Virus Gila Dalam Produk Kewangan

Sejak tahun 1997 produk kewangan tumbuh seperti cendawan. Pelbagai promosi yang diberikan oleh bank, institusi kewangan, ‘Along’ dan usahawan.

Pembiayaan membeli kereta, rumah, pinjaman peribadi, skim ansuran mudah, skim cepat kaya, MLM dan banyak lagi produk yang sedia ada tetapi dipermudahkan agar menarik lebih ramai pelanggan. Kini penguna kad kredit dibekalkan dengan beberapa keping cek kosong bagi memudahkan lagi penguna ‘berhutang’.

Skim-skim ansuran mudah di tawarkan dengan pelbagai insentif yang menarik, sama ada tanpa bayaran ansuran untuk 2 bulan pertama ataupun mendapat hadiah seperti pembakar roti. Pembeli rumah juga di tawarkan dengan boucer petrol sebanyak RM2,000. Ada juga penjual kereta yang menawarkan petrol percuma ataupun tiada bayaran muka ‘down payment’. Ada juga penawar pinjaman peribadi dengan jelasnya memaklumkan ke dalam brosur mereka bahawa wang ini boleh digunakan bagi menjelaskan hutang kad kredit, membesarkan rumah dan menyambut perayaan.

Kad kredit adalah satu lagi produk kewangan yang paling efektif dalam menyebarkan virus kepada pengguna yang tidak dibekalkan dengan ‘anti virus’. Hutang kad kredit yang paling banyak sekali pernah saya dengan adalah RM1,000,000. Ada yang menyara susu dan lampin pakai buang anak dengan berhutang RM400,000 dengan kad kredit.

Kebanyakan produk kewangan yang ada di pasaran pada hari ini adalah produk kewangan yang datang bersama dengan Virus Gila. Virus yang membuatkan pengguna menangung hutang yang menghasilkan kemiskinan. Virus yang membuatkan kita semakin lama semakin miskin. Banyak produk kewangan yang ada di luar sana bukan untuk kita. Mengambil pinjaman kereta bagi tempoh 9 tahun menyebabkan kita menangung banyak masalah. Kebanyakan kereta akan mula mengalami kerosakan, di mana ada bahagian yang perlu ditukar mulai tahun ke-5. Ini menyebabkan kos penyelengaraan kereta kita mula naik mulai tahun ke-5. Jika kita mengambil pinjaman untuk tempoh 4 -5 tahun sahaja, kita dapat menyediakan duit bagi menangung kos pembaikan yang mula meningkat dari tahun ke tahun.

Kita terpaksa menangung lebih banyak bebanan apabila memilih pembiayaan melebihi 5 tahun. Nilai harga kereta di pasaran jauh lebih rendah daripada jumlah baki hutang semasa dengan bank walaupun sudah membayar ansuran untuk 4 tahun. Bebanan ini telah dirasai oleh majoriti orang yang memilih pinjaman melebihi daripada 5 tahun, adakah kita juga ingin menangung bebanan yang sama?

Pinjaman peribadi adalah satu lagi daripada barah ataupun virus yang ada di pasaran, hampir 98% daripada tindakan kita mengambil pinjaman tersebut membantu kita mengali lebih banyak lubang hutang. Walaupun niat asalnya untuk menjelaskan hutang kad kredit dan hutang lain.

Skim ansuran mudah antara virus yang sudah menular hampir ke dalam setiap rumah di Malaysia. Pengaruh iklan, ketidakupayaan menanguh kepuasan dan rabun kewangan penyebab utama kenapa ramai yang terlibat dengan skim ansuran mudah.  Bebanan menangung pelbagai jenis virus kewangan menyebabkan ramai berkelakuan seperti orang ‘gila’.

Skim cepat kaya adalah satu lagi virus yang melanda individu yang sedang dalam kesempitan duit ataupun yang hilang punca pendapatan. Atas desakan hidup dan terpengaruh dengan skim-skim berasaskan ‘Pak Man Telo’ yang telah dimodenkan, ada individu yang terpengaruh dengan strategi ‘flyer’ atau brosur yang ditulis mengunakan strategi mempengaruhi para pembaca untuk menyertainya.

Kaedah terbaik bagi menghindari virus-virus ini adalah dengan tidak membaca brosur yang diedarkan ataupun dengan meningkatkan kecelikan kewangan supaya kita tidak menjadi rabun yang tidak mampu melihat kewujudan virus-virus ini.

Kita memerlukan anti virus bagi mengelakkan sistem pemikiran dan duit masa depan kita dirampas, dikawal oleh orang lain melalui produk-produk kewangan yang ada di dalam pasaran.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

9 comments on “Virus Gila Dalam Produk Kewangan”

  1. kart Reply

    Assalamualaikum Sham.

    Setelah lebih setahun saya belajar menguruskan kewangan saya dari buku-buku Sham dan dari laman blog SK, saya telah menjelaskan kesemua hutang-hutang saya kecuali rumah dan kereta sahaja. Alhamdulillah sekarang saya semakin selesa berbelanja secara tunai termasuk minyak kereta.

    Tapi kenapa sekarang saya menjadi semakin KEDEKUT untuk membeli sesuatu selain dari barang keperluan harian. Saya akan berfikir berpuluh-puluh kali untuk membeli sesuatu, sedangkan kewangan saya ada lebihan pada setiap bulan. Dulu saya tidak begini, apa yang saya inginkan, saya pasti beli tanpa berfikir panjang.

    Sham, adakah cara dan tindakan saya ini betul atau saya dah berubah menjadi kedekut @ bakhil pula…he.. he…he.

    Tapi yang pasti, saya sentiasa bersyukur ke HADRAT ALLAH swt kerana sekarang setiap bulan saya tak ada masalah kewangan, tak perlu berfikir tentang hutang lagi dan mempunyai wang simpanan tetap setiap bulan. ALHAMDULILLAH.

    Sekarang saya dah mula belajar mengenai pelaburan pula.

    Terima kasih Sham.

  2. Wan Reply

    Saya rasa lebih baik begitu daripada menggunakan wang tanpa berfikir panjang selepas itu menyesal tak sudah. Macam saya la.he he

  3. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Kart,

    Apabila orang yang menguruskan kewangan dengan bijak, dilihat seolah-olah kita menjadi orang yang kedekut. Sebenarnya kita bukannya kedekut tetapi menangguhkan sebahagian kepuasaan bagi mencapai kepuasan jangka panjang.

  4. Shamsuddin Kadir Reply

    Ya saya bersetuju, dengan pertambahan bilangan orang yang memiliki kad kredit, lebih banyak masalah timbul. Satu-satu cara menyelesaikannya adalah dengan meningkatkan kemahiran dalam kewangan

  5. Faizul Tendong Reply

    Apa pandangan sdr. Sham ttg penggunaan kad debit? apakah kita patut menggalakkan masyarakat beralih kpd kad debit atau galakkan mereka buat pembelian tunai shj.

  6. Faizul Tendong Reply

    Apa pandangan sdr. Sham ttg mereka yg menceburkan diri dlm perniagaan MLM sbg salah satu cara menambah pendapatan?

  7. Shamsuddin Kadir Reply

    Saudara Faizul, berkenaan dengan pertanyaan saudara yang pertama, saya berpandangan masyarakat perlu beralih kepada kad debit kerana ianya memastikan kita sampai berhutang dalam berbelanja. Ia juga melatih kita supaya berbelanja dengan lebih bijak.

  8. Shamsuddin Kadir Reply

    Saudara Faizul, seperti yang kita sedia maklum, ada di antara kita mencari pendapatan sampingan melalui MLM. Asalkan ianya dari syarikat yang sah dan menjalankan pelan pemasaran yang diluluskan oleh agensi yang memantau syarikat jualan langsung, silakan.

    Saya lebih menggalakan saudara/i bagi mencipta pendapatan sampingan yang bersifat pasif dan saudara/i ada kuasa menentukan hala tujunya.

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *