Barangan Itu Bukan Untuk Saya

Apabila kita memasuki mana-mana kedai atau pasaraya, barangan yang ada di dalam kedai itu bukan semuanya untuk kita. Ada barangan hanya layak dibeli dan dimiliki oleh orang yang ada duit banyak.

Sebagai contohnya. Jika kita pergi ke bahagian susu bayi, terdapat berpuluh-puluh jenama susu bayi. Dari yang paling rendah harganya sehingga yang paling tinggi harganya. Ada susu yang dibuat daripada susu lembu, ada yang mengunakan pati soya dan sebagainya.  Susu-susu ini adalah bagi menyediakan keperluan kepada pembeli yang paling miskin sehingga kepada orang yang paling kaya.   

Apabila kita memasuki pasaraya tanpa mempunyai matlamat yang ditetapkan, kita akan terpengaruh dengan apa yang ada di dalam pasaraya itu. Umpama seorang yang berpuasa melalui kedai yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa, semuanya ingin dibelinya. Berlainan dengan seorang yang berpuasa tetapi telah menetapkan kuih apa yang ingin dibelinya dan berapa jumlah yang ingin dimilikinya. Apabila dia sampai ke pasar Ramadhan, dia hanya mencari kuih tersebut dan membeli dalam kuantiti yang ditetapkan dan terus balik ke rumahnya. 

Seorang individu yang bernama Al-Ghazali pernah berkata “Benda yang paling besar di dalam dunia bukanlah gunung tetapi ‘nafsu’. Beliau berkata demikian berdasarkan pengalaman dan kajiannya.

Sudah pasti dengan membawa ‘nafsu’ yang bermaharajela di dalam diri, segala benda yang tidak mampu dimiliki akan kita ikhtiar untuk memiliki walaupun secara ‘berhutang’. Jika kita yang menetapkan matlamat ataupun apa yang kita perlukan, kita tidak memberi ruang kepada nafsu kita untuk menguasai kita.

Barangan di dalam pasaraya disusun dan dipak dengan menarik agar dapat’mengoda’ anda memilikinya. Jika tersilap anda membeli barangan yang diluar kemampuan dan barangan itu juga bukan keperluan utama untuk anda hidup dengan tenang dan bahagia. Majoriti barangan di dalam pasaraya itu akan membebankan hidup anda jika anda memasukinya tanpa dengan ‘senarai’.

Oleh itu kita perlu kenal pasti barangan yang dikhaskan untuk kita iaitu barangan yang kosnya mengikut saiz duit dalam dompet kita. Sebaiknya kita menetapkan jenis barangan dan lingkungan harga yang kita ingin beli itu sebelum kita pergi ke pasaraya.

Bagaimana anda dapat menentukan barangan jenama dan pada harga berapa yang anda layak untuk membelinya?

Kaedah yang paling mudah adalah dengan menyediakan ‘senarai barangan keperluan’. Ianya membantu anda menetapkan barangan yang berada di dalam bajet anda. Insyaa-Allah saya akan kongsikan di artikel akan datang.

Untuk latihan hari ini tanya pada diri anda :

Adakah anda menetapkan harga maksimun bagi barangan yang hendak dibeli sebelum keluar rumah ?

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

2 comments on “Barangan Itu Bukan Untuk Saya”

  1. Mariam Reply

    Pada waktu ini sejak awal bulan lalu, saya telah cuba menyenaraikan segala apa yang perlu, apa yang perlu didahulukan.

    Tetapi itulah cabaran bila melihat hasilnya menjadi negatif sampai rasa tak mampu teruskan, namun saya akui itulah cabaran yang perlu saya hadapi dalam menangani masalah kewangan saya.

    Semoga saya akan lebih stabil mental dan fizikal untuk saya keluar dari kemelut ini.

  2. Shamsuddin Kadir Reply

    Puan, Jika kita tidak menjadi Tuan kepada duit, kita terpaksa menjadi Hamba kepada HUTANG.

    Kita tidak dapat mengatasi ‘bebanan’ itu jika kita tidak melawannya.

    Puan, seorang klien saya memberitahu saya gaji dia semakin bertambah. Saya tanya dia, naik pangkat ke? Dia menjawab “Tak, gaji pokok saya pun tidak naik, tetapi kos bulanan saya semakin berkurangan. Iaitu selepas mengikut apa yang disarankan dalam buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang“.

    Kini dia dapat melihat lebih banyak duit dapat disimpan pada setiap hujung bulan. Klien saya dahulu ada banyak masalah dengan bebanan hutang termasuk melalui kad kredit.

    Saya akan sentiasa mendoakan agar Puan juga dapat mencapai apa yang klien saya itu telah mencapainya. Nikmat ‘Peace of Mind’.

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *