Bismillah. Allahamdulilah (Segala puji bagi Allah) dan salam dan salawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
Ya Allah, ajarilah aku perkara yang aku masih jahil, dan berilah aku ilmu yang benar bagi aku membantu orang yang memerlukan ilmu yang bermanfaat. Amin.
Bagi mencapai kehidupan yang kurang stres dan ada banyak kebebasan fikiran dan diri.
Tip ini ditulis untuk para mentee yang sudah mempratikkan apa yang telah kita pelajari bersama di halaman facebook ini.
Mulakan dengan membeli kereta terpakai sekiranya boleh, sewaktu saya dahulu, rezeki saya tidak berhasil untuk memperolehi kereta terpakai, kerana sudah banyak yang saya mencari tetapi tidak berpeluang mendapat apa yang dihajati. Akhirnya disebabkan oleh keperluan syarikat tempat saya bekerja dahulu, supaya memiliki kenderaan, saya memilih untuk membeli sebuah Proton Wira yang saya gunakan selama lebih kurang 13 tahun.
Jika dahulu saya juga hampir percaya bahawa kereta terpakai lebih banyak kos bagi menguruskan dan menyelengarakannya. Rupa-rupanya setelah menjayakan kursus kewangan terutamanya sejak 2006 lebih kurang, saya dapati, memiliki kereta terpakai secara puratanya memberikan kita penjimatan.
Kos penyelenggaraan kereta terpakai lebih tinggi berbanding kos penyelenggaraan kereta baru secara purata. Walau bagaimanapun kos itu tidak setinggi ansuran bulanan yang perlu dibayar kepada bank untuk kereta baru.
Kereta baru memerlukan kita mengeluarkan antara RM 600 – RM 1500 sebulan untuk ansuran sahaja, manakala kereta terpakai yang sudah habis ansuran tidak memerlukan kita mengeluarkan walaupun RM 1 untuk ansuran.
Kepada tuan dan cik puan yang kereta sudah hampir habis ‘loan’. Teruskan gunakan kereta tersebut, kerana itu adalah Insyaa Allah antara waktu yang tuan dan cik puan benar-benar boleh menyimpan lebih banyak duit.
Kepada yang tidak bersetuju, teruskan dengan aliran kepercayan tuan dan cik puan. Kerana lain sekolah kewangan, lain pula ajarannya.
Halaman ini difokuskan kepada para mentee yang ingin mempelajari dan mempratikkan dan mempunyai duit lebih akibat dari tindakan ini. Insyaa Allah.
Jangan tambah dengan apa-apa aksesori yang tidak meningkatkan tahap keselamatan ataupun yang menambahkan lagi kos petrol. Sepanjang saya memiliki kereta dahulu dan kini, rasanya belum lagi saya terpengaruh dengan seni kedai aksesori memindahkan duit dari poket saya kepada poket mereka.
Majalah antara punca sebahagian lelaki yang memiliki kereta biasa menambah dan memasang aksesori. Jarang jumpa kereta mewah dengan aksesori, kerana kereta itu sudah gah. Bagi menjimatkan kos dan supaya duit itu kita dapat janakan lebih banyak duit, Insyaa Allah, abaikan aksesori yang tidak meningkatkan tahap keselamatan kita.
Sekiranya ingin mengikuti sesi kursus, boleh sertai kursus-kursus yang sedang dirancang untuk orang awam. Rujuk halaman facebook SK Training Academy Sdn Bhd.
Astaghfirullah. Wallahu’alam.
Facebook Malaysia | Shamsuddin Kadir
1 comments on “Bismillah. Kereta Terpakai Lebih Menjimatkan Jumlah Kos”