Surat Pembaca : Pinjaman Perumahan Lwn Pinjaman Peribadi

Assalamualaikum En. Sham.

Saya N (Bukan nama sebenar) daripada Nilai Negeri Sembilan, ingin meminta pandangan dari En. Sham berkenaan dengan perbezaan pinjaman perumahan dengan pinjaman peribadi.

Pinjaman perumahan Saya sekarang berbaki 165K sekiranya Saya ingin melunaskan keseluruhan baki pinjaman tersebut. Apakah pandangan Encik sekiranya Saya mengambil pinjaman peribadi untuk melunaskan hutang tersebut, di mana kadar faedahnya 5.9% selama 15 tahun berbanding dengan pinjaman perumahan yang mana kadar faedahnya 7% selama 30 tahun.

Saya berharap Encik tiada keberatan untuk menjawab soalan Saya.

Sekian Terima kasih

NR

————————————-

Waalaikummusalam Saudara N, 

Pertama-tamanya saya memohon maaf di atas kelewatan menjawab pertanyaan saudara ini.

Tahniah juga kepada saudara kerana mencari peluang terbaik bagi melangsaikan hutang secepat mungkin dengan kos yang lebih rendah.

Banyak persoalan yang timbul apabila kita membandingkan di antara terma-terma pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi.

Pertama -Secara umumnya Kadar keuntungan (faedah untuk sistem berlandaskan riba)  bagi pinjaman perumahan di kira berdasarkan bagi pinjaman pada setiap bulan, ianya juga di panggil reducing balance. Manakala kadar keuntungan (faedah untuk sistem berlandaskan riba) setiap tahun di kira berdasarkan jumlah pinjaman asal iaitu RM165,000. Kadar pinjaman peribadi adalah bersifat seperti pinjaman kereta. Itu secara umum, mungkin ada juga pinjaman peribadi yang mencontohi konsep pembiayaan perumahan tetapi agak kurang praktikal apabila kadar rendah ditawarkan apabila tiada cagaran.

Cuba saudara tanyakan kepada bank yang menawarkan pinjaman peribadi itu, adakah pengiraan kadar berdasarkan baki hutang bulanan ?

Kedua – Pinjaman peribadi tidak menawarkan MRTA/MRTT seperti mana yang ditawarkan kepada pembiayaan membeli rumah. Walau bagaimanapun saudara boleh cuba menanyakan kepada bank bagi mengambil MRTT bagi melindungi anda daripada terpaksa menjelaskan baki hutang secara sepenuhnya jika kita meninggal dunia ataupun lumpuh sebelum berjaya menjelaskan ke semua hutang itu.

Jika jawapan bank untuk soalan pertama adalah berdasarkan baki hutang bulanan seperti mana pembiayaan perumahan dan jawapan bagi soalan kedua adalah ya, saudara dibenarkan mengambil MRTT, maka sudah pasti membiayai dengan pinjaman peribadi mungkin satu pilihan terbaik untuk saudara pada ketika ini.

Mohon maaf sekali lagi di atas kelewatan memberikan maklum balas di atas.

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *