Menunda Kepuasaan : Simpan RM1,000 Setiap Satu Tahun

Sewaktu dalam perjalanan ke Sabak Bernam bagi menghadiri kursus ‘Training of Trainers’ saya ditemani oleh En. Suhaimi Yaakub iaitu mantan wargakerja SUK Negeri Perak. Beliau menceritakan sejak mula pernikahannya, beliau telah merancang bersama dengan isterinya bagi menyimpan RM1,000 setahun bagi setiap anak. Ketika mendapat anak pertama, beliau dan isteri menyimpan secara bulanan lebih kurang RM 80 sebulan. Pada tahun pertama beliau sudah membuka satu akaun untuk anak pertama dengan nama beliau dan isterinya sebagai pemegang amanah. Apabila beliau mendapat cahaya mata kedua, beliau mula menyimpan lebih kurang RM 160 sebulan, iaitu bagi memastikan duit di dalam tabung simpanan kedua-dua anaknya bertambah sebanyak RM1,000 setahun.

Begitulah rutin beliau dan isterinya setiap bulan, sehingga ke hari ini. Kini mereka dikurniakan dengan 6 orang anak. Anak sulungnya berumur 23 tahun dan sudah berkerja di salah sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur. Sehingga kini beliau masih menyimpan RM1,000 setahun untuk anaknya itu. Kini di dalam akaun di Tabung Haji anaknya itu sudah melebihi RM 23,000 disebabkan oleh keuntungan daripada pelaburan oleh Tabung Haji pada setiap tahun.

Beliau masih belum menukarkan nama mereka sebagai penjaga ataupun pemegang amanah walaupun anak sulung itu sudah besar dan layak memiliki akaun tabung hajinya sendiri.

Pada masa yang sama beliau juga memiliki 5 lot hartanah yang akan ditambah satu lagi (tidak termasuk dengan rumah yang beliau duduki sekarang) bagi memastikan setiap seorang anaknya dapat satu lot tanah.

Beliau hanya bekerja sebagai pembantu tadbir sebelum memilik bersara awal. Di awal zaman pekerjaannya beliau hanya memiliki sebuah van yang dikatakan tidak ada kelas. Beliau menunda dahulu kepuasaan yang ingin dicapainya. Kini beliau di antara orang yang paling bahagia, tenang dan cukup sinonim dengan suka membeli ole-ole untuk jiran-jirannya setiap kali melancong ke negeri lain di Malaysia.

Berapa lama sudah kita berkerja? Berapa banyak wang yang sudah kita simpan ? Jadikan En. Suhaimi menjadi salah satu kayu pengukur dalam melihat sejauh mana kita sudah menunda kepuasaan.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

10 comments on “Menunda Kepuasaan : Simpan RM1,000 Setiap Satu Tahun”

  1. Mohd Zamri Reply

    Askum Tuan SK,

    Saya bersetuju dengan cara menundakan kepuasan yang dicadangkan oleh tuan.

    Saya cuma mahu menokok sementara seseorang itu menunda kepuasannya, wang semasa yang ada bolehlah dilaburkan ke mana2 akaun saham amanah yang kurang berisiko atau berisiko sederhana.

    Cara ini secara tidak langsung dapat memelihara wang simpanan keluarga dan wang yang digunakan bagi tujuan kecemasan.

    Wasalam

  2. Mohd Zamri Reply

    Askum,

    Bagi saya, penyimapanan wang perbelanjaan yang paling berkesan adalah dengan memperuntukkan terlebih dahulu wang pendapatan yang perolehi untuk tujuan simpanan. Hal ini secara tak langsung dapat membolehkan seseorang itu merancang perbelanjaan mereka dengan baki wang yang ada selepas ditolak dengan wang simpanan tersebut. Peratusan simpanan adalah bergantung kepada jangka masa wang tersebut bertahan.

    Ada orang menyimpan 10 %, 20 % malah ada juga yang menyimpanan 50 % daripada gaji mereka. Namun selain daripada terus membuat simpanan pada mana2 intitusi kewangan, simpanan juga dianggap sebangai wang2 pelaburan yang dilaburkan pada mana2 saham amanah, KWSP atau wang2 insurans yang dibayar pada tiap2 bulan.

    Kindly advice Tuan SK,

    Wasalam

  3. aimin mikhail Reply

    Assalamualaikum Tuan Shamsuddin.

    Saya percaya sekarang dah ramai mempunyai kesedaran menabung dari mula anak dilahirkan, seperti di pejabat saya, ramai wargakerja menabung untuk anak-anak dan juga isteri dengan potongan gaji di tabung haji. Ini adalah satu langkah yang amat bijak.

    Untuk menambahkah lagi keberkatan kita di dunia ini dan juga di akhirat nanti, apa kata kita manambahkan lagi tabungan kita, kita mulakan menabung di masjid-masjid atau surau-surau atau di rumah anak-anak yatim atau sebagainya pada setiap bulan sepanjang hayat kita tanpa gagal. Cuba kita buat kiraan dan kita bayangkan ganjarannya nanti….. ribuan… jutaan … Tabungan ini pasti dapat mendisplinkan diri kita, mendekatkan lagi diri kita dengan yang MAHA ESA.

    Saya dan mula, anda bagaimana ……

    Aimin Mikhail

  4. wati Reply

    Assalamualaikum

    Saya suka entry ni.
    Saya membuka akaun untuk anak2 selepas habis cuti bersalin.
    Tapi bila terdesak simpanan anak2 jadi mangsa.
    Kekadang saya rasa tak amanah pada anak2. Saya ganti tapi sikit2. membaca entry ni membuat saya lebih bersemangat untuk terus mengganti simpanan anak2 saya dan menambah tiap2 bulan pada kadar yang tetap. Insya Allah.

    Terima kasih Tuan SK.

  5. afiq zaim Reply

    Assalamualaikum Tuan.

    Terima kasih Tuan Shamsuddin kerana menulis tajuk entri ini.

    Saya baru mula bekerja, gaji pun belum dapat dirasai. Terima kasih juga kepada Encik Aimin Mikhail kerana mengingatkan saya. Saya akui tabungan untuk masa depan di dunia memang mudah untuk dilaksanakan, tapi tabungan untuk hari akhirat terasa berat walaupun ianya amat mudah. Isyaallah saya berazam akan mempraktikkan kedua-duanya. Terima kasih auntie saya kerana meminta saya melayari laman blog ini, banyak tips yang dapat dipelajari.

    Afiq

  6. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Saudara Mohd Zamri,

    Ya, sebaiknya duit simpanan itu dilaburkan agar ianya mendatangkan hasil yang berganda dan juga mengelakkan daripada nilainya semakin berkurangan. Ya nilai berkurangan akibat daripada inflasi yang menyebabkan kuasa beli kita menurun bagi setiap ringgit yang kita miliki.

    Cuma En. Suhaimi memilih pelaburan yang rendah risikonya iaitu melalui akaun simpanan di Tabung Haji.

  7. Shamsuddin Kadir Reply

    Saudara Mohd Zamri,

    Ya saya bersetuju dengan pandangan saudara bahawa wang simpanan perlu diasingkan terlebih dahulu sebelum membelanjakan baki duit gaji. Saya nyatakan dengan agak terperinci di dalam buku ‘Hidup Tenang Walaupun Berhutang’.

    Wang simpanan bukan sahaja dilaburkan di dalam akaun simpanan, mudharabah, unit amanah, saham dan ia juga boleh dilaburkan melalui skim-skim takaful (satu-satunya perlaburan dan perlindungan yang halal pada masa kini) yang ada di pasaran.

  8. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Saudara Aimin Mikhail,

    Ya, satu daripada tabungan wajib bagi setiap manusia yang ingin hidup selama-lamanya adalah dengan menabung di rumah-rumah Allah, rumah anak yatim dan sebagainya.

    Saya bersetuju dengan saranan saudara Aimin. Untuk hidup bahagia dengan penuh keberkatan, jangan lupa tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

    Jika boleh, mulakan dengan menyimpan secara tetap, contohnya RM 30 sebulan di masjid ataupun surau berdekatan dengan rumah kita. Kita juga boleh menaja anak yatim di rumah anak yatim ataupun maahad tahfiz.

    Di dalam program tazkhirah masjid, saya mencadangkan agar 3% daripada pendapatan bersih disumbangkan untuk kebajikan seperti di Masjid, surau, anak yatim ataupun ibu tunggal.

    Bagi setiap RM1,00O kita dapat, kita sumbangkan RM 30. Insyaa-Allah ianya akan menjadi perlaburan yang paling menguntungkan di akhirat nanti.

    Terima kasih saudara kerana mengingatkan kepada kami semua tentang keperluan menabung perlaburan yang paling hakiki. Teruskan nilai-nilai murni itu.

  9. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Saudari Wati,

    Kita perlu saling ingat-mengingati supaya kita dapat memastikan kita berjaya menyediakan keperluan kepada anak-anak sehingga mereka dapat berdikari sendiri.

    Teruskan berusaha dan pada masa yang sama lakukan bedah siasat wang gaji saudari. Saya percaya ada berlaku kebocoran. Lihat kos perbelanjaan. Jika ianya lebih daripada 70% daripada gaji bersih (setelah ditolak EPF, Sosco ataupun tabungan wajib oleh kerajaan, maka kita perlu buat pemotongan. Rujuk buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang untuk kaedah terperinci, ataupun baca entri-entri terdahulu.

    Terima kasih di atas kesudian saudari memberikan pandangan.

  10. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Saudara Afiq Zaim,

    Ramai pekerja yang mula mendapat gaji pertama tidak tahu berapa jumlah yang mereka patut belanja dan berapa jumlah maksimun pinjaman kereta, rumah dan hutang-hutang lain yang patut mereka ambil ataupun tanggung.

    Pesanan saya, banyak membaca buku kewangan. Insyaa-Allah saudara juga boleh mendapatkan beberapa tips dengan membaca entri di halaman ini, berdasarkan pengalaman dan pandangan yang diberikan oleh para pelawat halaman ini.

    Sampaikan salam saya kepada auntie saudara. Adakah saya mengenalinya?

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *