Pada awal bulan Julai lalu, saya menjayakan kursus Dimensi bersama dengan peserta dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Satu daripada persoalan yang timbul adalah berkenaan dengan pasaraya bagaimana yang patut dipilih dalam membeli keperluan harian. Ada seorang peserta iaitu En. Rashid dari cawangan LHDN Kluang, Johor mencadangkan agar kita membeli di kedai yang tidak ada banyak barang. Tiada seorangpun peserta lain yang bersetuju dengan cadangan En. Rashid ini. Alasan yang diberikan oleh peserta lain, nanti terpaksa pergi beberapa pasaraya bagi mendapatkan keperluan bulanan.
Akhirnya saya mengangkat tangan bahawa saya satu-satunya individu dalam bilik seminar itu bersetuju dengan En. Rashid. Antara alasan yang diberikan oleh saya adalah :
-
Ibubapa kita dapat membesarkan kita dengan hanya bergantung kepada kedai runcit yang berdekatan dengan rumah
-
Pasaraya besar mengandungi 99% barangan yang tidak diperlukan oleh kita.
-
Pasaraya kecil membuatkan kuasa nafsu kita menjadi kecil, kerana apa yang kita lihat, itu sahaja yang kita dapat beli
Apabila saya memberikan jawapan tersebut, Tok Penghulu iaitu ketua peserta LHDN terus bangun dan mengatakan saya ‘Hati Kering’ kerana menjadikan pasaraya kecil sebagai tempat membeli keperluan utama. Kesian kepada isteri dan anak saya kerana tidak dapat membeli barangan yang terkandung dalam senarai 99% barangan yang tidak diperlukan. Itu katanya.
Ada peserta yang memberitahu bahawa dengan membeli di pasaraya besar, harganya lebih murah, berbanding dengan membeli di pasaraya atau kedai kecil. Saya memaklumkan kepada mereka, sehingga ke saat kini, kajian saya menunjukkan majoriti individu yang berbelanja di pasaraya dan kedai runcit biasa dapat menyimpan duit lebih banyak berbanding individu yang berbelanja di pasaraya besar. Kenapa? Walaupun individu yang berbelanja di pasaraya besar mendapat penjimatan bagi hampir setiap barangan yang dibeli, akan tetapi majoriti barangan yang dibeli adalah barangan yang diluar kemampuan mereka. Akibatnya duit habis pada setiap bulan berbelanja barangan yang termasuk kategori 99% yang disebutkan di atas.
Pasaraya besar boleh dilawati sekali sekala jika kita ada tujuan bagi mendapatkan sesuatu yang tiada di pasaraya kecil, itupun dengan memastikan kita sudah membawa senarai dan disertakan dengan jumlah maksimun yang kita akan belanjakan.
Saya amat mengalu-alukan pandangan daripada setiap pelawat blog , peserta dan pembaca buku bagi setiap entri yang keluar di halaman ini. Setiap pandangan saudara/i itu amat-amatlah dihargai dan disanjungi. Semoga ianya menjadi sebahagian daripada pelaburan kita di dunia dan diakhirat. Amin
Membina Dimensi Sebenar!
3 comments on “Pasaraya Kecil Lawan Pasaraya Besar”