Kos Biaya Hidup Tinggi Atau Kos Biaya Nafsu Tinggi?

Mengikut satu daripada kajian saya mendapati sebahagian daripada individu yang hidup di luar sana di bebani dengan kos biaya hidup tinggi akibat melayan kehendak nafsu dalam berbelanja. Tabiat ini boleh di lihat apabila seseorang individu membeli kereta dengan mengambil jumlah pinjaman maksimun dan tempoh bayaran balik maksimum yang bank luluskan. Ini bererti, individu itu membeli kereta yang melebihi daripada kemampuan sebenarnya. Mengikut pakar, tempoh maksimun pinjaman kereta yang layak kita miliki adalah tidak lebih daripada 4 tahun. Ini bererti apabila kita membeli kereta dengan mengambil pembiayaan melebihi 4 tahun kita sebenarnya membiayai keinginan nafsu. Adakah salah untuk kita memenuhi impian memiliki kereta besar dan selesa? Tidak salah, tetapi pastikan pendapatan kita bertambah terlebih dahulu supaya kita dapat membayar wang muka yang banyak, supaya ansuran bulanan tidak lebih dari 4 tahun.

Bagaimana kita sehingga terlepas pandang, bahawa pinjaman kereta yang melebihi 4 tahun adalah pembiayaan bagi memuaskan nafsu yang diluar batasan? Ini adalah gara-gara kecetekan ilmu kewangan. Kita boleh rasakan pada setiap bulan kita merasa tertekan dan tidak berbaloi dengan ansuran kereta yang kita bayar apabila kita membiayai kereta yang diluar kemampuan sebenar kita pada ketika ini.

Bagaimana dengan rumah yang kita sedang diami sekarang, adakah rumah itu dibeli berdasarkan kemampuan sebenar kita ataupun kita mengambil pinjaman berdasarkan kelayakan yang ditentukan oleh bank? Antara mampu dan layak jauh perbezaanya di mana mampu bermaksud jumlah yang anda dengan tenang mampu bagi membayar ansuran dan segala kos yang berkaitan. Manakala layak adalah ditentukan oleh bank, di mana itu adalah jumlah maksimun pinjman yang bank sanggup bagi.  Adakah anda merasa tenang dan ceria setiap kali membayar ansuran rumah tersebut? Jika jauh di sudut hati anda merasakan bebanan ataupun tidak berbaloi dengan ansuran yang anda bayar , anda sebenarnya telah membeli rumah mengikut nafsu.

Bagaimana kita membeli barangan keperluan rumah termasuk barangan dapur? Adakah kita menyenaraikan segala keperluan barangan yang perlu dibeli di pasaraya? Ataupun kita pergi sahaja ke pasaraya dan mengambil sahaja barangan yang dirasakan perlu, ataupun yang ada diskaun, dan juga barangan yang berkenan di hati apabila kita melihatnya. Barangan yang ada di dalam pasaraya tidak dapat memuaskan hati kita walaupun sudah 10 tahun kita membeli belah di pasaraya yang sama. Kita tidak mampu jika kita ingin memuaskan nafsu kita secara sepenuhnya. Nafsu kita itu hanya terhenti daripada meminta kepada kita hanya apabila kita mati sahaja. Selain daripada kematian, kita dapat mendidik nafsu kita dengan ilmu kewangan seperti membeli apa yang ada di dalam senarai sahaja. Jangan beli apa yang tiada di dalam senarai. Barangan yang dibeli yang tiada dalam senarai adalah kos biaya nafsu dan bukannya kos biaya hidup.

Adakah budaya makan di restoran makanan segera itu satu keperluan wajib dalam menyara hidup ataupun keperluan wajib bagi membiayai nafsu?  Tidak salah bagi menikmati makanan segera, tetapi pastikan kita tidak tergolong dalam keadaan orang yang ‘tenat’.

Melangan saluran berbayar, ianya termasuk dalam kos sara hidup yang wajib ataupun kos biaya nafsu ? Siaran TV percuma sudah ada 6-7 saluran, adakah ianya masih tidak cukup untuk hidup bertamadun?

Pemain VCD, DVD yang boleh didapati dengan harga di bawah RM100, tetapi bagaimana dengan filem VCD dan DVD. Adakah memilikinya membuatkan hidup kita semakin bahagia dan tenang? Tidak bahagiakah individu yang hidup di dalam  rumah yang tidak memilik pemain VCD dan DVD?

Banyak perkara dan banyak kos yang kita tanggung bukannya kos biaya hidup wajib, tetapi disebabkan ‘terpengaruh’ kita merasakan kos biaya hidup yang membebankan kita dan bukannya kos biaya nafsu.

Baju-baju untuk anak di beli daripada yang berjenama, adakah ianya termasuk dalam kos biaya hidup ataupun kos biaya nafsu? Adakah anak yang dipakai dengan baju daripada yang kurang berjenama merasa kurang bersemangat dan lembab?

Adakah kita telah membuat kajian dengan terpengaruh iklan susu berjenama dan mahal menjadikan anak kita yang paling pandai dan bijak di sekolah dan di taman perumahan yang kita tinggal berbanding anak yang diberikan susu yang ada tanda halal Jakim? Untuk makluman majoriti susu yang berjenama tinggi tidak ada logo halal Jakim, yang ada logo halal luar negeri. Logo halal Jakim kita kadangkala was-was, inikan logo halal dari negara yang majoritinya orang bukan Islam.

Menghantar anak ke tadika yang ada kelas dan menyebabkan kita berbelanja beratus dan beribu ringgit sebulan, adakah kita sudah melihat apakah hasil yang diperolehi oleh orang yang terdahulu daripada kita yang telah menghantar anak ke tadika yang ada kelas?

Ada yang menghantar anak pergi tuisyen untuk semua matapelajaran sehingga anak merasa terkongkong semata-mata kerana ingin memastikan anak mendapat semua A. Sehingga kini, kita belum mendengar orang yang mendapat keputusan terbaik di peringkat SPM sejak merdeka hingga ke hari ini menjadi orang yang popular ataupun hebat di pentas Malaysia ataupun dunia. Habis duit beratus dan beribu ringgit sebulan tetapi hasilnya tidak melebihi daripada ibubapa yang hanya berbelanja yang perlu sahaja ke atas perkembangan anak-anak.

Lautan di luar sana sudah diredhai oleh orang yang terdahulu daripada kita, kenapa kita ingin mengambil risiko mengulangi kesilapan orang yang terdahulu daripada kita. Gunakan kesempatan bagi mempelajari daripada mereka, salah satu cara adalah dengan membaca kesilapan itu yang ada di dalam hampir setiap buku.

Jangan menyalahkan kos biaya hidup kita tinggi, jika kita sentiasa hidup mengikut nafsu dan ego. Ilmu kewangan memastikan kita hidup tanpa dibebani dengan kos membiayai nafsu yang melampau, tetapi sentiasa bahagia dan tenang walaupun bergaji kecil.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

2 comments on “Kos Biaya Hidup Tinggi Atau Kos Biaya Nafsu Tinggi?”

  1. kart Reply

    Assalamualaikum Tuan Sham. Artikel hari cukup menarik.

    Saya rasa kos biaya ikut nafsu, semakin tinggi bagi yang rabun dalam ilmu kewangan.

    Semasa saya rabun dalam kewangan perbelanjaan saya melambung hampir 90%-100% dari gaji saya dan adakalanya melebihi 100% di mana kad kredit dianggap penyelamat pada bulan tersebut.

    Setelah saya celek sedikit saya buat kajian perbelanjaan diri saya, cuma 40% – 45% dari gaji saya setiap bulan termasuk bayaran hutang kereta dan rumah. Betapa ruginya saya dulu.

  2. Shamsuddin Kadir Reply

    Ini adalah kebaikan apabila kita celik dalam ilmu kewangan.

    Kita juga mendapat manfaat yang jauh lebih bagus apabila kita juga menjadi celik agama iaitu mendekati dengan ilmu dan kemahiran yang di ajar oleh Islam.

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *