Apakah Perancangan Kita di Tahun 2011?

Assalamualaikum dan salam ceria untuk semua sepupu yang dimuliakan oleh Allah dan dikasihi oleh nabi,

Tahun 2011 sudah menjelma, ada yang sudah membuat persiapan dan perancangan untuk tahun 2011. Dengan matlamat yang ditulis ianya menjadi lebih cerah untuk kita mencapainya, kerana kita dapat mengingati apa yang kita inginkan dan setiap kali melihatnya, kita dapat berusaha bagi memastikan ianya berlaku.

Tahun 2011 ini juga mungkin menjadi tahun keramat untuk ahli keluarga kita di mana tarikh mati kita yang telah Allah tetapkan itu jatuh pada tahun ini. Ini juga memerlukan persiapan untuk kita meninggalkan dunia ini.

Apabila kita melihat keindahan dunia ini, termasuk rumah, kereta, aksesori kehidupan, bangunan-bangunan besar dan tempat-tempat menarik, timbul satu persoalan siapakah yang mencipta semua yang cantik-cantik ini? Jawapan yang timbul di hati kita adalah Allah. Jika hasil yang dicipta itu cantik-cantik, sudah pasti Tuhan yang menciptakan semua ini lebih cantik. Sehingga hari ini, kita belum berkesempatan melihat ke semua kecantikan, dan kita belum dapat nikmati semua kenikmatan, bagaimana pula dengan kecantikan yang Maha Kaya iaitu Allah dan juga bagaimana pula dengan nikmat yang Allah sediakan untuk kita di negara yang kekal abadi Akhirat?

Sudah pasti kita teringin mendirikan solat malam, kerana sayang takut waktu pagi cepat sampai, supaya masa untuk kita berdiri di atas tikar sejadah mengadap Tuhan yang Maha Cantik, Maha Penyayang dapat dipanjangkan.

Tahun 2011 ini juga adalah tahun kita meneruskan pengembaraan mencari yang hakiki. Menggunakan sedikit bekalan yang tidak kekal di dunia ini bagi meneruskan kehidupan mencari yang kekal Abadi.

Permainan seperti Playstation sudah pasti menjauhkan lagi anak-anak kita dengan ketagihan untuk mengadap Tuhan yang Maha Cantik dan Maha Indah itu.

Di sebut dalam pengajian agama, apabila malaikat maut datang mencabut roh kita, ketika roh itu sudah berada di leher, kita mohon kepada Allah supaya dipanjangkan umur, bukan untuk apa, tetapi untuk menghadiahkan semua harta kita walaupun satu sen untuk diberikan kepada orang fakir, miskin, yatim dan orang yang amat memerlukan bantuan.

Ini bererti apa yang kita cari dalam bentuk kebendaan, tidak lagi kita perlukan apabila nyawa kita sudah tiada.

Tahun 2011 tahun untuk kita merendahkan keperluan zahir (jasad) dan meningkatkan keperluan roh iaitu, keperluan berdiri di atas tikar sejadah sewaktu manusia lain sedang enak tidur.

Ya Allah permudahkanlah impian kami untuk bangun malam bagi menambahkan lagi taat setia kami dengan menyembahMu. Amin.

4 comments on “Apakah Perancangan Kita di Tahun 2011?”

  1. padz Reply

    Assalamualaikum

    Tuan sham apa khabar? semoga kita sentiasa merasa dekat dengan Nya dan benar benar merasakan jiwa jiwa kita dalam genggaman NYa setiap saat dan waktu insyaAllah.

    Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, kini 2011, Allah masih lagi memberi kita peluang untuk bernafas dan meneruskan kehidupan di atas muka bumi milik Nya ini,maka dengan peluang dan kesempatan yang deberi ini mari lah kita sama sama meneruskan perjuangan sebagai wakil Nya menyebarkan yang baik mencegah yang mungkar.

    Marilah kita terus menuju TUJUAN hidup sambil memenuhi KEPERLUAN hidup.

    W’salam

  2. Puan Hafizah Reply

    Assalamualaikum Tuan,

    Saya sangat suka perancangan yang Tuan sarankan dan saya aminkan bersama. Semoga Allah sentiasa memilih kita untuk bermunajat denganNya setiap malam tanpa gagal sehingga kita pulang kepadaNya. Amin.

  3. AlBaihaqi (Anuardi) Reply

    Salam,

    Saya baru sahaja selesai membaca buku tulisan tuan hidup berhutang tapi tenang di perpustakaan Presint 8 Putrajaya. Saya amat tertarik dengan langkah2 dan tip yang dikemukakan.

    Yang jelas, peranan hutang itu amat penting sekiranya kita mampu menjana pendapatan dengan hutang. Hutang untuk pelaburan dan hutang untuk perbelanjaan semata-mata. Namun, hutang itu merupakan satu daripada kaedah untuk pelaburan yang perlu diberi perhatian oleh semua individu. Saya juga cuba untuk memberi panduan dan tips yang saya rasa berkesan dan perlu untuk dikongsi bersama di http://bajetwang.blogspot.com/. Saya berharap agar banyak lagi tip dan panduan yang boleh dikongsi oleh penulis untuk memastikan hutang itu mampu menjana pendapatan.

    Semoiga saudara berjaya membuka minda dan memberi panduan yang berguna khususnya kepada umat Islam dalam menguruskan pendapatan dan menjana pendapatan dengan hutang yang baik.

    Anuardi Hajani
    http://bajetwang.blogspot.com/

  4. akhir Reply

    Assalammualaikum,

    Marilah kita menilai semula akhlak dan iman kita sepanjang tahun-tahun yang lepas.Andai akhlak dan iman kita masih ditakuk yang lama, kita adalah hamba Allah yang rugi, tapi harus diingat andai akhlak dan iman kita jauh merosot kita adalah hamba amat malang di dunia Allah ini..

    Iman / akhlak…keutamaan kita menuju taman abadi akhirat

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *