Hujung minggu terutama ketika musim cuti sekolah, banyak kenduri yang diadakan bagi meraikan pasangan yang baru diijabkabul dan kenduri menyambut menantu di sana sini.
Matlamat utama bagi mengadakan kenduri adalah bagi menghebohkan kepada masyarakat sekeliling bahawa Si Tapah dan Si Tipah telah bernikah dan menjadi pasangan yang sah sudah hampir tenggelam. Apa yang banyak timbul adalah pertandingan membuat majlis perkahwinan yang paling meriah di mana pertandingan di adili melalui :
1. Bilangan khemah yang digunakan – yang paling banyak menjadi Juara
2. Bilangan jemputan yang dipanggil – yang paling banyak menjadi juara
3. Jumlah hantaran yang ditetapkan – Yang paling tinggi menjadi juara
4. Harga katering satu kepala – Yang paling mahal menjadi juara
5. Pelamin yang dipilih – Yang paling cantik menjadi juara
6. Hantaran perkahwinan – Yang paling banyak menjadi juara, Yang paling berjenama menjadi juara
7. Gubahan, hiasan di rumah pengantin – Yang paling menawan menjadi juara
8. Dan banyak lagi…. termasuk kad perkahwinan….
Cukup sedih saya melihat bertapa ramainya manusia yang suka membazir kerana terpengaruh dengan sifat ingin menunjuk-nunjuk, sehingga wang mencecah puluhan ribu ringgit dilaburkan bagi memuaskan perasaan ‘menunjuk-nunjuk’.
Individu yang paling dan cukup menderita adalah pasangan yang baru berkahwin itu, kerana ada yang memaksa diri mengambil pinjaman peribadi dengan menghalalkan perkataan terpaksa kerana ibubapa mereka.
Berapa lama lagi kita perlu mengikut adat seorang tua yang telah meninggal dunia yang menetapkan adat yang tidak membatu kita menguruskan kewangan dengan cekap, adakah adat yang membazir dan bersifat menunjuk-nunjuk perlu kita ikuti?
Saya paling suka menghadiri majlis kenduri kesyukuran perkahwinan kerana ianya bermaksud, majlis di adakan bagi meraikankan perkahwinan dan para tetamu tidak wajib membawa hadiah ataupun duit untuk dihulurkan.
Yang menjadi terlebih kaya adalah peniaga-peniaga yang mencetak kad perkahwinan, penyedia khemah, jurusolek. Ini satu, adakah jurusolek yang mentouch up muka kita sehingga berwajah seperti opera Cina itu yang penting, sehingga tiada lagi muka kita yang asal.
Pembaziran ini membebankan lagi pasangan muda yang terpaksa menunda-nunda tarikh perkahwinan disebabkan ibubapa dan bakal ibubapa mertua yang tidak sanggup membebaskan diri dari perasaan ‘riak’.
Blog www.shamsuddinkadir.com, sama sekali tidak bersetuju dengan majlis perkahwinan yang membazir dan menunjuk-nunjuk dan yang menjadi antara penyebab utama kenapa generasi muda tidak memilih jalan perkahwinan yang sah untuk memenuhi keperluan hidup.
SK juga tidak menyokong 100% mana-mana individu yang memilih untuk berkahwin dengan meminjam pinjaman peribadi. Insyaa-Allah sebuah buku berkenaan dengan pengurusan kewangan untuk Pengantin akan dikeluarkan bagi membebaskan banyak individu yang terpaksa menangung bebanan yang tidak perlu, gara-gara ‘perasaan menunjuk-nunjuk terlekat di jiwa’
Yang paling menarik, tidak ada tetamu yang merasa selesa apabila melihat sebuah majlis perkahwinan yang tidak berpijak di dunia realiti, hanya semata-mata sebuah majlis di dunia khayalan. Majlis perkahwinan yang besar-besaran yang dibuat tanpa ada ‘berkat’ tidak dapat menghasilkan kebahagian, yang ada hanyalah menangung bebanan hutang. Ada yang sudah ada ada 4 tetapi hutang perkahwinan belum selesai.
14 comments on “Majlis Perkahwinan Yang Membazir”