Rahsia Bisnes Orang Islam

Tuhan telah menyediakan satu-satunya sistem yang dapat memastikan umat Islam terus maju sehingga ke hari kiamat. Sistem yang Allah telah turunkan sejak zaman nabi adalah berpaksikan kepada dua. Iaitu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.

Fardhu Ain – Menekankan kepada setiap individu untuk menjadikan dirinya lebih baik daripada hari semalam. Di sini kita dapat melihat ‘quality improvement’ adalah ‘never ending story’ usaha yang tidak ada penghujungnya. Kualiti tidak ada hadnya. Seperti dalam kebanyakan peperangan yang dilalui oleh nabi kita, tentera Islam hanyalah dalam kuantiti yang amat sedikit tetapi dapat mengalahkan tentera musuh yang ramai. Di sini kita melihat kuantiti tidak memainkan peranan besar berbanding kualiti.

Ini bermakna, kewujudan masyarakat Islam yang ramai di Malaysia tidak dapat membuktikan kita dapat menguasai ekonomi negara ataupun bahagian masyarakat Islam itu sendiri. Ini berlaku kerana, kita pada ketika ini berhadapan dengan jumlah umat Islam yang ramai, tetapi hanya sedikit sahaja yang berkualiti.

Apakah kaedah yang boleh kita gunakan bagi meningkatkan kualiti umat Islam? Bentukkan diri kita mengaplikasikan semua Fardhu Ain. Betulkan sembahyang kita dengan mengetahui maksud semua bacaan wajib dan memastikan aktiviti kita bersamaan apa yang kita zahirkan dengan mulut dan hati ketika di dalam sembahyang.

Paksi bagi satu-satunya sistem yang menyelamatkan orang Islam adalah Fardhu Kifayah. Setiap individu selain daripada menjadi pemimpin yang hebat kepada dirinya sendiri, dia juga dapat memimpin, menyokong semua institusi Islam seperti masjid, bisnes orang Islam dan juga semua yang berkaitan dengan masyarakat Islam. Pada masa yang sama setiap individu itu tidak akan melupakan tanggungjawabnya untuk turut membantu orang yang bukan Islam yang memerlukan pertolongan.

Dengan mengaplikasikan kedua-dua paksi ini dalam setiap daripada individu, kejayaan pasti milik kita bersama.

Langkah pertama pada hari ini. Membantu peniaga, usahawan Islam dengan membeli daripada mereka untuk barangan keperluan harian. Basuh kereta, gunting rambut, servis kereta… semuanya diutamakan kepada saudara seagama kita, bagi memastikan keupayaan kita menguasai ekonomi masyarakat Islam itu sendiri.

Ada yang berkata “Ianya tidak akan menjadi jika saya seorang yang melakukannya” Jawapan anda itu betul, tetapi Allah tidak memberikan kita Pahala berdasarkan hasil yang kita perolehi, tetapi Allah memberikan kita ganjaran dan nikmat Syurga berdasarkan usaha kita.

Seperti burung pipit yang membawa air dengan menyimpan di dalam paruhnya untuk membantu memadamkan api yang sedang membakar Nabi Allah Ibrahim. Apabila diberitahu kepadanya bahawa usahanya itu sia-sia. Burung Pipit menjawab”Ini adalah usaha yang aku mampu lakukan” Kita dipersoalkan di akhirat tentang tanggungjawab mengaplikasikan Fardhu Kifayah.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *