Sejak terlibat dalam proses mengambil pekerja baru mulai tahun 1999, saya masih merasa sedih di atas ‘dimensi’ graduan dan pekerja yang memohon kerja. Masih banyak tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemohon pekerjaan.
Hampir 10 tahun sudah berlalu, pemohon pekerjaan yang saya menemuduga masih dengan ‘dimensi’ lapuk. Antara kelemahan yang ditonjolkan oleh pemohon pekerjaan adalah seperti berikut:
-
Tidak membawa sijil dan dokumen sokongan yang asal
-
Tidak membawa sekurang-kurangnya satu salinan photostat sijil dan dokumen
-
Tidak mengetahui protokol menghadiri temuduga seperti tidak memberi salam
-
Sijil tidak disusun mengikut susunan tahun sijil itu diperolehi
-
Tidak memakai pakaian yang bersesuaian, contohnya hanya memakai t-shirt berkolar
-
Tidak tahu bagaimana untuk memperkenalkan diri. Di mana pemohon tidak tahu apa yang ingin dipercakapkan bagi 5 minit pertama yang diberikan apabila Penemuduga mengarahkan pemohon untuk menerangkan secara ringkas latar belakang diri
-
Tidak tahu faktor ‘X’ iaitu sesuatu kelebihan yang ada pada dirinya yang dapat membantu penemuduga memilihnya.
-
Resume yang bercelaru dan yang dipenuhi dengan maklumat yang tidak penting.
Untuk makluman bakal pemohon, walaupun sijil itu perlu disediakan dalam persembahan yang kemas dan menarik, ianya tidak menjaminkan anda mendapat pekerjaan itu. Ada sebahagian pemohon yang saya ambil bekerja adalah pekerja yang tidak mempunyai ‘sijil’. Sijil hanya syarat asas apabila menghadiri temuduga.
Pemohon perlu mempersiapkan diri dengan membawa dua salinan gambar passport yang terkini dengan memaparkan wajah yang kemas dan ceria. Berikan gambar tersebut apabila penemuduga mengkehendakinya.
Banyak lagi yang ingin saya perkatakan. Ianya akan disambung. Dijemput para pelawat dan pembaca setia untuk memberikan pandangan anda. Kami amat menghargai setiap pandangan yang diberikan.
Membina Dimensi Sebenar Anda!
7 comments on “Dilema Pekerja : Menghadiri Temuduga”