Majoriti individu yang memilih sektor pekerjaan sebagai sumber mendapat duit, terus kekal sebagai pekerja sehingga bersara. Secara umumnya, umur 55 tahun dikatakan sebagai umur bersara. Banyak tafsiran tentang kenapa angka 55 tahun dipilih. Bersara bererti secara puratanya seorang individu dapat menyumbangkan kepada kemakmuran ekonomi negara. Apabila umur sudah melebihi angka 55, jumlah sumbangan seseorang individu tidak setimpal dengan kos membiayai gaji bulanannya. Itu adalah berdasarkan umur purata yang dibandingkan dengan prestasi yang dibuat oleh pakar dari ‘barat’.
Adakah seseorang individu itu perlu bekerja ‘makan gaji’ sehingga bersara? Ini di antara dilema yang dihadapi oleh kebanyakan pekerja. Matlamat yang jelas dapat memberikan mereka dorongan sama ada untuk kekal makan gaji ataupun bertukar menjadi ahli bisnes. Bagi pekerja di sektor awam, anda boleh mendapatkan skim pencen yang terus memberikan anda duit pada setiap bulan selepas bersara. Bagaimana dengan pekerja di syarikat swasta? Adakah duit KWSP dalam akaun ketika berumur 55 tahun itu mencukupi bagi menampung sara hidup sehingga mati?
Kita biarkan dahulu persoalan di atas?
Apabila anda bekerja di syarikat swasta, setiap tahun apabila anda menerima kenaikan gaji, secara automatiknya kos operasi bulanan syarikat meningkat. Adakah anda dapat memberikan justifikasi yang jelas bagaimana kenaikan gaji anda itu memberikan kenaikan dari segi jualan ataupun penurunan kos syarikat? Secara puratanya kita dapat melihat banyak kenaikan gaji adalah mebebankan pemilik syarikat. Ini kita dapat lihat melalui kenyataan yang pernah keluar dalam surat khabar Inggeris tempatan pada tahun 2007. Di mana akhbar itu melapurkan bahawa ‘Majoriti majikan di seluruh dunia berpendapat mereka terlebih bayar gaji kepada kakitangannya”.
Setiap kali kedatangan awal tahun, banyak majikan yang pening memikirkan tentang kos tambahan yang perlu ditanggung. Bagi kebanyakan bidang pekerjaan masa selama 3 tahun, sudah mencukupi bagi memastikan seorang graduan dapat menguruskan tugas setaraf dengan pekerja yang sudah melebihi 5 tahun bekerja. Ini bermakna kos gaji seorang pekerja dengan pengalaman selama 3 tahun bekerja adalah jauh lebih murah daripada seorang pekerja yang sudah menjawat jawatan itu selama berpuluh tahun.
Di era ini, banyak syarikat dan bank yang memilih untuk mengambil pekerja secara kontrak. Di mana semakin kurang kekosongan jawatan diisi oleh pekerja tetap. Hampir semua pekerja adalah pekerja kontrak. Selepas memperbaharui kontrak untuk beberapa tahun, pihak majikan mencari alasan bagi tidak memperbaharui kontrak. Saya pernah bertemu dengan seorang kakitangan kontrak yang sudah bergaji melebihi RM5,000 ++. Dia dimaklumkan oleh majikannya bahawa kontraknya tidak akan disambung. Jika dia ingin terus berkerja, mereka sanggup untuk menyambung kontraknya dengan syarat gaji turun menjadi RM2,000. Sama dengan gaji yang dia mula-mula terima pada 5 tahun yang lalu.
Bayangkan dia ketika menerima gaji RM2,000 pada 5 tahun yang lalu, beliau adalah seorang yang belum berkahwin dan hanya memiliki sebuah motor. Kini dia ada tanggungan yang lebih besar iaitu , isteri, 2 anak dan sebuah kereta baru yang perlu ditanggungnya.
Beliau menerima tamparan yang amat besar, tetapi nasibnya masih baik, kerana ketika itu dia masih muda. Iaitu di awal 30 tahun. Bagaimana jika ketika itu dia berusia 48 ataupun 50 tahun?
Ada pekerja tetap yang sudah bekerja melebihi 10 tahun dan bergaji lebih daripada RM10,000 akhirnya diberikan tekanan yang teramat banyak, supaya dirinya berhenti kerja. Adakah selamat untuk menetapkan maltamat iaitu terus makan gaji sampai bila-bila?
Bagi pekerja kerajaan anda dikecualikan, tetapi bagaimana dengan anak-anak anda yang tidak bekerja dengan kerajaan?
Saya amat mengalukan sebarang pandangan, turut juga menjemput Puan Ainon Mohd bagi memberi pandangannya.
Shamsuddin Kadir
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008
9 comments on “Makan Gaji Sehingga Bersara?”