Salam en Sham,
Saya merupakan pembaca laman web en sham setiap 2 kali sehari dan saya juga memperoleh ilmu berguna dari web ini. Di sini saya ingin bertanya persoalan tentang pelaburan FOREX (Fx) yang sekarang ini sering diwar-warkan dalam forum di internet tentang kejayaan, kekayaan (secara diam) dan keuntungan berlipat kali ganda.
Kita tahu dunia forex ini sangat istimewa sekiranya kita berjaya mendapatkannnya (untung), tapi dukacita dan sedih jika rugi. Sebagai individu yang tidak arif dan tidak berpegetahuan dalam dunia trading FX ini, boleh tak en Sham memberi tips dan panduan yang selamat untuk individu seperti saya memilih FX ini sebagai platform untuk berjaya.
Saya juga mendapat nasihat dari rakan-rakan yang gemarkan FX ini mengesyorkan saya mencari Trader untuk melakukan trading kepada saya dengan meletakkan sejumlah modal. Persoalannya ini, bagaimanakah kita nak pilih trader yang betul-betul mahir dan berlesen dan boleh make money? Broker pula yang mana yang sesuai?
Seterusnya, apakah tindakan yang perlu saya lakukan untuk perkara ini agar pemilihan saya tidak merugikan modal saya apabila menyertai dunia FX?
Harap en. Sham beri panduan dan cara yang tepat berhubung hal ini. Saya tidak mahu apabila modal yang dilaburkan nanti boleh terjebak ke dalam Skim-skim atas angin.
Harap membantu
Shah
————————————-
Waalaikummusalam Tuan Shah,
Semoga Allah sentiasa mengurniakan kepada Tuan dengan kebaikan yang datang mendadak, pada setiap pagi dan petang hari. Amin.
Terima kasih kerana mengutarakan isu ini. Apabila SK membaca emel yang Tuan hantar ini, ia menunjukkan Tuan seorang dari tetamu-tetamu SK yang cukup berhati-hati dalam membuat perlaburan. Tahniah.
Sehingga kini SK hanya menerima maklumat-maklumat yang negatif berkenaan dengan skim perlaburan Forex yang ada di Malaysia. Sama ada peringatan dari Bank Negara dan juga beberapa orang termasuk seorang yang rugi lebih kurang 4 juta ringgit.
Majoriti dari mereka membuat duit pada peringkat awal untuk sementara waktu, apabila mereka menambah perlaburan, akhirnya mereka tinggal sehelai sepinggang. Apa yang saya nampak, apabila mereka menangung rugi yang dahsyat, mereka akan terus menukar dari satu skim kepada skim lain, kerana percaya akan tiba masanya mereka akan untung.
Labur dalam perlaburan yang halal dan sah di sisi undang-undang dan pastikan kita sanggup menerima akibatnya jika wang itu mengecil.
Sehingga hari ini, halaman www.shamsuddinkadir.com ini tidak menyarankan kepada Tuan dan Puan bagi menyertai skim perlaburan Forex.
Semoga Allah memberikan kemudahan kepada Tuan Shah dalam memilih skim perlaburan yang terbaik bagi menikmati kehidupan yang terbaik di dunia dan akhirat. Amin.
SK
Emel: info@shamsuddinkadir.com