan pekerja hanya merasakan kenikmatan hari itu sebagai hari yang mereka tidak perlu bekerja. Setiap kali kehadiran tanggal 1 Mei setiap tahun, majoriti syarikat dan pejabat kerajaan tutup.
Adakah 1 Mei yang menjadikan hari bagi Pekerja untuk berpesta? Ohh tidak…Hanya segelintir pekerja yang dapat merasainya.
Majoriti pekerja menjadikan hari-hari terakhir dalam kalendar setiap bulan adalah hari untuk berpesta. Ini dapat di rasai bagi setiap wargakerja awam dan swasta yang masing-masing menerima ‘Duit Gaji’ pada penghujung setiap bulan. Pesta ini dapat disaksikan apabila ruangan letak kereta di pasaraya tiba-tiba penuh, sesak dan ada yang menunggu setengah jam bagi mendapatkan tempat meletak keretanya.
Bagaimana dengan kedai-kedai yang menjual makanan segera. Ada yang terus makan di situ, ada yang membawa pulang beberapa plastik yang mengandungi pelbagai makanan segera.
Muka-muka para pekerja menjadi berseri-seri, ini menyatakan mereka sedang berpesta. Di mana sahaja, pekerja dilihat dalam keadaan berseri-seri. Terdapat segelintir pekerja yang tidak merasai nikmat ini, apabila wang gaji itu hanya cukup untuk membayar hutang dan belanja bulanan. Tiada bagi untuk mereka berpesta.
Ada yang dapat meraikan pesta tetapi hanya untuk beberapa hari pertama selepas menerima gaji. Selepas seminggu pertama, tangan sudah mulai menggaru kepala yang tidak gatal. Ini berlaku apabila kita tidak memastikan belanja bulanan kita tidak melebihi daripada 70% daripada pendapatan yang kita terima pada setiap bulan.
Tidak salah untuk meraihkan hari pesta, tetapi pastikan ianya di bawah 70% dari duit gaji yang dibelanjakan sepanjang bulan. Ini bagi memastikan kita terus tersenyum sehingga bertemu dengan bulan yang seterusnya.
Hentikan meraikan pesta, jika anda sudah membelanjakan melebihi 70% daripada gaji anda pada setiap bulan. Tabiat yang meraikan pesta dengan berbelanja melebihi 70% menunjukkan anda telah berbelanja melebihi apa yang anda sebenarnya mampu. Menghentikan segala cara yang anda gunakan bagi meraikan ‘duit gaji’ untuk sementara waktu menghindarkan anda daripada bebanan stres yang melampau.
Ramai yang sudah menderita dengan terus berbelanja melebihi 70%, jangan jadikan anda mangsa yang seterusnya. Jumlahkan semua perbelanjaan dan bayaran ansuran hutang anda. Jika jumlah itu melebihi 70%, itu bermakna anda menikmati hidup yang lebih bergaya daripada yang anda sebenarnya mampu.
Shamsuddin Kadir
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008
2 comments on “Pesta Untuk Pekerja Datang Lagi”