Alhamdulilah, sejak sampai di Kota Kinabalu tepat 12.45 tengahari, semua yang dirancangkan berjalan lancar. Pertemuan dengan Ketua Jabatan Latihan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu iaitu Puan Jainab Saidi menambahkan lagi pengetahuan baru. Insyaa-Allah program Dimensi Diri yang sudah masuk tahun ketiga akan bertapak di bumi Kenyalang tahun 2009 ini.
Habis temujanji saya terus meneroka bandarnya terutama yang berdekatan dengan hotel tempat saya menginap. Alhamdulilah, tempat pertama yang menyebabkan saya menghabiskan lebih dari satu jam, tidak lain tidak bukan iaitu kedai buku ‘Times’. Waw buku-buku yang dijual di kedai itu banyak yang membuatkan saya serba salah, di rumah ada banyak lagi buku yang belum saya habis baca. Dua buah buku dibawa bersama yang belum habis dibaca, kini mata, tangan dan hati hanya fokus kepada satu iaitu buku. Bagi meredakan ‘impulse buying’ saya terpaksa keluar dari kedai buku dan pergi ke pasar Filipin yang terletak berhampiran. Saya bertuah pada hari ini, kerana saya bertemu dengan seorang lagi mentor iatu Tuan Ismail Abas yang berkerja di Kuala Lumpur. Saya berjumpa dengannya pada kali pertama di dalam kedai buku itu. Banyak ilmunya, saya amat tertarik dengan apa yang dituturkannya.
Alhamdulilah, bulan Februari saya sudah melepasi kuota Mentor yang saya tetapkan. Bulan Februari ini saya sudah menemui dan telah melantik 3 individu menjadi Mentor saya. Seorang yang bergelar Kolonel bersara TUDM, Pensyarah dari UKM dan yang terbarunya Tuan Ismail Abas.
Ketika makan malam saya berjumpa dengan dua usahawanita yang sungguh rajin iaitu rakan kongsi Puan Saleha dan Puan Saloma yang gigih berniaga dan bersemangat.
Saya amat tertarik dengan kata-kata mereka. Kami suka berniaga kerana satu dari kelebihannya kami dan berjalan-jalan pada bila-bila masa. Kata orang “Jauh perjalanan, luas pengalaman, kalau kita tidak buat bisnes bagaimana dan jauh berjalan? Kata Puan Saloma. Mereka berasal dari Lawas dan datang ke Kota Kinabalu bagi menyambut anaknya yang akan pulang dari Kuala Lumpur pada malam ini.
Di pasar Filifin, saya berjaya keluar setelah meronda-ronda hampir 95% dari kedai yang ada di dalamnya, tiada satu yang menarik hati saya bagi membelinya. Ini kerana, saya sudah tetapkan bahawa hanya barangan yang memberikan faedah dan tidak membazir kepada saya, akan saya beli bagi dibawa pulang ke Kuala Lumpur. Mulanya saya ingin membeli souvenier, tetapi saya merasakan souvenier itu tidak dapat memberikan kebaikan senilai dengan duit yang saya bayar. Saya juga pasti cenderamata itu akan akhirnya dibuang ke tong sampah ataupun tidak dapat menghasilkan orang yang menerimanya menjadi lebih baik. Pernah seorang peserta kursus yang saya jayakan di LHDN mengelarkan saya ‘Hati kering’ kerana tidak mahu berbelanja bagi kehendak yang tidak perlu.
Saya akan membawa pulang kenangan manis kepada keluarga dan sahabat-sahabat, supaya mereka turut mengunjungi Kota Kinabalu, ada kelainan dari tempat lain yang telah saya lawati.
Insyaa-Allah saya akan datang lagi bagi menjayakan kursus dan membawa keluarga bercuti. Mungkin sebelum pulang lusa, saya akan membeli ‘ikan kering’ untuk dibawa pulang.