Tetamu SK: Hutang Ohh Hutang

Informasi di bawah yang dihantar ke info@shamsuddinkadir.com oleh tetamu blog ini.

Salam,

Tuan, Saya ada membuat pinjaman RM8000 dari H bank pada bulan 8 tahun 2008 selama 5 tahun dan ada hutang kad kredit RM3600 dari E bank dan saya telah gunakan dengana maksimum. 

Saya tahu itu salah saya juga. untuk makluman tuan, tujuan sebenar saya membuat pinjaman adalah untuk majlis perkahwinan pada hujung tahun ini, tapi tak jadi sebab orang yang saya nak kahwin tu dah berkahwin dengan orang lain.

Minggu lepas, lawyer dari eon bank ada call bagitau saya untuk blacklistkan nama saya kalau saya tak bayar minima RM300 sekurang-kurangnya sebab tarikh yang diberi telah tamat. tapi saya telah  bayar RM300 tu pada hari itu juga dan mereka tak jadi untuk blacklistkan nama saya.  

Tuan, Saya ingin menyusun semula semua hutang-hutang saya ini, dan mahu settlekan secepat mungkin sebab gaji saya cuma RM1800 campur ot (overtime) sahaja. Dan saya juga tengah pening sebab nak bertunang bulan 11 tahun ini dan nak kahwin tahun depan dengan orang lain.  

Harap Tuan dapat tolong saya apa yang patut saya lakukan untuk mengatasi masalah ini. 

ZI (Bukan nama sebenar)

————————————

Kami juga mengalu-alukan pandangan Tuan dan Puan berkenaan masalah yang dihadapi oleh saudara kita ini. Insyaa-Allah SK akan memberikan pandangannya dalam masa terdekat.

Waalaikummusalam Tuan ZI,

Semoga Allah memudahkan usaha Tuan dalam membebaskan diri dari bebanan kewangan ketika ini. Amin.

Tuan pertama-tamanya SK ingin mengucapkan tahniah kerana memilih jalan pernikahan yang dihalalkan oleh Allah bagi memulakan hidup berumahtangga.

Pertama-tamanya juga pandangan yang telah diberikan oleh saudara kita yang telah memberikan pandangan di ruangan diskusi kuliah juga perlu kita fahami dan aplikasikan sebaik yang mungkin.

Tuan apabila melihat situasi yang Tuan ketika ini sedang berada SK merasa semakin bersalah kerana buku berkenaan dengan perkahwinan belum siap. Walau bagaimana pun SK akan menumpukan kepada masalah hutang yang sedang Tuan tanggung ketika ini.

Tuan mengikut andaian saya duit pinjaman peribadi RM 8,000 yang Tuan dapat sudah habis digunakan. Apa yang Tuan boleh buat pada ketika ini bagi jalan yang paling mudah dan ringan adalah menghubungi Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang terletak di tingkat 7 / 8 Maju Juction, berdekatan dengan SOGO dan Medan MARA Kuala Lumpur jika Tuan menetap di Lembah Klang. Jika di luar Lembah Klang, hubungi cawangan AKPK di negeri Tuan sedang menetap. Mereka dapat membantu Tuan menstrukturkan semula hutang Tuan di samping yang sama membantu mendapat diskaun bagi hutang kad kredit Tuan.

Dalam keadaan yang amat sukar ini, Tuan seharusnya tidak membenarkan walaupun satu sen wang dari duit gaji yang Tuan perolehi ketika ini dari dihadiahkan kepada orang lain iaitu peniaga bagi sesuatu yang tidak bermanfaat.

Jika Tuan makan di kedai pastikan air suam ataupun ais kosong yang di order. Jika makan nasi lemak sewaktu pagi, pastikan Tuan hanya order nasi lemak biasa. Teh tarik jika perlu order hanya sekali sehari sama ada ketika bersarapan ataupun waktu lain.

Habis kerja pastikan Tuan mengunakan waktu malam di rumah sahaja dan penuhkan sebahagian waktu sebelum tidur dengan membaca buku kewangan. Hidup Tengan Walaupun Berhutang (RM20) sesuai menjadi santapan pertama Tuan setiap malam. Pastikan baca doa yang ada di dalam buku tersebut di muka surat yang terakhir pada setiap masa.

Jika guna hp pastikan bil maksimu adalah RM 35 sahaja. Hantar cincin sahaja ketika masjis pertunangan jangan disusuli dengan hantaran lain yang ‘membazir’. Cukup sebentuk cincin ‘belah rotan’. Tanda ikatan. Jika Tuan ada adik beradik yang bekerja, dapatkan adik beradik bagi membantu menghadiahkan satu hantaran bagi setiap adik beradik yang bekerja. Beritahu mereka status kewangan Tuan yang kurang memuaskan ketika ini. Dengan izin Allah banyak sumbangan yang Tuan akan terima. Jika Tiada adik beradik yang mampu membantu, pastikan tiada majlis perkahwinan yang membazir iaitu yang tiada keberkatan, seperti :

  • Kos Pelamin & pakaian yang hanya dipakai sekali seumur hidup
  • Hantar seperti kasut, baju, …
  • Kad perkahwinan yang melebihi dari RM 0.30 sekeping. Jemput bilangan minimun seperti 100 – 300 orang sudah lebih dari mencukupi bagi memaklumkan dan menghebohkan kepada jiran tetangga bahawa Tuan sudah bernikah dengan Si Polan.
  • Banyak lagi kos yang tidak meningkatkan kebahagiaan rumahtangga perlu dielakkan sewaktu majlis pernikahan.

Beritahu kepada bakal pasangan supaya beliau mengerti, jika beliau tidak sanggup untuk negosiasi dengan Tuan termasuk jumlah hantaran, SK tidak yakin itu adalah pasangan yang akan membahagiakan Tuan sepanjang hidup.

Kad Kredit itu Tuan tidak perlu risau. Tuan tidak boleh gunakan lagi.. potong kepada dua bahagian dan pastikan setiap bulan Tuan boleh bayar walaupun dalam jumlah yang amat sedikit. Diblacklisted bukanlah membuatkan kita tidak boleh lagi hidup dengan tenang dalam dunia ini. Tetapi hutang itu perlu dijelaskan sedikit demi sedikit. Biarkan jika bank ingin blacklisted nama Tuan, tetapi pastikan sekali lagi Tuan membuat bayaran walaupun jumlah yang dibayar itu hanya RM 100 sebulan. Ketika ada duit lebih bayar lebih. Selepas hutang itu dibayar sepenuhnya nama Tuan akan diPUTIHKAN semula.

Jika Tuan merokok sudah tiba masanya Tuan melihat dan memahami, bahawa rokok itu bukan sahaja membuatkan Tuan berisiko tinggi menghadapi barah, ianya juga tidak membantu Tuan menghadapi tekanan kewangan ketika ini. Bahkan ianya menghabiskan lebih banyak duit Tuan.

 Jangan, jangan tambah hutang baru sama ada kad kredit itu digunakan semula, ataupun membeli kereta dan pinjaman lain. Ianya akan membuatkan hidup kita semakin tersempit sehingga ke liang lahad. Pastikan Tuan sudah bebas hutang ini sebelum merancang yang lebih baik.

Elakkan dari skim-skim yang katanya “Cepat Kaya, Cepat Dapat Duit” kerana apabila kita tersempit dengan bebanan kewangan kita sebenarnya telah menjadikan diri kita sebagai ‘Umpan’ yang dicari oleh Pencipta Skim-skim ini.

Tiada jalan yang dalam sesaat membuatkan kita selesai dengan masalah. Apabila dilihat masalah Tuan, kes yang Tuan sedang hadapi ini jauh lebih ringan dari kes yang dikelolakan oleh SK sebelum ini. Kes yang lebih berat dapat diselesaikan, SK yakin Tuan berjaya selesaikan dalam masa yang singkat.

Jika Tuan terlebih yakin dengan kuasa Allah, SK galakkan Tuan mengusahakan diri bagi Solat Dhuha 2 rokaat setiap pagi sehingga situtasi hutang ini dipermudahkan oleh Allah. Jika keyakinan itu terus bersemi teruskan solat Dhuha itu sehingga kita kembali kepadaNya.

Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu supaya mempermudahkan situasi saudaraku ini yang sedang dalam kesempitan. Bantulah beliau, kurniakan kepadanya dengan semangat dan kebaikan yang datang. HambaMu ini percaya dengan kekuasaanMu dan amat yakin saudaraku ini akan menjadi orang yang berjaya menyelesaikan hutang dan dapat bernikah dengan berjayanya dengan keredhaanMu. Ya Allah perkenankanlah doa hambaMu ini. Amin.

 

 

 

 

3 comments on “Tetamu SK: Hutang Ohh Hutang”

  1. SHAHRIN Reply

    Salam Tuan Sham.

    Hari ini hampir 10 kali saya melayari Blog SK. Rasanya macam tak sabar menanti pandangan dari Tuan Sham berkaitan dengan masalah Saudara ZI di atas. Semoga pandangan yang tuan berikan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penghutang-penghutang semua. Saya sendiri pun berhutang tetapi masih terkawal lagi.

    Saya doakan agar ALLAH meringankan kesulitan-kesulitan yang ditimbulkan oleh hutang yang ditanggung oleh Saudara ZI.

    Shahrin.

  2. dillah Reply

    salam,
    Ini adalah masalah yang telah lama bertapak dikalangan orang kita, tambahan dengan kekurangan ketahanan diri untuk menangkis ‘offer’ daripada kakitangan bank yang begitu manis hingga kita teruja untuk menerima ‘offer’ tersebut, tanpa kita sedari ‘offer’ mereka itu adalah racun yang begitu berbisa yang terus merebak dalam pengurusan kewangan kita yang memang tidak terkawal.

    Dari segi kewangan saya tidak begitu arif, cuma nasihat saya jangan korek lubang yang lain demi untuk menutup lubang yang sedia ada, tidak kira atas alasan apa sekali pun.

    Untuk perkahwinan saudara Zi yang akan datang,renung dan bezakanlah antara ADAT dan IBADAT. Yakinlah ibadat tidak sesekali menzalimi kita, hanya adat yang sering membuat kita merana dan menderita dikemudian hari. Terlalu banyak pembaziran didalam satu majlis perkahwinan orang kita, bermula dari kad jemputan sehingga kemajlis berakhir. Ukurlah baju dibadan sendiri.

    Semoga Allah memudahkan segala kesulitan yang dihadapi, Amin

  3. MT,KK Reply

    Salam kepada semua pengunjung blog SK,
    Kesedaran tentang perangkap-perangkap kewangan perlu diuar-uarkan kepada semua pekerja agensi kerajaan mahu pun swasta kerana tanpa kesedaran ini, rakan-rakan kita akan terus terjebak dengan promosi-promosi dari pihak bank. Carilah ruang untuk memasukkan elemen pendidikan kewangan ke tempat kita bekerja sama ada mengedar risalah ataupun menjemput pakar Kewangan seperti Encik Shamsuddin Kadir untuk memberikan ceramah atau pun kursus Dimensi Diri. Saya pasti dengan sedikit tenaga dan usaha sebegini akan dapat membantu rakan-rakan kita yang belum atau pun yang sedang tersepit. Percayalah usaha sebegini selain membantu orang lain untuk berjaya dan hidup lebih tenang ianya juga adalah ibadah.
    Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan,ilham para nabi dan rahmatnya kepada Encik Sham.

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *