Assalamualaikum warahmatullah,
Saya doakan Tuan, isteri dan ahli keluarga berada dalam keredhaan Allah, mendapat berkat di Bulan Ramadhan yang mulia ini dan dipanjangkan umur untuk menyebarkan ilmu kepada seluruh umat Islam.
Tuan,
Pada hari Jumaat yang lepas saya baru sahaja membeli buku Tuan Makan Gaji Tetapi Kaya dan Biskut Ajaib di MPH Mid Valley. Sebenarnya saya sudah membuat pesanan buku-buku tersebut bersama 3 buku tulisan Tuan
yang lain secara online (kedai buku online, tetapi masih belum dipos) namun kerana saya tidak sabar untuk memulakan pembacaan buku-buku itu, saya terus membelinya di MPH walaupun pada harga yang lebih tinggi dari pesanan online saya. Alhamdulillah, pelaburan saya sungguh berbaloi!
Alhamdulillah, suami saya sudah selasai membaca Makan Gaji Tetapi Kaya. Pagi tadi semasa di dalam LRT ke pejabat, saya tamatkan pembacaan Biskut Ajaib. Saya sungguh teruja dan gembira! Terima kasih di atas perkongsian ilmu Tuan kepada kami. Tidak sabar saya mahu membaca buku tulisan Tuan yang lain.
Untuk pengetahuan Tuan, saya dan suami (serta seorang anak) menjalankan hidup yang sederhana dibandingkan dengan rakan-rakan engineer sepejabat yang lain.
Hutang yang ada hanya hutang kereta (Saga) dan rumah. Saya tidak mempunyai kredit kad dan menyimpan hampir 30% duit gaji sebulan. Walaupun kadangkala kami mendapat tekanan dari keluarga kerana tidak hidup “lavish” seperti lagak jurutera, (kami memakai kereta Saga, kawan-kawan memandu Civic, Altis, Accord etc) suami saya tetap berkeras bahawa ini sebenarnya jalan yang terbaik untuk kami yang baru mahu mengemudi alam rumahtangga. (kami berusia 28 tahun)
Setelah membaca buku dan blog Tuan, saya semakin yakin bahawa jalan yang kami pilih adalah tepat, Insya-Allah. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana menemukan saya dengan blog Tuan di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini dan mendorong terus untuk saya membeli buku-buku Tuan.
Insya-Allah pada Syawal ini, seperti tahun-tahun yang lalu, kami hadiahkan buku kepada adik-beradik kami. Tahun ini buku “Hidup Tenang Walaupun Berhutang” akan dijadikan hadiah raya untuk mereka, Insya-Allah. Saya mahu adik-beradik saya memanfaatkan ilmu Tuan dan sama-sama dapat menguruskan kewangan dengan bijak. Biskut Ajaib pula akan dihadiahkan kepada anak buah saya.
Saya dan suami berharap dapat berjumpa Tuan suatu hari nanti jika diizinkan Allah.
Terima kasih Tuan. Terima kasih.
Siti Zulaikha (bukan nama sebenar)
———————————-
Waalaikummusalam wbt Cik Puan Siti Zulaikha,
Saya mohon seluruh malaikat yang ada di langit turut mengaminkan doa saya untuk Cik Puan sekeluarga, supaya Cik puan sekeluarga terus menerus dipelihara dari gangguan dosa dan juga dirahmati dengan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Terima kasih di atas doa Cik Puan, itu saya cukup suka menerima doa dari wanita yang solehah, kerana doa wanita solehah diterima Allah tanpa ada halangan.
Tahniah, Tahniah, Tahniah, kerana Cik Puan dan suami berjaya menguasai fikiran, nafsu dan juga godaan masyarakat disekeliling dari terpengaruh dengan gaya hidup di luar batasan normal seorang Muslim.
Saidina Umar sentiasa berdoa di hadapan Kaabah setiap kali beliau ke Mekah. Doanya lebih kurang begini “Ya Allah jadikan aku termasuk golongan yang sedikit”. Maksudnya, orang yang memilih untuk mengikut dan taat kepada Allah secara sepenuh hati adalah sedikit berbanding dengan golongan yang sesat.
Teruskan mengunakan proton Saga itu. Pahalanya sangat besar, Fardhu Kifayah dipenuhi, keberkatan bersama Cik Puan sekeluarga.
Satu kajian mendapati, Orang yang merasakan dirinya mahal, mereka tidak memerlukan perkara ataupun benda mahal untuk ditempatkan ataupun dilekatkan kepada diri mereka sendiri’
Salah seorang yang menepati ciri-ciri orang mahal adalah Cik Puan dan Suami.
Terus menerus memanfaatkan masa membaca terutama juga dalam LRT. Baca, baca, baca dan hadiahkan buku-buku yang bermanfaat.
Gantikan duit raya dengan Angan-Angan.
Individu seperti Cik Puan dan suami yang dapat menyimpan 30% dari duit gaji sebulan, adalah antara individu yang sangat berkualiti dan berprestasi di pejabat.
Saya baru mendapat jemputan bagi menyediakan modul latihan untuk kakitangan di organisasi Cik Puan. Semoga kita dipermudahkan untuk bertemu suatu hari ini.
Semoga Allah melahirkan lebih banyak sepupu seperti Cik Puan dan Suami dalam kehidupan ini.
Shamsuddin kadir
3 comments on “Jurutera : Teruja dan Gembira Membaca Buku”