Mentee SK: Bagaimana Menanam Minat Berniaga?

Salam Tuan Shamsuddin,

Bagaimana untuk saya menanam minat untuk berniaga? Kesemua buku Tuan saya dah baca berkali-kali. Saya tiada pengalaman langsung didalam bidang perniagaan dan saya terlalu bermurah hati. Bukan tujuan untuk memuji diri tetapi itu adalah sifat saya yang tak dapat saya buang. Contohnya saya bertugas sebagai kakitangan awam dan selalu bertugas di luar.

Jika saya bertugas di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu atau di Langkawi kawan-kawan akan mengirim barang dari sana. Saya akan menunaikan hajat mereka tetapi bila balik saya akan beri secara percuma dan jika barang kiriman agak mahal saya akan minta mereka bayar kurang dari bayaran tersebut kerana saya tidak sampai hati hendak meminta dengan harga yang mahal.

Tetapi saya tetap bersyukur setelah membaca buku Tuan yang pertama, saya telah berubah 100% dari segi perbelanjaan saya dan tiada lagi hutang di dalam hidup saya pada hari ini kecuali hutang rumah. Memang betul tuan, tanpa berhutang kewangan kita lebih bertambah lumayan.

Dulu saya suka melihat orang berbelanja menggunakan kad kredit, bagi saya orang itu high class tetapi sekarang jika saya melihat orang berbelanja menggunakan kad kredit saya kasihankan mereka dan saya berdoa agar ALLAH melindungi mereka dari kesulitan-kesulitan berhutang.

Tips-tips yang Tuan berikan banyak yang saya amalkan seperti Doa Kecergasan (Riwayat Abu Dawud) seperti didalam buku pertama Tuan, Solat Dhuha dan tips-tips lain.

Satu lagi tips yang saya belajar oleh seorang Ustazah iaitu sentiasa berdoa untuk orang yang memberi kebaikan kepada kita (dengan menyebut nama beliau) dan kita hormati orang tersebut, Insyaalah ALLAH akan memberikan kebaikan yang mendadak kepada kita. Alhamdulillah saya selalu merasainya.

Terima kasih Tuan, setelah membaca buku-buku Tuan kewangan saya telah berubah, tidak berkurangan tetapi semakin hari semakin bertambah dan bertambah.

Tuan, tolong beri sedikit tips macamana nak mengubah diri saya agar ada minat untuk berniaga. Buat masa sekarang saya tidak dapat mengikuti kursus-kursus yang Tuan anjurkan. Mungkin satu hari nanti jika diizinkan ALLAH. Saya amat-amat berharap Tuan dapat beri sedikit tips kepada saya.

Diskusi ini di ambil dari artikel Peserta Kursus Mencapai Sasaran Kritikal, 2009/05/30 at 4:17 PM

Pembaca buku sk
mentee_sk@yahoo.com

Waalaikummusalam Tuan/Puan yang saya amat muliakan,

Semoga Allah sentiasa mengurniakan kepada Tuan/Puan dengan kebaikan yang datang mendadak pada setiap pagi dan petang hari. Amin.

Alhamdulilah, Alhamdulilah, Alhamdulilah. Hari ini adalah di antara hari-hari yang saya paling gembira apabila diberitahu bahawa Tuan/Puan sudah mula menjadi ketagih buku-buku yang memberi manfaat kepada manusia.

Semoga Allah menambah-nambah lagi bilangan manusia-manusia yang menjadi ketagih membaca sama ada melalui buku-buku yang ditulis oleh SK, halaman blog ini ataupun melalui dari kursus-kursus yang SK jayakan. Amin.

Satu perkara yang SK sentiasa pegang, apa yang ditulis, apa yang disebut dan apa yang diusahakan adalah melalui hati, dan bukannya memberi ‘lips service’. Hanya usaha yang melalui hati akan sampai ke hati manusia lain. Tiada apa harapan peribadi yang SK inginkan, harapkan hanya semata-mata untuk melihat semua manusia itu dapat hidup bahagia, ceria, tenang, ada duit dan bersyukur kepada Allah setiap saat.

Bagaimana untuk menanam minat berniaga?

Tuan/Puan hanya mulakan dengan membaca doa ‘Menyerap Ilmu’ diikuti dengan buku :

1. Biskut Ajaib :Shamsuddin Kadir & Nor’Aini Mohamed Noor

2. Garaj Aiman : SK & Nor’Aini & Nor’Aini Mohamed Noor

3. Tukang Gunting Terbang :: SK & Nor’Aini Mohamed Noor

4. Memulakan Bisnes Sendiri oleh Puan Ainon Mohd

Insyaa-Allah buku terbaru SK akan terbit pada tahun ini di atas bantuan Tuan & Puan yang sudi mendoakan agar ianya berjaya disiapkan dan diterbitkan. Satu darinya adalah berkenaan dengan ‘Berhijrah Menjadi Usahawan”

Saya doakan Tuan/Puan akan mula mendapat ilmu dan inspirasi selepas membaca buku-buku tersebut mengikut susunan.

Salam Kesyukuran di atas minat membaca yang Tuan/Puan miliki.

Saya terharu apabila emel yang ditulis itu, semoga Allah menjadikan Tuan/Puan antara orang yang paling berguna yang pernah Allah ciptakan Amin.

Shamsuddin Kadir (SK)

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *