Bismillah. Dahulukan membayar hutang yang membuatkan diri sendiri semakin miskin berbanding memberi duit raya kepada kepada orang bukan miskin ataupun fakir.
Banyak individu yang saya temui termasuk yang mengikuti kursus perancangan kewangan yang kami jayakan, berbelanja bagi memberi duit raya, walaupun diri sendiri banyak menanggung hutang.
Sebelum kita mendahulukan orang lain, lebih baik hutang bertaraf barah itu diselesaikan terlebih dahulu. Antara hutang yang membuatkan seseorang itu bertambah miskin adalah Pinjaman peribadi, hutang kad kredit dan hutang skim ansuran mudah.
Kepada tuan dan cik puan yang memiliki hutang-hutang seperti di atas, peruntukan duit raya untuk ibu bapa dan ibu bapa mertua sahaja, yang lain itu gunakan bagi mempercepatkan menghabiskan barah kewangan itu. Ini kerana walaupun hutang seperti pinjaman peribadi itu sudah ada jadual ansuran bulanan, ianya lebih baik bagi menjelaskan hutang itu dengan lebih banyak, supaya cepat habis. Ini kerana hutang ini, adalah umpama barah yang merosakkan lagi kehidupan kita dengan cepat.
Kebanyakan indivdiu yang sudah menanggung barah kewangan dan masih tetap berbelanja untuk beri duit raya, kerana tidak berjaya untuk tidak menghiraukan apa orang lain kata. Banyak yang lebih takut ‘Nanti apa kata orang lain’ kalau tidak bagi duit raya, berbanding memastikan diri sendiri itu benar-benar mampu.
Memberi duit raya dalam keadaan menanggung hutang-hutang yang membuatkan kita semakin lama semakin miskin, umpama ‘Biar papa asalkan bergaya’
Duit raya itu tiada di dalam sunnah, tetapi ada hadis shahih yang menceritakan, “Hutang itu membuatkan seseorang itu berada di dalam keadaan hina di siang hari dan risau di malam hari” riwayat Al Baihaqi.
Gunakan kesempatan yang ada ini, untuk berani melakukan perubahan bagi mereka yang sudah ada hutang yang membuatkan kita semakin lama semakin miskin itu.
Astaghfirullah.
Facebook : Malaysia | Shamsuddin Kadir
Pingback: Hutang vs Duit Raya | Azri Nasruddin